Memaparkan catatan dengan label CheDet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CheDet. Papar semua catatan

Rabu, Julai 28, 2010

Kod Etika Jadikan Penulis Blog Lebih Dihormati - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa penulis blog supaya berpegang teguh dengan kod etika untuk menulis perkara yang benar demi kebaikan masyarakat supaya mereka dan blog masing-masing lebih dihormati.

Bekas perdana menteri itu berkata kod etika berkenaan perlu diwujudkan secara sukarela demi kebaikan penulis blog sendiri kerana ia bakal membina reputasi mereka di mata orang ramai.

Dr Mahathir, yang juga seorang penulis blog berkata, masyarakat kini mempunyai akses kepada blog, satu medium yang hampir di luar kawalan mana-mana pihak berkuasa, dan jika mereka mematuhi kod etika untuk menulis perkara yang benar sahaja, lebih ramai orang awam akan membacanya.

"Jika kita bersandarkan kepada kod etika sebegini dalam setiap penulisan kita, saya fikir lama-kelamaan, orang ramai akan menghormati blog. Jika kita tidak menulis perkara yang benar, mereka akan meninggalkannya seperti yang berlaku kepada media biasa ketika ini," katanya dalam ucap tama pada persidangan Blogger Asia dan Media Sosial 2010 di sini, Rabu.

Persidangan dua hari itu dihadiri 400 peserta dari benua Asia.

Dr Mahathir berkata walaupun blog menyediakan ruang bagi kebebasan menulis apa yang dikehendaki secara mutlak, namun penulisnya masih perlu bertanggungjawab terhadap penulisan mereka serta tidak menyalahgunakannya.

"Tidak boleh menyatakan perkara buruk atau memaki hamun orang lain, jangan buat begitu, orang akan marah dan mereka boleh mengambil tindakan terhadap kita. Kita mesti ada bahan sokongan untuk setiap perkara yang kita nyatakan. Walaupun kita tidak sukakan seseorang, kita tidak boleh menulis perkara tidak benar (mengenai mereka)," katanya.

Beliau berkata penulis blog mempunyai kelebihan daripada segi kebebasan namun mereka mesti menggunakannya dengan penuh tanggungjawab bagi membentuk pemikiran ke arah membina masyarakat dunia yang lebih baik demi kebaikan umum.

"Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang atau membetulkan kita, kerana kita yang berkuasa (kerana) kitalah penulis, penyunting dan juga penerbit. Apabila memiliki senjata, jangan gunakannya (untuk menembak) sesuka hati. Penulis blog mesti berupaya menahan diri dan mengelak daripada menyatakan perkara yang tidak benar serta boleh melukakan hati orang lain," katanya. Dr Mahathir berkata sesetengah blog amat bagus namun ada juga yang tidak berguna, justeru beberapa kemahiran diperlukan untuk mengenal pasti sama ada apa yang ditulis dalam blog itu benar atau hanyalah satu propaganda.

- BERNAMA

Isnin, Jun 14, 2010

Perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu bersama Tun Mahathir


Kira-kira 1,000 orang membanjiri perhimpunan kontroversi 'Melayu Bangkit' di Stadium Negeri Kuala Terengganu yang dibatalkan sebelum ini, setelah dipertikaikan banyak pihak sebagai perkauman.

Program anjuran Gerakan Tindakan Rakyat (GERTAK) - gabungan 45 NGO Melayu di Terengganu - yang bermula padajam 10 pagi di stadium negeri itu antaranya dihadiri mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Kehadiran Ahmad yang tidak pernah dimaklumkan sebelum ini adalah di luar dugaan.

Dalam majlis penuh istiadat Melayu itu, ketibaan kedua-dua tetamu disambut dengan paluang gendang silat dan persembahan pencak silat oleh dua pasangan pesilat lelaki dan wanita.

Antara NGO yang menonjol dalam program itu ialah Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) yang tampil dalam pakaian seragam hijau muda, membawa bendera persatuan dan berlilit kepala bertulis dua kalimah syahadah.

Perhimpunan tersebut berjalan aman tanpa sebarang insiden. Kelihatan hanya kira-kira 10 anggota polis berpakaian seragam mundar-mandir mengawal keadaan dalam stadium tertutup tersebut.

Program tersebut turut diserikan dengan persembahan daripada aktivis seni daripada Kumpulan Teater Orang Ulu Ibrahim Taib dengan bacaan sajaknya dalam loghat Hulu Terengganu pekat yang mencuit hati.

Sajak tersebut, antaranya menyebut, Melayu perlu kuat dan memimpin dunia supaya dapat "tentukan anggota JKKK (Jawatankuasa Keselamtan dan Kemajuan Kampung) di Israel", "jadikan Obama kelasi kapal" dan "lantik Bush sebagai tok siak di masjid untuk sapu tahi cicak".

