Sabtu, Mei 15, 2010

'Ingin ingatkan orang Melayu' - Tun Mahathir


Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, persetujuan beliau untuk menghadiri dan merasmikan program Melayu Bangkit yang terpaksa ditunda semalam bagi mengingatkan orang Melayu agar tidak mengulangi peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Bekas Perdana Menteri memberitahu, beliau tidak akan membangkitkan rasa kemarahan orang Melayu untuk memberontak sebaliknya mengingatkan mereka agar tidak mengulangi peristiwa tersebut.

"Saya tidak akan membangkitkan rasa marah orang Melayu pada program tersebut tetapi akan mengingatkan mereka, kalau kita tidak ambil kisah masalah perkauman, saya bimbang sejarah 13 Mei akan berulang.

"Saya melalui sendiri peristiwa berdarah tersebut dan merasa keperitannya. Oleh itu saya rasa boleh mendidik rakyat agar tidak mengulangi dan melakukan lagi peristiwa 13 Mei 1969,'' katanya.

Dr. Mahahtir ditemui ketika mengadakan sidang akhbar khas mengenai penyertaan Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) dalam konvoi lapan kapal untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tentangan yang dibuat oleh MCA terhadap program Melayu Bangkit dan mengingati peristiwa berdarah tersebut yang terpaksa ditunda selepas campur tangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Program Melayu Bangkit yang dijadual diadakan serentak dengan 'Program Bersama Tun Mahathir' dijangka dihadiri kira-kira 10,000 orang di Stadium Tertutup di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Program tersebut dianjurkan oleh Institut Integrasi Negeri Terengganu dengan kerjasama Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak).

"Saya fikir kalau kita lupa sejarah, sejarah itu akan berulang semula, mereka yang lupa sejarah akan dihukum dengan melakukan kesalahan yang sama berulang kali.

"Idea untuk melupakan sejarah terutama 13 Mei merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima," katanya.

Sementara itu, mengenai cadangan kerajaan untuk membina loji tenaga nuklear pada masa depan, Dr. Mahathir menegaskan beliau menentang sebarang pembinaan loji tersebut di negara ini.

Katanya, beliau secara peribadi menentang pembinaan loji nuklear tersebut kerana saintis di seluruh dunia masih lagi tidak memahami kuasa tenaga nuklear.

"Sekali kita mengaktifkan uranium ia tidak boleh dilupuskan, dunia sekarang ini juga berdepan dengan buangan uranium dan mereka tidak tahu hendak buat apa dengan benda tersebut.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi PGPO berkata, Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) akan menghantar sebuah kapal kargo dan sebuah kapal penumpang untuk menyertai pelayaran lapan kapal dari seluruh dunia menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, pada 25 Mei ini.

Sehubungan itu, beliau merayu masyarakat antarabangsa membantu memastikan keselamatan kapal-kapal dan 600 penggiat keamanan yang turut serta dalam misi penghantaran bantuan kepada penduduk Palestin tersebut.

"PGPO perlu meminta bantuan perlindungan daripada masyarakat antarabangsa memandangkan tentera laut Israel pasti akan menggunakan apa cara sekalipun untuk menghalang penghantaran bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Dr. Mahathir memberitahu, PGPO membelanjakan RM1.5 juta untuk membeli kapal dan menghantar bantuan kemanusiaan tersebut.

Katanya, sebahagian besar dana tersebut diperoleh dari Tabung Palestin yang digerakkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan sumbangan Yayasan Al-Bukhari.

"Kapal yang dihantar oleh PGPO dinamakan Rachel Corrie iaitu sempena nama seorang penggiat keamanan berusia 17 tahun daripada Pergerakan Perpaduan Antarabangsa (ISM) di Amerika Syarikat (AS) yang dibunuh oleh Israel di Semenanjung Gaza pada 2003.

"Kapal tersebut akan membawa 5,000 kilogram barang bantuan termasuklah peralatan membina rumah, perubatan iaitu kerusi roda, kerusi klinik pergigian, alat untuk menderma darah, katil, penapis air serta peralatan persekolahan,'' katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts