Memaparkan catatan dengan label Dunia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dunia. Papar semua catatan

Rabu, Oktober 06, 2021

UFO dirakam mengelilingi letusan gunung berapi

 

Sebuah video menjadi tular di media sosial kerana memaparkan rakaman beberapa cahaya aneh daripada objek terbang tidak dikenali (UFO) yang sedang terbang menghampiri letusan gunung berapi, lapor akhbar Daily Star semalam.

Dalam klip video yang dikongsikan di laman perkongsian Reddit, gunung berapi Cumbre Vieja di La Palma, Sepanyol pada ketika itu sedang meletus sehingga memuntahkan lahar ke arah langit.

Beberapa titik cahaya berwarna terang kemudiannya muncul di bahagian kanan langit serta melintasi skrin video tersebut.

Ia kemudiannya berpusing di udara sebelum kembali menuju ke arah gunung berapi.

Video yang didakwa dirakam pada 30 September itu menerima tontonan lebih 1,000 kali dengan ramai pengguna cuba memberikan pendapat masing-masing mengenai kejadian itu.

“Dron? Sama ada itu atau makhluk asing mahukan rakaman gunung berapi yang cantik,” komen seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna kemudiannya menjelaskan bahawa objek itu tidak mungkin sebuah ‘dron biasa’ kerana haba daripada lahar gunung berapi akan mencairkan dron dan bidang magnetik yang kuat akan mengganggu isyarat alat kawalan jauh.

Sumber : Agensi

Jumaat, Julai 30, 2021

Mumia Chinchorro peninggalan peradaban awal manusia

 

Mumia tertua di dunia iaitu mumia Chinchorro di utara Chile menyertai senarai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Ilmiah dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), lapor akhbar Daily Mail.

Mumia Chinchorro yang dijumpai pada awal abad ke-20, berusia lebih 7,000 tahun dan lebih tua daripada mumia firaun di Mesir yang lebih terkenal serta berusia 2,000 tahun.

Semasa sesi ke-44 Jawatankuasa Warisan Dunia yang diadakan secara online dari Fuzhou, China, UNESCO mengumumkan penambahan mumia Chinchorro ke dalam senarai berprestij itu.

“UNESCO mengesahkan status tersebut di peringkat antarabangsa selepas mengambil kira pandangan pakar-pakar dalam pelbagai bidang.

“Nilai budaya mumia Chinchorro adalah luar biasa dan memiliki kepentingan global,” kata pakar antropologi Chile, Bernardo Arriaza.

Laman web rasmi UNESCO turut menambah tiga laman web yang dikaitkan dengan mumia Chinchorro iaitu Faldeo Norte del Morro de Arica di Colón 10, Arica, dan Desembocadura de Camarones.

“Mumia ini membuktikan arkeologi tertua yang diketahui mengenai penghasilan mumia,” tambah UNESCO.

Mumia Chinchorro yang diawetkan dan ditanam bersama barangan berharga, memiliki nilai estetika serta mencerminkan peranan besar orang yang sudah mati dalam masyarakat Chinchorro

Analisis kimia tulang dan timbunan cangkerang yang dibuang menunjukkan 90 peratus sumber makanan masyarakat Chinchorro adalah makanan laut.

Kaum Chinchorro adalah nelayan dan pemburu sejak lebih 7,000 tahun lalu di kawasan yang sekarang terletak di selatan Peru dan utara Chile.

Satu mumia yang ditemui mempunyai garis putus-putus seperti kumis di atas bibir atas­nya, dipercayai bukti tatu tertua di Hemisfera Barat.

Proses menghasilkan mumia termasuk membuang organ dalaman, usus dan tisu mayat sebelum kulit dirobek dan mencantumkan kembali mayat menggunakan tongkat dan rambut binatang.

Rambut hitam tebal dijahit di kulit kepala dan mayat kemudian dicat merah atau hitam menggunakan kotoran, pigmen, mangan dan besi oksida.

Setakat ini, lebih 300 mumia Chinchorro telah ditemui termasuk yang berwarna merah, hitam dan dibalut. 

Sumber : Agensi

Rabu, Jun 30, 2021

Nampak ‘hantu jerangkung’ di bangunan terbengkalai

 

Rakaman entiti seram dipercayai hantu yang muncul semasa proses meruntuhkan sebuah bangunan terbengkalai di Hull, England  hampir sedekad lalu terus menimbulkan tanda tanya penduduk tempatan, lapor akhbar Daily Star kelmarin. 

Milldane Tower Blocks (Milldane) adalah salah satu daripada dua buah bangunan di Orchard Park Estate yang diruntuhkan menggunakan bahan letupan pada 11 Ogos 2013 dalam usaha untuk membangunkan semula kawasan tersebut.