Persetujuan nenek moyang

Sementara itu, dalam ucapannya pengasas dan presiden GERTAK Razali Idris mengecam mereka yang mengkritik perhimpunan tersebut - yang pada mulanya dijadual pada 13 Mei lalu - serta kehadiran Dr Mahathir.

"Kita dituduh, difitnah. Ada yang kata Dr Mahathir sebagai rasis. Tuduhlah, tempat tidak penting pada kita. Yang penting adalah ucapan Dr Mahathir.

"Kaum lain tidak perlu risau kerana kita bukan hendak bangkit dengan senjata atau pemusnah tetapi (secara) matang dalam perjuangan," katanya.

Razali mengakhiri ucapannya dengan menggesa mereka yang hadir supaya bangkit mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Raja Melayu.

"Perkara ini sudah dipersetujui sejak nenek moyang kita dahulu," katanya disusul laungan takbir tiga kali, tetapi malangnya tidak disahut orang ramai yang hadir.

Razali hanya berucap ringkas tidak sampai sepuluh minit dalam program itu bagi memberikan laluan kepada Dr Mahathir yang disifatkan sebagai "negarawan" bagi menyampaikan ucapannya.

Antara NGO lain yang bergabung dalam GERTAK ialah PEWARIS, Gerakan Belia 4B, Sahabat Laut Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA).

Dr Mahathir pula dalam ucapannya berkata pembatalan perhimpunan itu pada 13 Mei lalu adalah disebabkan oleh fikiran singkat sesetengah pihak yang bimbang perhimpunan orang Melayu itu diadakan pada tarikh berlakunya rusuhan kaum pada 1969.

Setelah bersurai, kira-kira 50 orang sempat berkumpul pantas bagi melaungkan di perkarangan stadium itu sambil melaungkan slogan anti-Israel yang menyerang flotila pro-Palestin baru-baru ini.

Dr M kesal ''Melayu Bangkit' dikatakan rasis

Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kekesalannya terhadap tindakan pihak tertentu yang mengaitkan perhimpunan 'Melayu Bangkit' - yang sepatutnya diadakan pada 13 Mei lalu - dengan perkauman sehingga mendorong ia ditangguhkan.

Katanya tindakan tersebut seolah-olah melupakan sejarah yang seterusnya menyebabkan mereka "mengulangi kesalahan yang sama berkali-kali".

"(Perhimpunan sebegini) bukan hendak rampas hak bangsa lain. Melayu ini amat pemurah. Kita memberikan tempat dan kerakyatan serta terima orang lain sebagai warganegara, tidak seperti di negara lain di mana Orang Asli dan bumiputeranya tidak sanggup memberikannya," katanya.

Berucap dalam perhimpunan anjuran Gerakan Tindakan Rakyat (Gertak) di Kuala Terengganu hari ini, Dr Mahathir turut menyatakan pendapatnya bahawa tragedi rusuhan kaum pada tahun 1969 itu berlaku bukan sahaja disebabkan oleh perbezaaan warna kulit.

"Sebab itu 13 Mei menjadi contoh perpisahan (pemecahan) kaum, ditokok tambah dengan perpisahan (ekonomi) antaranya yang kaya dengan yang miskin," katanya sambil menyifatkanya fenomena itu sebagai 'peperangan antara kelas'.

Setelah ditangguhkan hampir sebulan perhimpunan Melayu Bangkit ditangguhkan, Dr Mahathir hari ini tampil berucap dalam majlis itu, antaranya menegaskan keperluan orang Melayu bersatu supaya tidak menjadi golongan minoriti, sekali gus tidak lagi berkuasa di negara ini.

Katanya, berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana orang Melayu 100 peratus bangun menentang Malayan Union - yang kemudiannya melahirkan Umno - orang Melayu kini berpecah kepada tiga parti.

"(Melayu terbahagi kepada) 20 peratus setiap parti yang lawan sesama sendiri. Ini menjadikan kita sebagai minoriti," katanya merujuk kepada parti yang didominasi orang Melayu, iaitu Umno, PAS dan PKR.

Bercakap di harapan kira-kira 1,000 orang awam dan aktivis daripada 45 NGO di seluruh Terengganu, Dr Mahathir menyeru orang Melayu berubah sebelum negara ini menjadi seperti Singapura di mana kaum itu kini hanya 15 peratus sahaja daripada populasi rakyatnya.

"Melayu di Singapura terbongkok-bongkok di hadapan orang lain," katanya.

"Orang kata bercakap mengenai Melayu ini rasis. Mulanya saya cuba elak bercakap tentang Melayu tetapi saya tak dapat (lakukannya).

