Memaparkan catatan dengan label Ekonomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ekonomi. Papar semua catatan

Jumaat, November 25, 2022

Bajet 2023 perlu dibentang semula

 


Kerajaan yang baharu dibentuk perlu meneruskan agenda Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan membentangkan Bajet 2023 sekali lagi untuk diluluskan dengan segera sebagai persiapan menghadapi situasi ekonomi yang dijangka mencabar tahun depan.

Penganalisis Politik, Prof. Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk dijangka tetap memastikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan diutamakan kerana semua pihak mempunyai pengalaman mentadbir negara.

“Kerajaan baharu mempunyai tugas yang mencabar untuk terus mempertahankan momentum pemulihan ekonomi negara, ia tidak boleh dibiarkan perlahan memandangkan ekonomi global yang diramalkan amat mencabar pada 2023 dan tahun-tahun akan datang.

“Dengan tiada parti politik yang berjaya meraih majoriti mudah membentuk kerajaan, saya melihat selepas pilihan raya ini akan berlaku kurangnya permainan politik dan usaha akan lebih kepada pemulihan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur ke negara kita,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, rakyat Malaysia merupakan rakyat terbaik, tidak ada sebarang provokasi walaupun keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dapat membentuk kerajaan dengan mudah kerana tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah.

“Ini menyebabkan keyakinan pelabur sentiasa tinggi untuk melabur di negara ini. Selain itu, semua pihak yang bertanding sudah ada pengalaman mentadbir negara, maka ini juga menambah keyakinan pelabur,” katanya.

Tambahnya, Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dan kuat untuk membetulkan struktur ekonomi negara yang pincang sekarang dengan pelbagai isu seperti inflasi, sekuriti makanan, graduan ‘underemployment’, kebergantungan kepada pekerja asing serta kurangnya budaya penyelidikan dan pembangunan dalam industri pembuatan Malaysia.

“Parlimen tergantung memberi kesan kepada kita terutamanya Bajet 2023 yang tidak sempat diluluskan yang mana ini membuatkan segala perancangan mungkin perlu dilakukan semula,” katanya.

Sumber : Kosmo!

Jumaat, Oktober 14, 2022

Amaran Bank Dunia, ekonomi global dalam 'bahaya'

 


Ekonomi global dalam keadaan 'bahaya' untuk menghampiri kemelesetan selepas data inflasi menunjukkan peningkatan, kadar faedah juga terus meningkat dan bebanan hutang terus melonjak di negara sedang membangun, demikian menurut Presiden Bank Dunia, David Malpass.

Beliau berkata, kelembapan ekonomi dunia benar-benar menjejaskan negara-negara sedang membangun, terutamanya golongan miskin di negara terbabit, sekali gus memberikan impak yang negatif.

"Kami menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global pada 2023 daripada 3.0 peratus kepada 1.9 peratus iaitu menghampiri paras kemelesetan global. Ia turun 1.1 peratus lagi berbanding unjuran yang dibuat pada Jun lalu," kata Malpass pada sidang media ketika mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang diadakan di Washington.

"Semua masalah diberikan perhatian. Isu inflasi, kenaikan kadar faedah dan penurunan aliran modal ke negara sedang membangun juga terjejas sangat teruk," katanya yang merujuk kepada peningkatan hutang di negara sedang membangun.

"Kemelesetan ekonomi boleh berlaku dalam keadaan tertentu," kata Malpass.

Dalam kajian yang diterbitkan pada pertengahan September, Bank Dunia memberi amaran bahawa apabila bank pusat di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas kepada inflasi, dunia mungkin menuju ke kemelesetan global pada 2023, dengan ramalan pertumbuhan hanya 0.5 peratus.

Pada sidang media berkenaan, ketua Bank Dunia itu berkata, pertumbuhan penduduk dunia dianggarkan 1.1 peratus setahun.

