Filem Maut bawa mesej ketuhanan

Setelah menunggu hampir dua tahun, akhirnya filem Maut arahan Bade Haji Azmi bakal menemui penonton 15 Januari ini. Sebagai pembuka tirai tahun 2009, Maut dilihat sebagai filem yang sarat dengan mesej ketuhanan .

Tidak banyak filem yang mengangkat Islam sebagai tema utama dan Maut dilihat mengulangi filem Isi Neraka arahan Jamil Sulung yang dihasilkan pada tahun 1960.

Bade cuba mengangkat persolan yang berlaku di alam barzakh, alam akhirat, mengenai dosa dan pahala serta menggambarkan semuanya dalam imaginasinya sendiri.

Maut dijadikan landasan yang menyampaikan ilmu pengetahuan, pengalaman dan pemikiran Bade. Isu-isu yang dikupas dalam Maut termasuklah permasalahan sosial yang sering kali melanda masyarakat seperti gejala black metal, gaya hidup bebas dan pemakaian tatu.

Apa yang digambarkan oleh Bade lebih kepada metafora kerana paparan visual itu tidak semestinya satu kebenaran, sebaliknya perlu ditafsir mengikut persepsi masing-masing.

Filem yang mengupas tiga cerita berbeza ini, dibarisi pelakon-pelakon seperti Que Haidar, Liana Jasmay, Sabrina Hassan, Eja, Sherry Ibrahim, Nana AF, Diana Danielle, Awal Ashaari, Danny, Reza AF, dan ramai lagi.

Bukan semuanya kerana duit - Bade

Melihatkan karya-karya Bade terdahulu, dia banyak mengarahkan filem-filem aksi seperti KL Menjerit dan Castello. Namun, selepas menghasilkan filem Syaitan, Bade seperti mahu meneruskan filem-filem berunsur ketuhanan untuk menjadi tema utamanya.

Jelasnya lagi, setiap filem yang dihasilkan sebelum ini memang mempunyai mesej ketuhanan.

"Sejak filem KL Menjerit lagi dah ada unsur ketuhanan. Dalam filem Syaitan, memang ada kelainan yang ingin ditonjolkan dan memang kita sedar mengenainya.

"Ini adalah perjuangan saya. Hidup ini memang kena ada matlamat. Saya bimbang pembikin filem kita lupa apa matlamat mereka sebenarnya. Ada yang buat filem hanya untuk duit tanpa tahu apa hala tuju mereka," katanya ketika ditemui semasa pelancaran filem Maut, di Mid Valley.

Menurutnya, semua filem-filem yang dihasilkan sebelum ini mempunyai falsafah hidup termasuklah agama. Mungkin ramai yang tidak sedar jika melihatkan pada tajuknya sahaja.

"Dengan lambakan filem tempatan, cuba kita lihat adakah filem tersebut mengandungi mesej kebaikan? Dalam filem Maut, itulah yang hendak dipertontonkan pada khalayak sedangkan kita tahu ada manusia, malaikat dan jin," jelas Bade lagi.

Untuk buah tangan terbarunya ini, Bade tidak meletakkan sebarang sasaran. Tetapi dia tetap mengharapkan agar filem Maut mendapat sambutan daripada peminat-peminat filem tempatan.

Bade sebelum ini mengarah filem Bilut berkata, jika diberikan peluang, dia mahu menghasilkan filem yang lebih ringan daripada sedia ada.

Katanya, ini semua untuk menarik balik keyakinan orang ramai terhadap dirinya dan sudah pasti selepas ini dia tidak mahu membuat filem yang terlalu serius sehingga membebankan fikiran penonton.

"Sebab itu saya katakan Maut adalah filem yang simple dan tak mencabar saya sebagai pembikin filem. Tetapi saya harap filem ini tidak mempersia-siakan saya.

"Selama dua tahun masa diambil untuk melihat filem ini ditayangkan. Memang tempoh masa yang agak lama. Macam-macam hal yang terpaksa dihadapi," ujarnya.

Tidak mustahil untuk filem Maut terus mendapat perhatian penonton memandangkan tema yang diangkat memang berbeza daripada filem yang lain.

Cerita 1:

Su seorang pelajar universiti yang didatangi seorang gadis, Fadilah. Fadilah meminta untuk menumpang teduh kerana hari sudah malam dan begnya telah diragut. Namun, keesokan harinya Fadilah telah tiada dan Su melihat berita kehilangan Fadilah di televisyen.

Cerita 2:

Farah, seorang pramugari yang berkahwin dengan Duke, jejaka Inggeris. Mereka yang hidup penuh bebas akhirnya bergaduh kerana Farah cemburu melihat Duke dan perempuan lain. Farah terus meninggalkan Duke.

Cerita 3:

JJ seorang lelaki yang telah hilang pegangan agamanya. Dia yang terlibat dengan gejala Black Metal langsung tidak mengendahkan teguran ibu dan kakaknya. Akhirnya dia terlibat dalam kemalangan dan JJ cedera parah. Filem Maut bawa mesej ketuhanan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.