"(Keadaan) Melayu sebagai penduduk asal sekarang dalam krisis, genting dan cemas."

- MALAYSIAKINI

Rabu, Jun 02, 2010

Malaysia tidak akan bankrap kerana subsidi - Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa negara boleh bankrap jika diteruskan pemberian subsidi kepada rakyat.

Beliau berkata, kesan jangka panjang terhadap Malaysia jika subsidi diteruskan adalah akan menjadi negara ini miskin apabila banyak wang dikeluarkan untuk membantu rakyat manakala pendapatan pula berkurangan.

''Saya fikir untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai, Idris telah membesar-besarkan perkara ini kerana bagi saya Malaysia tidak akan bankrap sebaliknya hanya akan menjadi miskin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan mengenai program meja bulat dan dialog awam anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana dan The New Club of Paris pada pertengahan bulan ini di sini hari ini.

Idris baru-baru ini berkata, Malaysia mungkin bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi masa kini tidak dimansuhkan.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri berkata, ia boleh berlaku kerana hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2019, jika pemberian subsidi diteruskan.

Malaysia merupakan antara negara yang memberi subsidi tertinggi kepada rakyatnya iaitu berjumlah RM74 bilion pada 2009.

Dr. Mahtahir berkata, bagi memastikan Malaysia tidak menjadi miskin, kerajaan perlu mengurangkan pemberian subsidi kepada rakyat tetapi ia hendaklah dilakukan secara beransur-ansur dan bukannya mendadak.

Ditanya adakah prinsip yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) harus diteruskan dalam Model Baru Ekonomi (MBE), beliau berkata, kerajaan perlu membuat kajian terlebih dahulu sama ada dasar itu yang bertujuan memastikan tiada jurang perbezaan ekonomi antara kaum telah mencapai sasarannya.

''Antara petunjuk yang boleh dilihat adalah ketika krisis kewangan pada 1997 dan 1998, apabila penduduk Indonesia yang ditimpa kesusahan membakar kedai dan rumah kaum Cina di republik itu.

''Ini tidak berlaku di Malaysia. Orang Melayu di negara ini tidak bertindak sedemikian dan mungkin disebabkan DEB telah berjaya sedikit sebanyak menstruktur masyarakat sehingga menyebabkan tidak semua orang Melayu miskin dan tidak semua kaum Cina kaya," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, program meja bulat dan dialog awam pada 15 dan 16 Jun ini bertujuan membincangkan mengenai langkah-langkah bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai ekonomi, politik dan sosial berasaskan pengetahuan.

''Segala hasil perbincangan ini akan diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut termasuk kemungkinan dijadikan panduan ketika penggubalan MBE," ujarnya.

- UTUSAN

Jumaat, Mei 28, 2010

Dr. M kongsi rahsia kekal muda

Lakukan sesuatu yang menyeronokkan diri dan nikmati kerjaya serta hidup anda untuk kekal muda dan sihat pada usia emas.

Itulah petua utama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 85, ketika berkongsi rahsia mengekalkan kesihatan dan kecergasan badan pada Persidangan Penuaan Sihat Malaysia Kelima hari ini.

Sambil berjenaka bersama peserta persidangan, beliau mengakui suka mengkritik terutamanya terhadap ahli politik lain dengan tanggapan dirinya lebih hebat berbanding mereka.

"Saya tidak pernah hilang minat dalam politik dan saya nikmati setiap saat sebagai Perdana Menteri dan juga apa jua kerja yang saya lakukan sekarang.

"Dengan adanya blog, saya dapat mengekalkan minda yang aktif dengan memberi komen terhadap orang lain (ahli politik) dan ini membuat diri berasa hebat dan gembira. Rasa gembira itu seterusnya mengekalkan keremajaan diri," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan tersebut di sini.

Pada majlis sama, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali turut melancarkan Kongres Penuaan Sihat Sedunia yang persidangan pertamanya dijangka berlangsung di ibu negara pada Mac 2012.

Turut hadir, Penaung Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS), Che Engku Puan Sri Mahirah dan suami, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar; Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr. Nik Mustapha Raja Abdullah; Presiden MHAS, Prof. Madya Nathan Vytialingam dan Pengerusi Persidangan, Prof. Madya Dr. Loong Yik Yee.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut menasihatkan pesara di negara ini kekal aktif dalam apa sahaja yang mereka minati seperti dirinya yang 'menikmati' pelantikan sebagai Perdana Menteri pada usia 56 tahun.

"Jangan berhenti 'bekerja' di usia persaraan anda. Lakukan sesuatu yang anda gemar dan minati supaya lahir rasa gembira yang dapat mengekalkan keremajaan dan kesihatan diri.

"Nikmati kerjaya dan hasil kerja anda, teruja menanti hari esok dan kekal gembira dengan kehidupan anda.

"Mereka yang tidak gembira lebih cepat kelihatan tua kerana muka perengus yang kurang senyum dan suka memarahi orang akan lebih cepat kendur berbanding mereka yang kerap senyum gembira," ujarnya.

Tambah beliau, tidak perlu untuk bekerja keras dalam sesuatu yang tidak membawa kegembiraan kepada diri sendiri kerana tindakan itu hanya akan mempercepatkan proses penuaan.

Selain itu, Dr. Mahathir memberitahu, beliau mengelak sukan lasak bagi menjaga kekuatan sendi, mengamalkan pemakanan sederhana serta tidak merokok atau mengambil minuman beralkohol untuk kekal sihat.

"Saya bukan seorang ahli sukan tetapi melakukan senaman berkala. Saya juga percaya bahawa sukan lasak tidak menunjukkan kesan semasa kita muda tetapi gejala kerosakan sendi akan jelas dengan peningkatan usia.

"Saya juga perhatikan rakyat Malaysia kini memberi anak mereka terlalu banyak makan terutamanya makanan segera dan air berkarbonat yang banyak menyumbang kepada masalah obesiti.

"Lebih penting lagi, saya tidak merokok dan tidak mahu membelanjakan wang untuk sesuatu yang tidak sedap di mulut dan merosakkan paru-paru kita," jelasnya.

Beliau menegaskan, semua langkah tersebut menyumbang kepada dirinya kekal cergas, sihat dan kelihatan lebih muda daripada usia sebenar sehingga kini.

"Usia emas yang sihat bermula dengan apa yang kita lakukan ketika masih muda. Saya berharap semua dapat mencontohi hidup saya dengan menikmati kehidupan seharian dan kerjaya mereka serta melakukan semua perkara dalam hidup secara sederhana dan tidak keterlaluan," katanya.

- UTUSAN

Sabtu, Mei 15, 2010

'Ingin ingatkan orang Melayu' - Tun Mahathir


Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, persetujuan beliau untuk menghadiri dan merasmikan program Melayu Bangkit yang terpaksa ditunda semalam bagi mengingatkan orang Melayu agar tidak mengulangi peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Bekas Perdana Menteri memberitahu, beliau tidak akan membangkitkan rasa kemarahan orang Melayu untuk memberontak sebaliknya mengingatkan mereka agar tidak mengulangi peristiwa tersebut.

"Saya tidak akan membangkitkan rasa marah orang Melayu pada program tersebut tetapi akan mengingatkan mereka, kalau kita tidak ambil kisah masalah perkauman, saya bimbang sejarah 13 Mei akan berulang.

"Saya melalui sendiri peristiwa berdarah tersebut dan merasa keperitannya. Oleh itu saya rasa boleh mendidik rakyat agar tidak mengulangi dan melakukan lagi peristiwa 13 Mei 1969,'' katanya.

Dr. Mahahtir ditemui ketika mengadakan sidang akhbar khas mengenai penyertaan Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) dalam konvoi lapan kapal untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tentangan yang dibuat oleh MCA terhadap program Melayu Bangkit dan mengingati peristiwa berdarah tersebut yang terpaksa ditunda selepas campur tangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Program Melayu Bangkit yang dijadual diadakan serentak dengan 'Program Bersama Tun Mahathir' dijangka dihadiri kira-kira 10,000 orang di Stadium Tertutup di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Program tersebut dianjurkan oleh Institut Integrasi Negeri Terengganu dengan kerjasama Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak).

"Saya fikir kalau kita lupa sejarah, sejarah itu akan berulang semula, mereka yang lupa sejarah akan dihukum dengan melakukan kesalahan yang sama berulang kali.

"Idea untuk melupakan sejarah terutama 13 Mei merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima," katanya.

Sementara itu, mengenai cadangan kerajaan untuk membina loji tenaga nuklear pada masa depan, Dr. Mahathir menegaskan beliau menentang sebarang pembinaan loji tersebut di negara ini.

Katanya, beliau secara peribadi menentang pembinaan loji nuklear tersebut kerana saintis di seluruh dunia masih lagi tidak memahami kuasa tenaga nuklear.

"Sekali kita mengaktifkan uranium ia tidak boleh dilupuskan, dunia sekarang ini juga berdepan dengan buangan uranium dan mereka tidak tahu hendak buat apa dengan benda tersebut.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi PGPO berkata, Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) akan menghantar sebuah kapal kargo dan sebuah kapal penumpang untuk menyertai pelayaran lapan kapal dari seluruh dunia menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, pada 25 Mei ini.

Sehubungan itu, beliau merayu masyarakat antarabangsa membantu memastikan keselamatan kapal-kapal dan 600 penggiat keamanan yang turut serta dalam misi penghantaran bantuan kepada penduduk Palestin tersebut.

"PGPO perlu meminta bantuan perlindungan daripada masyarakat antarabangsa memandangkan tentera laut Israel pasti akan menggunakan apa cara sekalipun untuk menghalang penghantaran bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Dr. Mahathir memberitahu, PGPO membelanjakan RM1.5 juta untuk membeli kapal dan menghantar bantuan kemanusiaan tersebut.

Katanya, sebahagian besar dana tersebut diperoleh dari Tabung Palestin yang digerakkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan sumbangan Yayasan Al-Bukhari.

"Kapal yang dihantar oleh PGPO dinamakan Rachel Corrie iaitu sempena nama seorang penggiat keamanan berusia 17 tahun daripada Pergerakan Perpaduan Antarabangsa (ISM) di Amerika Syarikat (AS) yang dibunuh oleh Israel di Semenanjung Gaza pada 2003.

"Kapal tersebut akan membawa 5,000 kilogram barang bantuan termasuklah peralatan membina rumah, perubatan iaitu kerusi roda, kerusi klinik pergigian, alat untuk menderma darah, katil, penapis air serta peralatan persekolahan,'' katanya.

- UTUSAN

Ahad, Januari 03, 2010

Kebenaran Penggunaan Kalimah Allah Perlu Diiringi Syarat Ketat - Dr M

KUALA TERENGGANU: Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya perlu diiringi syarat yang ketat.

Bekas Perdana Menteri berkata, walau apapun alasan yang diberi sebagai justifikasi keputusan berkenaan, ia tetap menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

"Ini kerana terjemahan God yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah 'Tuhan', bukan Allah. Allah spesifik Tuhan bagi orang Islam. Kalau mereka faham mereka akan guna perkataan Tuhan, bukan Allah.

"Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia... tapi di Semenanjung ni kita tak pernah dengar pula," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan HeraldThe Catolic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Pada 16 Feb lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Dr Mahathir berkata sensitiviti umat Islam perlu dipertimbang oleh bukan Islam, sebagaimana umat Islam di negara ini menjaga sensitiviti penganut agama lain bagi mengekalkan keharmonian negara.

"Yang saya khuatir bila Allah diguna oleh mereka, mungkin mereka akan guna secara yang akan timbulkan perasaan marah di kalangan orang Islam, kalau buat sepanduk dan tulis sesuatu yang tak cerminkan agama Islam.

"Kalau mereka nak gunakan (kalimah) Allah, ia harus dikenakan syarat yang ketat," katanya yang menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan yang perlu bagi menyelesaikan kemelut itu.

- BERNAMA

Jumaat, Disember 25, 2009

Siasat pentadbiran saya - Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) mengakui pernah berlaku beberapa kerugian dalam tempoh pentadbirannya tetapi jumlahnya tidak mencecah RM10 bilion.

Beliau berkata, jika kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion seperti yang didakwa Barry Wain, penulis buku Malaysia Maverick, kerajaan sedia ada pasti tenat.

"Walaupun pertumbuhan kita agak lemah dalam beberapa tahun, kerajaan tidak pernah gagal memenuhi semua komitmen kewangan termasuk perkhidmatan pembayaran balik hutang.

"Malah, kita pada masa itu memiliki wang secukupnya untuk membayar hutang lebih awal," kata beliau dalam blognya http://chedet.co.cc/chedetblog/ di sini hari ini.

Dr. Mahathir dalam blog beliau itu turut menjelaskan kejadian-kejadian yang dikatakan menyumbang kepada kehilangan hampir RM10 bilion.

Katanya, salah satu dakwaan Barry ialah kerajaan kehilangan wang dalam urus niaga timah yang dibuat para spekulator.

"Bila tiba masanya timah itu dihantar, mereka (spekulator) tidak dapat menghantar timah dalam bentuk sebenar dan Bursa Logam London memutuskan para spekulator tidak perlu menghormati perjanjian dengan pihak kita," katanya.

Beliau mengakui memang berlaku kerugian di pihak kerajaan dalam urus niaga itu tetapi tidaklah berbilion ringgit seperti yang didakwa.

Selain itu kata beliau, Bank Negara pernah memperdagangkan pertukaran wang asing dan beliau sendiri tidak pasti jumlah sebenar kerugian namun yakin ia tidak seperti mana yang diuar-uarkan oleh Barry Wain.

"Kerajaan telah bertindak memberhentikan urus niaga berkenaan," katanya.

Selain itu, kata beliau, satu lagi kerugian dalam era pentadbiran beliau ialah kerugian Bank Bumiputera di Hong Kong.

"Secara keseluruhan, saya tidak rasa kerugian mencapai jumlah RM10 bilion pun," katanya.

Dr. Mahathir berkata, dalam eranya, beliau telah berusaha mewujudkan beberapa projek penting bagi kegunaan rakyat dan pembangunan negara antaranya jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar, Menara Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat di Klang serta komuter.

Projek lain, katanya, ialah transit aliran ringan (LRT), monorel, jaringan lebuh raya di seluruh negara, kereta api elektrik dan landasan berkembar, pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya, Cyberjaya, pembangunan Pulau Langkawi, Proton, Modenas, kilang pembuatan cip Silterra, kilang simen dan lain-lain.

"Bagaimanapun saya tidak rasa Barry Wain merujuk kepada projek-projek ini ketika dia berkata saya merugikan RM100 bilion wang kerajaan," katanya.

Beliau meminta kerajaan agar bersikap telus dan membuka semua siasatan berhubung perbelanjaan pada zaman pentadbirannya dan untuk berlaku adil, siasat juga pentadbiran selepas beliau.

"Tidak perlu ada sebarang cover up," katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Barry Wain yang kini berpengkalan di Singapura begitu berani dan bersungguh-sungguh mahu menulis serta mendedahkan isu melibatkan pemimpin Malaysia.

"Dia tahu kalau dia menulis apa-apa menentang pemimpin Singapura, dia akan diheret ke mahkamah, disaman dan dipaksa membayar ganti rugi dalam jumlah yang banyak.

"Rakan-rakan sekerjanya ramai yang didapati salah kerana memfitnah apabila mereka menulis sesuatu yang tidak dipersetujui oleh para pemimpin Singapura," katanya.

- UTUSAN

Selasa, Disember 22, 2009

Dr Mahathir di mata seorang pensyarah Rusia

Oleh Victor A Pogadaev

Ketika kemuncak krisis kewangan di Asia Tenggara pada Ogos 1998, saya berkunjung ke Kuala Lumpur atas undangan Gabungan Persatuan Penulis Nasinal (Gapena) dan julung-julung kali melihat lapangan terbang antarabangsa KLIA yang baru dirasmikan.

Saya dengan hairan berkata: "Dan anda cakap anda mengalami kemelesetan ekonomi!"

Reaksi hampir sama saya lahirkan apabila timbalan ketua setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd Azmi Razak (yang kebetulan saya kenali ketika masih belajar di Universiti Malaya pada 1970-an) dengan bangga menunjukkan Kompleks Sukan Bukit Jalil yang juga baru dirasmikan menjelang Sukan Komanwel.

Dalam mendepani kegawatan ekonomi ketika itu, tentu petandanya boleh dilihat dengan jelas. Tetapi pada amnya program pembangunan negara seiring dengan Wawasan 2020 terus dilangsungkan.

Sumbangan perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam hal itu tidak boleh dinafikan. Mula-mula beliau mengambil tindakan melawan spekulator mata wang dengan menetapkan kadar tambatan ringgit yang stabil dan mengehadkan pengalirannya ke luar negara.

Strategi mengatasi krisis yang disusun perdana menteri - tanpa bantuan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan pertubuhan antarabangsa lain - ternyata amat berkesan. Lebih penting, strategi itu dilaksanakan sedemikian rupa sehingga tidak merugikan program sosial dan tidak pula memberatkan kedudukan orang biasa.

Pemandu teksi yang membawa saya dari KLIA mengungkapkan: "Mahathir seorang perdana menteri rakyat. Dia mementingkan bukan diri sendiri tetapi orang yang sekarang berada dalam kesempitan, iaitu rakyat jelata".

Pastinya fenomena keperibadian Dr Mahathir akan disoroti lama lagi. Tindakan seorang yang luar biasa selalu menarik perhatian, tambahan pula kalau beliau memang pandai menemui jalan keluar dari sebarang situasi, bahkan yang sepintas lalu kelihatan buntu.

Saya ingat pada akhir tahun 1980-an apabila, sebagai akibat formaliti undang-undang, Umno yang diketuainya menjadi seakan-akan tidak wujud. Dr Mahathir dengan pantas mendaftarkan parti itu dengan nama Umno (baru).

Seorang wartawan asing pernah mencatat situasi itu seperti berikut:"Mahathir seumpama dengan orang yang terjatuh ke dalam lubang tetapi bukan saja boleh keluar dengan selamat, malah menemui di sana harta karun".