Ketika ledakan berlaku di sekitar Milldane, seorang pekerja merakam kelibat entiti itu di tingkat 18 yang mendorong orang ramai tertanya-tanya sama ada blok tersebut berhantu.

Rakaman itu jelas memaparkan entiti tersebut tergantung di tepi balkoni bangunan itu.

Ramai menyangka mereka telah melihat hantu jerangkung, manakala rakaman itu menjadi tular di media sosial pada ketika itu.

Menurut sejarah, pada tahun 1997, satu blok menara Milldane mengalami dua kebakaran serius yang dipercayai dicetuskan dengan sengaja.

Menerusi laporan berita, Milldane adalah blok pangsapuri yang tidak mendapat sambutan masyarakat dan pemilik-pemilik apartmen sangat terdesak untuk mencari penyewa. 

Sumber : Agensi

 

Rabu, Jun 23, 2021

Wanita dakwa lahirkan kembar 10 dimasukkan ke wad psikiatri

 

Seorang wanita warga Afrika Selatan yang mendakwa telah melahirkan kembar 10 atau decuplet dimasukkan ke hospital untuk menjalani penilaian psikiatri susulan spekulasi berita kelahiran itu palsu, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Gosiame Thamara Sithole, 37 yang kononnya memecahkan rekod dunia selepas melahirkan bayi kembar 10 telah dimasukkan ke wad psikiatri di Hospital Tembisa, Johannesburg minggu lalu.

“Penilaian kesihatan tersebut mendapati suspek tidak pernah hamil dan tiada parut pembedahan baharu di bahagian abdomen Sithole,” kata satu sumber.

Peguam Sithole, Refiloe Mokoena berkata wanita itu mendakwa dirinya kini sedang ditahan di hospital tanpa kerelaannya.

“Dia menolak untuk dibawa ke hospital bagi menjalani penilaian psikiatri kerana berasa dirinya waras.

“Namun begitu, dia kini berada dalam tahanan hospital dan tidak dibenarkan menerima pelawat,” kata Mokoena kepada laman berita tempatan, IOL.

Teman lelaki Sithole, Teboga Tsotetsi telah beberapa kali cuba untuk melawat kekasihnya itu namun tidak dimaklumkan tentang keadaan dan lokasi kesemua 10 bayi yang didakwa dilahirkan Sithole. 

Pegawai perubatan juga berkata mereka tidak menemui sebarang rekod yang mengesahkan kelahiran decuplet di mana-mana hospital swasta atau awam. 

Sumber : Agensi

Kadar jangkitan kulat hitam meningkat di India

 

Kes-kes jangkitan mucormycosis atau kulat hitam meningkat dalam kalangan pesakit Covid-19 di India dengan kadar jangkitan melebihi 30,000 dalam tempoh tiga minggu dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 2,100 kematian, lapor akhbar New York Post semalam.

Para doktor di India percaya kesesakan yang berlaku di hospital-hospital dan kekurangan tangki oksigen telah menyebabkan pesakit mudah terdedah kepada jangkitan tersebut.

Menurut seorang doktor, penggunaan steroid yang berlebihan bagi merawat keradangan pada pesakit Covid-19 untuk membolehkan mereka bernafas dengan lebih mudah telah meningkatkan kadar gula dalam darah, sekali gus menyebabkan pesakit diabetes terdedah dengan risiko jangkitan.

Seorang penyelidik dan pakar mikrobiologi, Dr. Arunaloke Chakrabarti berkata, ramai doktor tidak mempunyai masa untuk bertanyakan pesakit mengenai keadaan kesihatan mereka sebelum memberikan steroid kepada mereka.

“Para doktor tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan prosedur pengurusan pesakit.

“Mereka hanya memberi fokus kepada bagaimana untuk menjaga saluran pernafasan pesakit,” ujarnya.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), jangkitan kulat hitam tersebut yang disebabkan oleh sekumpulan spora yang digelar mucormycetes kebiasaannya tidak menjangkiti individu yang sihat.

Bagaimanapun, bagi yang mempunyai masalah kesihatan atau mengambil ubat-ubatan yang melemahkan kebolehan badan untuk melawan kuman dan penyakit, spora tersebut boleh menjangkiti sinus atau paru-paru ketika menghirup udara.

Individu yang mempunyai penyakit-penyakit termasuk diabetes, kanser, pemindahan organ, pemindahan sel stem, sel darah putih yang rendah, kecederaan kulit dan kelahiran pramatang adalah berisiko untuk dijangkiti kulat hitam tersebut.

Sumber : AGENSI 

 

 

Selasa, Jun 22, 2021

Nelayan jutawan sekelip mata selepas jumpa muntah paus

 

Sekumpulan nelayan di Yemen menjadi jutawan sekelip mata  selepas  mereka terjumpa bangkai seekor paus sperma semasa keluar menangkap ikan di tengah laut, baru-baru ini. 

Mereka membelah perut bangkai paus tersebut dan menemui ambergris atau muntah paus seberat 127 kilogram. Bahan yang ditemui dalam perut paus itu amat berharga dan digunakan untuk menghasilkan minyak wangi.

Kumpulan nelayan itu menjual muntah paus tersebut kepada seorang ahli perniagaan Emiriyah Arab Bersatu pada harga AS$1.5 juta (RM6.2 juta) sekali gus  jumlah yang amat besar kepada penduduk Yemen.

“Kami mendapat banyak manfaat daripada muntah paus itu. Sesetengah kami menggunakan hasil jualan itu untuk membeli  bot atau rumah,” kata seorang nelayan itu.

Bangkai paus itu ditemui oleh Fares Abdulhakeem dan 35 nelayan lain di perairan bandar Aden pada Februari lalu.

Sebahagian wang itu didermakan bagi membantu komuniti tempatan, manakala bakinya dibahagikan sesama mereka

“Saya keluar menangkap ikan setiap hari dan pada hari tersebut kami menemui seekor paus mati. Bangkai haiwan itu sarat dengan  ambergris

“Hidup kami berubah selepas itu,” katanya.

Nelayan  di Yemen mengetahui tentang kewujudan ambergris sejak dahulu lagi.

Kehidupan di Yemen adalah sukar di mana berjuta-juta orang kini diambang kebuluran disebabkan oleh perang saudara antara kerajaan yang disokong Arab Saudi dan pemberontak Houthi. 

Sumber : AFP

 

Sabtu, Jun 19, 2021

Berlian ketiga terbesar di dunia ditemui

 

Sebutir berlian yang dipercayai ketiga terbesar di dunia ditemui di Botswana, lapor CNN kelmarin.

Berlian belum dicanai seberat berat 1,098 karat (219.6 gram) dan berukuran 7.6 sentimeter itu dianggarkan bernilai sekitar £40 juta (RM231 juta).

Ia ditemui di tapak perlombongan terkaya dunia di Jwaneng oleh syarikat Debswana Diamond Company (Debswana).

Pemangku Pengarah Urusan Debswana, Lynette Armstrong, berkata pihaknya percaya berlian itu adalah ketiga terbesar ditemui di dunia.

"Berlian yang jarang dan luar biasa itu amat bermakna buat Botswana, penemuannya membawa harapan kepada negara ini yang kini bergelut dengan krisis ekonomi semasa," katanya.

Berlian terbesar di dunia, Cullinan, ditemui di Afrika Selatan pada 1905 dengan berat 3,106 karat (621.2 gram), yang kemudian dipotong menjadi butiran lebih kecil termasuk beberapa yang kini dimiliki keluarga diraja Britain. 

Ini diikuti berlian Lesedi La Rona bersaiz 1,109 karat (221.8 gram) yang ditemui syarikat Kanada, Lucara Diamond di lombong Karowe, juga di Botswana pada 2015.

Menurut Armstrong, penemuan kali ini adalah berlian terbesar dalam sejarah 50 tahun syarikat Debswana.

Debswana adalah syarikat usaha sama antara kerajaan Botswana dan gergasi berlian global, De Beers.

"Pada masa ini, kami belum membuat keputusan sama ada mahu menjual berlian ini menerusi saluran jualan De Beers atau melalui syarikat milik kerajaan, Okavango Diamond Company," katanya.

Bagaimanapun, menurut seorang jurucakap Debswana, syarikat itu akan menjual berlian itu dengan cara yang akan memberikan manfaat maksimum kepada rakyat negara itu.

Pada Rabu lalu, berlian itu diserahkan kepada Presiden Botswana, Mokgweetsi Masisi, di ibu negara, Gaborone.

Sementara itu, Menteri Mineral Botswana, Lefoko Moagi, berkata penemuan berlian itu berlaku pada waktu yang tepat selepas pandemik COVID-19 memberi kesan buruk kepada jualan berlian negara itu tahun lalu.

Sumber : AGENSI

 

 

Selasa, Jun 01, 2021

16 pesawat China masuk Zon Maritim Malaysia

 


Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional semalam.

Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, berkata penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Pesawat bekenaan dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

"Formasi panjang itu juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. 

"Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ackbal berkata, pesawat itu dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara. 

"Pihak TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

"Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat itu di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR," katanya.

Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.

"Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM mengenal pasti pesawat itu adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.

"Pesawat jenis ini adalah pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi," katanya.

Menurut Ackbal, insiden ini adalah perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR.

"Insiden ini dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

"Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts