Sebutir berlian yang dipercayai ketiga terbesar di dunia ditemui di Botswana, lapor CNN kelmarin.
Berlian belum dicanai seberat berat 1,098 karat (219.6 gram) dan
berukuran 7.6 sentimeter itu dianggarkan bernilai sekitar £40 juta
(RM231 juta).
Ia ditemui di tapak perlombongan terkaya dunia di Jwaneng oleh syarikat Debswana Diamond Company (Debswana).
Pemangku Pengarah Urusan Debswana, Lynette Armstrong, berkata
pihaknya percaya berlian itu adalah ketiga terbesar ditemui di dunia.
"Berlian yang jarang dan luar biasa itu amat bermakna buat Botswana,
penemuannya membawa harapan kepada negara ini yang kini bergelut dengan
krisis ekonomi semasa," katanya.
Berlian terbesar di dunia, Cullinan, ditemui di Afrika Selatan pada
1905 dengan berat 3,106 karat (621.2 gram), yang kemudian dipotong
menjadi butiran lebih kecil termasuk beberapa yang kini dimiliki
keluarga diraja Britain.
Ini
diikuti berlian Lesedi La Rona bersaiz 1,109 karat (221.8 gram) yang
ditemui syarikat Kanada, Lucara Diamond di lombong Karowe, juga di
Botswana pada 2015.
Menurut Armstrong, penemuan kali ini adalah berlian terbesar dalam sejarah 50 tahun syarikat Debswana.
Debswana adalah syarikat usaha sama antara kerajaan Botswana dan gergasi berlian global, De Beers.
"Pada masa ini, kami belum membuat keputusan sama ada mahu menjual
berlian ini menerusi saluran jualan De Beers atau melalui syarikat milik
kerajaan, Okavango Diamond Company," katanya.
Bagaimanapun, menurut seorang jurucakap Debswana, syarikat itu akan
menjual berlian itu dengan cara yang akan memberikan manfaat maksimum
kepada rakyat negara itu.
Pada Rabu lalu, berlian itu diserahkan kepada Presiden Botswana, Mokgweetsi Masisi, di ibu negara, Gaborone.
Sementara itu, Menteri Mineral Botswana, Lefoko Moagi, berkata
penemuan berlian itu berlaku pada waktu yang tepat selepas pandemik
COVID-19 memberi kesan buruk kepada jualan berlian negara itu tahun
lalu.
Sumber : AGENSI