Dr Mahathir juga pernah dinamakan sebagai doktor rakyat apabila, selepas rusuhan kaum pada Mei 1969, beliau disingkirkan daripada partinya dan kembali menyambung kerja di klinik.

Ia berpunca daripada surat yang ditulisnya kepada perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra dan kerajaan, dengan menimpakan tanggungjawab berhubung rusuhan kaum itu kepada mereka - bertentangan dengan pendapat umum waktu itu.

Dr Mahathir tidak boleh secara langsung mengambil bahagian dalam politik tetapi beliau tidak dilarang menulis. Dan beliau menurunkan fikiran yang paling terpendam ke atas kertas.

Mengapa orang Melayu di negaranya sendiri tidak berpeluang menjalankan kehidupan selayaknya? Apa mesti dilakukan bagi meninggikan taraf ekonomi mereka dengan tidak merugikan hak kaum lain? Bagaimana hendak mencapai kesetaraan antara kaum?

Ia membawa kepada kesimpulan bahawa, penting mengembalikan orang Melayu ke bidang pengeluaran dan perdagangan seperti mereka didesak keluar akibat dasar penjajah yang menggalakkan imigrasi pekerja dari India dan China serta membekukan hubungan patriarki di kalangan Bumiputera luar bandar.

Tetapi membuat itu tanpa sokongan kerajaan adalah tidak mungkin. Kerana itu, beliau mencadangkan orang Melayu diberi bantuan ekonomi khusus.

Dilema Melayu, buku karangan Dr Mahathir, diharamkan tetapi ia masih sempat dibaca orang. Persoalannya, apa gunanya mengharamkan buku itu apabila rusuhan kaum 1969 menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk menyelesaikan masalah kemunduran orang Melayu.

Kesan-kesan rusuhan, antaranya deretan kedai yang musnah dalam kebakaran di Jalan Bangsar dan sikap berhati-hati orang Melayu dan Cina terhadap satu sama lain - masih kelihatan ketara pada 1970 apabila saya bersama sekumpulan pelajar Russia julung-julung kali datang ke Kuala Lumpur.

Di Universiti Malaya, jarang dilihat pelajar-pelajar Melayu dan Cina bergaul bersama. Mereka juga mengelak membincangkan masalah politik. Betapa seriusnya hal itu dimengertikan oleh Tunku Abdul Rahman yang memilih untuk bersara.

Langkah itu boleh ditafsirkan sebagai kerelaannya mengambil tanggungjawab atas peristiwa Mei 1969 - satu pendirian berani!

Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikannya ternyata memiliki pandangan yang sama dengan Dr Mahathir. Beliaulah yang menyusun Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan ekonomi orang Melayu.

Pastinya allahyarham turut memerhatikan Dr Mahathir pada awal tahun 1960-an apabila beliau dipilih menjadi ahli parlimen dan dengan giat mempertahankan kedudukan orang Melayu.

Dengan bersaranya Tunku Abdul Rahman, maka Dr Mahathir mendapat peluang melaksanakan gagasannya dan kembali berpolitik secara aktif. Pada 1972, beliau diterima kembali dalam Umno dan diberi jawatan dalam kerajaan dua tahun kemudian.

Mula-mula Dr Mahathir dilantik sebagai menteri pelajaran. Pada 1976, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam kabinet Tun Hussein Onn. Pelantikan ini disusuli jawatan perdana menteri pada 1981.

Peristiwa itu disifatkan pemerhati politik bukan hanya sebagai pergantian kerajaan, malah melonjakkan ahli politik generasi baru - meskipun tidak berapa muda daripada pendahulunya tetapi mempunyai asal-usul lain, penuh gagasan baru dan berazam bergiat cergas.

Lee Kuan Yew, waktu itu perdana menteri Singapura, mencatatkan bahawa di Malaysia "generasi baru daripada lapisan bawah datang ke tampuk kekuasaan'. Dan ia sememangnya benar demikian.

Dr Mahathir bukan saja menyambung dasar pendahulunya yang mahu menyatukan di sekitar Umno pertubuhan-pertubuhan politik lain, termasuk parti pembangkang, dalam rangka BN tetapi mengubah wajah negara sama sekali.

Apabila saya kembali semula ke Malaysia selepas 16 tahun, saya tidak kenal lagi negara ini. Malaysia mendekati apa yang dinamakan negeri perindustrian baru, ia berhasil merekabentuk kereta sendiri yang dieksport dan bercita-cita melancarkan seorang angkasawan ke angkasa lepas.

Tetapi saya sempat menyaksikan gejala yang lain juga. Di mana-mana, ternampak petanda pengislaman yang cergas. Perempuan Melayu mula bertudung dan berbaju kurung labuh. Kaum lelaki Muslimnya mula lebih ketat mengikuti peraturan agama.