"Jadi, jika pertumbuhan dunia perlahan, ia bermakna kita akan mundur. Ia telah pun berlaku dan saya ingin menekankan sekali lagi, Bank Dunia mempunyai misi untuk berkongsi kemakmuran dan itu bermakna secara meluasnya kesejahteraan rakyat meningkat.

"Data daripada laporan kemiskinan menunjukkan pendapatan penengah atau media merosot buat kali pertama. Jika kemelesetan dunia berlaku sekarang, ia akan memberi tekanan kepada pendapatan median, bermakna penduduk yang tahap pendapatan lebih rendah akan tertekan," kata Malpass.

Beliau berkata, satu lagi kebimbangan adalah mengenai tahap tumpuan modal di dunia yang lebih menguntungkan negara-negara maju.

"Saya fikir, itu satu lagi isu yang perlu ditangani oleh dunia, iaitu dengan membenarkan modal dialirkan kepada perniagaan baharu dan ekonomi sedang membangun. Itu akan membawa perubahan kepada hala tuju dasar fiskal dan monetari di negara-negara maju," katanya.

Memetik laporan Bank Dunia baru-baru ini, Malpass berkata, pandemik COVID-19 menyebabkan penurunan terbesar dalam pengurangan kemiskinan global sejak 1990, membawa kira-kira 70 juta orang ke dalam kemiskinan tegar menjelang 2020 dan perang di Ukraine memberi ancaman untuk menjadikan keadaan lebih buruk.

Menurut laporan kemiskinan dan kemakmuran bersama, hasil median global menurun sebanyak 4.0 peratus menjelang 2020, penurunan pertama sejak pengukuran pendapatan median bermula pada 1990.

"Jadi, jika kita mengalami kemelesetan hari ini, ia juga akan memberi tekanan kepada pendapatan median. Ia bermaksud, mereka yang berada di bawah skala pendapatan akan menurun," kata Malpass.

Bank Dunia dan IMF baru-baru ini memberi amaran ekonomi global berdepan kemelesetan tahun depan susulan tindakan bank pusat di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar faedah, selain pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan perintah berkurung di China.

Malaysia sebagai ekonomi terbuka juga dijangka terkena tempiasnya yang akan akan menjejaskan pertumbuhannya.

Bank Dunia baru-baru ini juga menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2023 kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus yang dibuat sebelumnya.

Berikutan itu, Bajet 2023 bercirikan pengembangan yang akan dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober lalu menjadi platform untuk persediaan negara mengharungi ramalan 'ribut ekonomi' pada tahun depan.

Khamis, September 08, 2022

BNM naikkan OPR kepada 2.5 peratus, kenaikan ketiga berturut-turut

 


Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (bnm) membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Bank pusat dalam kenyataan berkata, ekonomi global terus berkembang, meskipun pada kadar sederhana, disebabkan oleh tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.

“Tekanan inflasi kekal tinggi disebabkan oleh harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat,” menurut kenyataan.

Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil. 

Sumber : Utusan

Ahad, September 04, 2022

Lima sektor paling untung April-Jun 2022

 


Lima sektor iaitu perbankan, automotif, institusi kewangan bukan bank (NBFI), hartanah dan pengguna mencatatkan prestasi kewangan melangkaui jangkaan bagi tempoh April hingga Jun 2022 berbanding empat sektor yang dicatatkan pada tiga bulan pertama tahun ini, demikian menurut RHB Research.

Penganalisisnya, Alexander Chia, berkata sektor pasaran besar lain merangkumi perladangan, minyak dan gas serta telekomunikasi berjaya menepati jangkaan pada musim pengumuman keputusan kewangan bagi tempoh suku kedua tahun ini tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, lima sektor iaitu pembinaan, penjagaan kesihatan, utiliti, produk getah dan bahan asas bagaimanapun gagal mencapai jangkaan.

Katanya, sama seperti suku sebelumnya, tekanan kos yang meningkat dan kesan kekurangan buruh terus mengganggu gugat sektor itu.

"Nisbah keputusan tersasar berbanding melangkaui jangkaan pulih kepada 0.8 berbanding 1.4 pada suku lalu memandangkan 32.8 peratus keputusan yang melangkaui jangkaan diimbangi oleh 26.9 peratus keputusan tersasar.

