Memaparkan catatan dengan label pendapatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pendapatan. Papar semua catatan

Khamis, Jun 30, 2022

Pendapatan 50 peratus rakyat Malaysia susut akibat pandemik - FICO

 


Pandemik COVID-19 terbukti memburukkan lagi keadaan kewangan pengguna perbankan runcit di Malaysia dengan 50 peratus atau seorang daripada setiap dua pengguna mengalami impak negatif membabitkan pendapatan masing-masing.

Malah, menurut Laporan Jangkaan Pengguna Perbankan Pasca Pandemik RFI Global 2022 yang disediakan untuk FICO, kesan kewangan itu turut dirasai oleh golongan mewah di negara ini.

"Dalam kalangan pelanggan kaya dalam perbankan Malaysia, 43 peratus mencatat pendapatan yang berkurangan akibat pandemik manakala separuh daripada keseluruhan pelanggan runcit turut mengalami impak negatif.

"Hampir separuh daripada golongan kaya atau 46 peratus mengalami masalah pinjaman tertunggak iaitu hanya tiga peratus lebih rendah berbanding pasaran perbankan runcit yang meluas di Malaysia," kata FICO.

Pendapatan yang terjejas itu menyebabkan dua daripada setiap lima orang kaya Malaysia berhasrat untuk mengurangkan perbelanjaan (40 peratus) sebagaimana tindakan yang ingin diambil oleh 39 peratus pelanggan perbankan runcit.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa persekitaran kewangan yang tidak menentu itu bagaimanapun tidak menghalang majoriti pelanggan perbankan runcit Malaysia yang berhasrat mengekalkan atau meningkatkan pelaburan masing-masing (77 peratus) dengan sebahagian besarnya merancang untuk mengekalkan atau menambah simpanan (82 peratus) manakala ramai yang mempertimbang untuk menukar penyedia perbankan pada tahun ini.

FICO berkata peningkatan kecenderungan menukar penyedia pinjaman itu adalah yang tertinggi membabitkan golongan kaya atau mereka yang memiliki sekurang-kurangnya RM200,000 dari segi pegangan yang boleh dilaburkan.

"Di Malaysia, lima peratus daripada pelanggan perbankan runcit dan golongan kaya telah berbuat demikian pada 2021. Angka itu dijangka sekurang-kurangnya meningkat dua kali ganda pada tahun ini dengan 10 peratus daripada pelanggan runcit dan 14 peratus golongan kaya mahu berbuat demikian," katanya.

Antara alasan utama yang diberikan oleh responden itu adalah perubahan persekitaran peribadi (31 peratus), konsolidasi atau penyatuan akaun yang mana mereka kini mempunyai akaun deposit (25 peratus), keinginan mendapatkan akses pilihan produk dan perkhidmatan pelaburan serta pengurusan kekayaan yang lebih baik (24 peratus) selain perubahan dari segi deposit gaji (21 peratus).

Laporan itu turut menunjukkan perubahan corak perbankan pengguna berikutan impak kewangan akibat pandemik.

Pengarah Kanan Penyelesaian Pengurusan Keputusan FICO bagi Asia Pasifik, Aashish Sharma berkata pandemik itu terbukti memburukkan lagi keadaan kewangan bagi pelanggan tanpa mengira kelas pendapatan masing-masing.

"Apabila tabiat meminjam dan perbelanjaan terjejas, pelanggan akan mencari jalan untuk meningkatkan kekayaan serta simpanan mereka. Oleh itu, bank-bank perlu lebih proaktif untuk mengenal pasti keperluan pelanggan dan mengutamakan pendekatan yang dapat meredakan kebimbangan kewangan selain memastikan produk mereka menepati kemampuan serta keperluan pembiayaan pelanggan.

"Pihak bank juga perlu memahami keperluan pelanggan secara lebih mendalam atau berisiko kehilangan mereka kepada pesaing dan penyedia alternatif.

"Usaha mengekalkan kepuasan pelanggan semata-mata juga tidak lagi penting sebaliknya pengalaman mereka perlu sentiasa dipertingkatkan. Langkah menjadikan aspek yang berteraskan pelanggan (sebagai keutamaan) adalah kunci untuk memastikan penyampaian pengalaman yang lebih khusus selain dapat mengekalkan pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh aspek penekanan ke arah digital, laporan itu menyatakan ramai responden Malaysia (47 peratus) masih mengutamakan aspek lokasi atau jarak cawangan dan mesin juruwang automatik sebagai penentu utama pemilihan penyedia perbankan selain kepentingan menyediakan perkhidmatan digital.