Bermacam-macam acara keagamaan, termasuk tilawah membaca al-Quran, menyerikan kehidupan bernegara. Islam seakan-akan menjadi perisai untuk orang Melayu mempertahankan jati diri, keperibadian dan kebudayaannya.

Lembaga-lembaga kewangan Islam, termasuk bank Islam, mendapat peluang berakar kuat. Bersamaan dengan itu, kaum-kaum lain juga mendapat keyakinan terhadap masa depan.

DEB yang disusun pada zaman Abdul Razak diubahsuai sedemikian rupa sehingga tidak menjejaskan hak mereka sambil meninggikan status ekonomi bumiputera.

Bukti keberhasilan jalan yang dipilih ialah pencapaian besar dalam bidang ekonomi yang dicerminkan antara lain dengan pembinaan Koridor Raya Multimedia (MSC), Cyberjaya dan mercu tanda berprestij, Menara KL dan Menara Berkembar Petronas.

Cendekiawan dan kelompok masyarakat yang paling peka pada amnya menyokong dasar-dasar Dr Mahathir.

Bayangkan Malaysia, dahulunya negara agak kecil dan kurang dikenali, mengejutkan masyarakat dunia dengan menuntut agar benua Antartika diberi status "warisan seluruh umat manusia".

Malah, Malaysia sentiasa berada di barisan depan dalam pelbagai kerjasama antarabangsa, termasuk memerangi dadah, di samping menjadi penganjur penyatuan usaha negara membangun untuk mendapat tempat lebih dihormati di dunia.

Maka berkumandanglah suara Dr Mahathir yang mengungkapkan: "Kita lama memandang pada Barat tetapi tidak lagi menganggapnya sebagai contoh sesuai bagi kita".

Ia bukan sekadar kata-kata, sebaliknya diteruskan dengan langkah-langkah konkrit menuju ke arah terjalinnya hubungan lebih seimbang dengan negara lain, termasuk Russia.

Dasar Dr Mahathir dalam bidang kebudayaan juga lain daripada yang lain. Malaysia sebuah negara Asia Tenggara yang berjaya melaksanakan dasar bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan menengah dengan pengecualian untuk penggunaan bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi (IPT).

Semangat patriotisme yang menjadi ciri khas masyarakat Malaysia adalah salah satu faktor lagi yang membantu Dr Mahathir mengadakan dasarnya demi kepentingan rakyat.

Namun, Malaysia juga negara yang menyaksikan kewujudan pelbagai parti politik. Dan tidak semua langkah pemimpin negara dinilai sama. Misalnya Dr Mahathir pernah dikritik kerana bertindak terhadap pembangkang pada kemuncak krisis kewangan tetapi keprihatinan beliau boleh dimengerti.

Akhirnya, kita tidak boleh tidak mengagumi cara bagaimana kerajaan Malaysia memikirkan nasib pelajar sekolah. Mereka akan hidup pada alaf baru dan, kerana itu, wujudlah satu lagi cogan kata “anak tanpa komputer ialah anak tanpa hari depan”.

Kenyataan itu bererti bahawa pada masa terdekat setiap keluarga akan menpunyai sekurang-kurangnya satu komputer.

Raja yang dilawati oleh Putera Kecil dalam karya penulis Perancis, Antoine de Saint-Exupery Le Petite Prince (Putera Kecil) pernah berkata:

"Kekuasaan patut menjadi wajar. Kalau aku memerintah rakyat untuk menceburkan diri ke laut, maka rakyat akan mencetuskan revolusi. Aku berhak menuntut kepatuhan kerana perintahku wajar".

Kini, ketika Dr Mahathir sudah bersara daripada kegiatan politik aktif, kita boleh mengambil kesimpulan bahawa dasar Dr Mahathir memang wajar. Selama 22 tahun, beliau menyusun strategi yang boleh dicapai bersandarkan kepada sokongan masyarakat terbanyak.

Dr Mahathir tidak takut mengubah dasarnya, sesuai dengan perkembangan semasa dan berpandukan kepentingan rakyat terbanyak tanpa mengambil peduli pendirian Barat.

Dan apabila beliau mundur, beliau yakin akan hari cerah Malaysia kerana penerusnya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Abdul Razak menyambungkan politik bertujuan untuk meningkat kesejahteraan rakyat.

Dr Victor A Pogadaev adalah sarjana Rusia yang kini berkhidmat sebagai profesor madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya. Artikel ini disediakan bersempena dengan sambutan ulang tahun hari lahir Tun Dr Mahathir Mohamad pada 20 Disember.

- MALAYSIAKINI

Recent Posts