"Keseluruhan anggaran untung bersih tahun kewangan 2022 kekal sama, manakala anggaran tahun kewangan 2023 dinaikkan sedikit 0.3 peratus berikutan kenaikan anggaran daripada perbankan dilemahkan oleh potongan dalam sektor perjudian dan bahan asas.

"Pihak pengurusan perbankan tetap mengekalkan bayangan berhati-hati walaupun kebanyakannya menegaskan semula kualiti aset sistem perbankan yang terus utuh," katanya dalam nota penyelidikannya.

Chia berkata, bagi suku berakhir Jun 2022, perolehan korporat menepati jangkaan.

Beliau berkata, sektor perbankan dan sektor bukan keperluan utama lain mencatat prestasi baik dengan memanfaatkan daripada prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) teguh bagi suku kedua 2022 yang dipacu oleh pembukaan semula ekonomi, permintaan terpendam dan pengeluaran dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam tempoh dikaji, saham komponen KLCI mencatatkan tujuh keputusan mengatasi jangkaan, manakala lapan keputusan tersasar dan perkembangan itu lebih baik sedikit berbanding suku sebelumnya.

Anggaran perolehan tahun kewangan 2022 dikurangkan 0.6 peratus, manakala tahun kewangan 2023 menyaksikan kenaikan 0.9 peratus apabila anggaran sektor perbankan diimbangi oleh penurunan daripada sektor perjudian.

Mengenai strategi, RHB Research berkata, risiko makroekonomi kekal berpaksikan trajektori dasar monetari, ditambah dengan persekitaran geopolitik yang kian berubah secara terus-menerus membuat pelabur meneliti prospek bagi aset berisiko.

Ia berkata, cubaan pasaran untuk mengambil kira prospek 2023 terus dihalang oleh kebolehlihatan yang terhad, sekali gus membuat para pelabur berkecuali dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya, pembentangan Belanjawan 2023 bakal diikuti dengan rapat untuk sebarang bebanan cukai tambahan yang mungkin dikenakan terhadap sektor swasta.

Beliau menambah, pemberian bantuan sebelum pilihan raya dan inisiatif rangsangan ekonomi dijangka terbatas ekoran kurangnya ruang fiskal.

"Kami menyokong pendirian bertahan teras dengan melakukan pemilihan saham bertahan dan pada masa masa, membabitkan diri dalam perdagangan jangka pendek dengan menggunakan lebihan dana.

"Kami mengekalkan saranan 'wajaran tinggi' terhadap sektor perbankan, NBFI, minyak dan gas, penjagaan kesihatan, bahan asas, perjudian serta teknologi," katanya.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Jun 30, 2022

Pendapatan 50 peratus rakyat Malaysia susut akibat pandemik - FICO

 


Pandemik COVID-19 terbukti memburukkan lagi keadaan kewangan pengguna perbankan runcit di Malaysia dengan 50 peratus atau seorang daripada setiap dua pengguna mengalami impak negatif membabitkan pendapatan masing-masing.

Malah, menurut Laporan Jangkaan Pengguna Perbankan Pasca Pandemik RFI Global 2022 yang disediakan untuk FICO, kesan kewangan itu turut dirasai oleh golongan mewah di negara ini.

"Dalam kalangan pelanggan kaya dalam perbankan Malaysia, 43 peratus mencatat pendapatan yang berkurangan akibat pandemik manakala separuh daripada keseluruhan pelanggan runcit turut mengalami impak negatif.

"Hampir separuh daripada golongan kaya atau 46 peratus mengalami masalah pinjaman tertunggak iaitu hanya tiga peratus lebih rendah berbanding pasaran perbankan runcit yang meluas di Malaysia," kata FICO.

Pendapatan yang terjejas itu menyebabkan dua daripada setiap lima orang kaya Malaysia berhasrat untuk mengurangkan perbelanjaan (40 peratus) sebagaimana tindakan yang ingin diambil oleh 39 peratus pelanggan perbankan runcit.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa persekitaran kewangan yang tidak menentu itu bagaimanapun tidak menghalang majoriti pelanggan perbankan runcit Malaysia yang berhasrat mengekalkan atau meningkatkan pelaburan masing-masing (77 peratus) dengan sebahagian besarnya merancang untuk mengekalkan atau menambah simpanan (82 peratus) manakala ramai yang mempertimbang untuk menukar penyedia perbankan pada tahun ini.

FICO berkata peningkatan kecenderungan menukar penyedia pinjaman itu adalah yang tertinggi membabitkan golongan kaya atau mereka yang memiliki sekurang-kurangnya RM200,000 dari segi pegangan yang boleh dilaburkan.

"Di Malaysia, lima peratus daripada pelanggan perbankan runcit dan golongan kaya telah berbuat demikian pada 2021. Angka itu dijangka sekurang-kurangnya meningkat dua kali ganda pada tahun ini dengan 10 peratus daripada pelanggan runcit dan 14 peratus golongan kaya mahu berbuat demikian," katanya.

Antara alasan utama yang diberikan oleh responden itu adalah perubahan persekitaran peribadi (31 peratus), konsolidasi atau penyatuan akaun yang mana mereka kini mempunyai akaun deposit (25 peratus), keinginan mendapatkan akses pilihan produk dan perkhidmatan pelaburan serta pengurusan kekayaan yang lebih baik (24 peratus) selain perubahan dari segi deposit gaji (21 peratus).

Laporan itu turut menunjukkan perubahan corak perbankan pengguna berikutan impak kewangan akibat pandemik.

Pengarah Kanan Penyelesaian Pengurusan Keputusan FICO bagi Asia Pasifik, Aashish Sharma berkata pandemik itu terbukti memburukkan lagi keadaan kewangan bagi pelanggan tanpa mengira kelas pendapatan masing-masing.

"Apabila tabiat meminjam dan perbelanjaan terjejas, pelanggan akan mencari jalan untuk meningkatkan kekayaan serta simpanan mereka. Oleh itu, bank-bank perlu lebih proaktif untuk mengenal pasti keperluan pelanggan dan mengutamakan pendekatan yang dapat meredakan kebimbangan kewangan selain memastikan produk mereka menepati kemampuan serta keperluan pembiayaan pelanggan.

"Pihak bank juga perlu memahami keperluan pelanggan secara lebih mendalam atau berisiko kehilangan mereka kepada pesaing dan penyedia alternatif.

"Usaha mengekalkan kepuasan pelanggan semata-mata juga tidak lagi penting sebaliknya pengalaman mereka perlu sentiasa dipertingkatkan. Langkah menjadikan aspek yang berteraskan pelanggan (sebagai keutamaan) adalah kunci untuk memastikan penyampaian pengalaman yang lebih khusus selain dapat mengekalkan pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh aspek penekanan ke arah digital, laporan itu menyatakan ramai responden Malaysia (47 peratus) masih mengutamakan aspek lokasi atau jarak cawangan dan mesin juruwang automatik sebagai penentu utama pemilihan penyedia perbankan selain kepentingan menyediakan perkhidmatan digital.

Sebanyak 72 peratus pelanggan perbankan runcit Asia Pasifik memilih produk teknologi kewangan berbanding pilihan menggunakan perkhidmatan utama bank mereka.

Jumlah itu adalah yang tertinggi di Malaysia (94 peratus) yang mana pelanggan mengakui berbuat demikian kerana mahukan kemudahan penggunaan, penjimatan masa serta proses permohonan yang lebih mudah, kata FICO.

Kaji selidik tersebut telah dijalankan pada 2021 oleh sebuah syarikat penyelidikan bebas yang menepati standard industri dan melibatkan 1,003 golongan dewasa Malaysia serta 12,885 pengguna di Australia, New Zealand, Singapura, Indonesia, India serta Thailand. – BERNAMA