Sebanyak 72 peratus pelanggan perbankan runcit Asia Pasifik memilih produk teknologi kewangan berbanding pilihan menggunakan perkhidmatan utama bank mereka.

Jumlah itu adalah yang tertinggi di Malaysia (94 peratus) yang mana pelanggan mengakui berbuat demikian kerana mahukan kemudahan penggunaan, penjimatan masa serta proses permohonan yang lebih mudah, kata FICO.

Kaji selidik tersebut telah dijalankan pada 2021 oleh sebuah syarikat penyelidikan bebas yang menepati standard industri dan melibatkan 1,003 golongan dewasa Malaysia serta 12,885 pengguna di Australia, New Zealand, Singapura, Indonesia, India serta Thailand. – BERNAMA


Selasa, September 29, 2020

Perlu berani untuk tambah pendapatan

 

Oleh Zubaidah Ibrahim

Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, setiap individu perlu melakukan lebih daripada satu pekerjaan atau mempunyai pendapatan sampingan.

Pendapatan sampingan ini bukan sahaja membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat musim Covid-19, malah ia memberi keuntungan berganda berbanding pekerjaan tetap.

Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali, untuk bebas daripada masalah kewangan, seseorang itu perlu mempunyai pendapatan yang lebih tinggi daripada perbelanjaan.

“Sehubungan itu, pilihan di tangan kita sama ada mahu me­ngurangkan perbelanjaan atau menambahkan pendapatan.

“Mungkin agak sukar untuk mengurangkan perbelanjaan maka, mencari pendapatan sampingan adalah cara terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Terangnya, terdapat tiga jenis pendapatan iaitu aktif, pasif dan portfolio.

Pendapatan aktif ialah pekerjaan yang melibatkan kita mendapat upah atau gaji, manakala pasif pula seperti dijana daripada rumah sewa, royalti buku atau muzik.

Bagi pendapatan portfolio, ia berbentuk keuntungan modal dan dividen seperti pelaburan saham atau unit teras.

Ujar Nuradli Ridzwan Shah, jualan online sangat bagus kerana ia juga boleh menjadi pendapatan pasif.

“Menulis e-book dan penjualan naskhah boleh memberi sumbangan kepada pendapatan pasif,” tuturnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Keusahawanan dan Kreativiti, Fakulti Ekonomi dan Pe­ngurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Noor Azuan Hashim berkata, bagi memulakan perniagaan, ia memerlukan minat dan keberanian untuk berniaga.

“Jangan lengahkan masa ke­rana peluang berniaga tidak datang berkali-kali.

“Pemilihan perniagaan hendaklah mengikut minat terma­suk menceburkan diri dalam jualan kosmetik, pakaian, aksesori atau perkhidmatan tatarias,” katanya.

Katanya, produk baharu dan viral juga dapat membantu seseorang memilih perniagaan sesuai dengan dirinya.

Beliau berpendapat, perniagaan online sangat sesuai untuk dijadikan pendapatan sampingan kerana ia fleksible dan tidak terikat.

“Sesorang itu boleh menjana pendapatan mengikut kese­suaian masa dengan memastikan telefon pintar sentiasa di tangan untuk menjawab pertanyaan atau tempahan pelanggan.

“Perniagaan ini adalah salah satu ciri ekonomi gig yang mana seseorang individu itu bekerja mengikut kesesuaian dan masa yang diset sendiri,” tambahnya.

Noor Azuan menyarankan agar memulakan perniagaan online dengan menjadi dropship sesuatu produk terlebih dahulu untuk mendapat ‘roh’ berniaga.

Selain itu, perlu juga untuk menimba ilmu berniaga secara formal atau tidak formal.

Dalam pada itu, Ketua Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Nor Akmar Yaakub berkata, adalah penting untuk membuat bajet kewangan setiap kali mendapat gaji supaya tidak berbelanja berlebihan.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuat simpanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji tersebut.

“Selepas itu tentukan per­belanjaan yang terdiri daripada perbelanjaan tetap, berubah dan budi bicara,” tuturnya.

Sumber : Kosmo!

Recent Posts