Memaparkan catatan dengan label CheDet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CheDet. Papar semua catatan

Isnin, Disember 14, 2009

Kuasai Bahasa Inggeris Agar Tidak Dijajah Semula - Tun Mahathir

Rakyat Malaysia amat perlu menguasai bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka memperoleh ilmu dengan lebih cepat dan memastikan negara ini tidak kembali dijajah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata rakyat negara ini tidak akan dapat menguasai sesuatu ilmu dengan cepat jika mereka tidak menguasai bahasa tersebut.

Kegagalan berbuat demikian akan membuka jalan kepada pihak yang lebih berilmu menguasai dan mempengaruhi mereka sama ada secara langsung atau sebaliknya.

"Bahasa Inggeris adalah bahasa bagi zaman pengetahuan ini. Negara yang tidak menguasai bahasa Inggeris bukan saja akan ketinggalan, malah menghadapi risiko dijajah, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Tanpa ilmu, sesebuah negara akan ditekan dan diserang," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk 'Komponen Kepimpinan dan Dasar bagi Masyarakat Berilmu: Amalan Terbaik Yang Dicadangkan bagi Negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)' pada Persidangan Akademi Sains Dunia Islam ke-17 (IAs).

Persidangan itu dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di sebuah hotel dekat sini.

Persidangan empat hari itu, yang bermula hari ini, adalah anjuran bersama IAS, Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Akademi Sains Kehidupan dan Bioteknologi Islam Antarabangsa.

Dr Mahathir berkata hanya dengan mengusai bahasa Inggeris, rakyat negara ini mampu memperoleh ilmu dengan lebih cepat dan tidak tersisih daripada arus pembangunan.

Beliau berkata rakyat negara ini tidak akan hilang jati diri sekiranya mereka mengejar ilmu pengetahuan dengan menggunakan bahasa Inggeris.

"Bahasa Ingegris bukan untuk orang Inggeris saja, tapi adalah bahasa universal. Saya bukan orang Inggeris, tapi saya juga bertutur dalam bahasa itu," katanya.

Dr Mahathir juga berkata kepimpinan sekarang "mengabaikan kejayaan" apabila memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris dan kembali menggunakan bahasa Malaysia bagi tujuan itu.

"Saya rasa kerajaan tak faham tentang pentingnya bahasa Ingeris sebagai bahasa ilmu pengetahuan apabila mereka membuat keputusan menukar daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia (dalam mengajar dan mempelajari sains dan matematik).

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan telah membuat keputusan untuk beralih semula kepada penggunaan bahasa Malaysia bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah kebangsaan serta sekolah Cina dan Tamil mulai 2012. Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam pada 2003 semasa Dr Mahathir menerajui negara.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata ilmu pengetahuan berkembang dengan pesat, terutama dalam bidang sains, sedangkan buku serta penulisan tentang mata pelajaran ini, menggunakan bahasa Inggeris.

Kata beliau ada kemungkinan kepercayaan tentang sesuatu perkara dalam bidang sains sebelum ini akan berubah, bukan seperti dalam bidang geografi dan sejarah.

"Ilmu sains tidak statik, berbeza dengan bidang geografi dan sejarah di mana faktanya sudah tersusun sedmikian rupa dan terhad.

"Dalam bidang sains, kita boleh persoal prinsip-prinsip saintifik dan membuat keputusan sama ada ia betul atau tidak," kata beliau sambil menambah bahawa penemuan baru juga banyak disebarkan dalam bahasa Inggeris.

-BERNAMA

Rabu, September 30, 2009

Nik Aziz jemput Dr M lihat pembangunan Kelantan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad, melawat dan melihat sendiri pembangunan di bawah pentadbirannya di Kelantan.

Nik Aziz berkata, biar bekas Perdana Menteri melihat sendiri Kelantan dan tengok perbezaan yang ada sekarang berbanding sebelum beliau memegang jawatan Menteri Besar.

Tak usah mari pejabat saya, dia tengok sendiri di Kota Bharu, Gua Musang, Pasir Puteh dan Tok Bali. Sebab itu saya jemput dia mari sendiri tengok dari segi pembangunan fizikal, sekarang ada KB Mall, ada Hotel Renaissance, ada pasar raya Tesco, ada Parkson, ada Nirwana, dia boleh tengok sendirilah.

"Tak timbul langsung (perlu berundur seperti disarankan Dr Mahathir). Dia bercakap dengan barang (perkara) yang dia tak tahu," katanya kepada pemberita di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Semalam, akhbar memetik Dr Mahathir sebagai berkata, Nik Aziz perlu memberi laluan kepada pemimpin lain untuk memimpin Kelantan kerana sudah lama menjadi Menteri Besar tetapi Kelantan masih mundur dan beliau perlu bertanggungjawab atas perkara itu.

Minggu lalu, Nik Aziz mengulangi pendiriannya meminta Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas, kerana tindak-tanduknya didakwa menaikkan kemarahan penyokong parti itu selepas menang kerusi itu atas lambang Pas pada pilihan raya umum lalu.

Ibrahim dalam reaksinya pula mencabar Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan kerana didakwa gagal melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar selain atas alasan sudah tua dan wajar memberi laluan kepada pemimpin muda.

Sambil mempertahankan kenyataannya bahawa banyak pembangunan sudah dilaksanakan di Kelantan sejak Pas mengambil alih kerajaan negeri pada 1990, Nik Aziz berkata, Dr Mahathir mungkin mendengar maklumat salah daripada pihak lain berhubung kemajuan di negeri ini.

"Bagi saya dia (Dr Mahathir) tak tahu, dia dengar orang lain bercakap. Dia kena mari sendiri (ke Kelantan), kalau pembangunan fizikal, dia tengok sendiri ketika Pas Kelantan pegang sekarang berbanding dulu.

"Setiap kali mesyuarat Exco, lebih 100 kertas (dibentang), kadang-kadang sampai 150 kertas, apa erti kertas banyak kalau bukan kerana banyak pembangunan," katanya.

Beliau berkata, sejak mentadbir Kelantan, kerajaan negeri pimpinannya bukan saja melaksanakan pembangunan fizikal, tetapi aspek kerohanian yang mengubah pemikiran rakyat terhadap semua aspek berkaitan dasar Islam.

"Kelantan sekarang ini bergerak atas Islam, halal haram kami ambil peduli, masa sekular dulu tak kira halal haram, asalkan pembangunan tetap dibuat," katanya.

- BERITA HARIAN

Selasa, September 29, 2009

Dr. M selesa jadi penasihat melalui blog, ucapan

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau lebih selesa menyuarakan pandangan serta nasihat mengenai banyak perkara terutama isu-isu negara melalui blognya dan ucapan-ucapan yang disampaikan di majlis-majlis awam.

Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjadi penasihat rasmi kepada kerajaan ataupun parti seperti yang dicadangkan beberapa pihak.

"Saya memang sudah bagi nasihat melalui blog dan ucapan. Saya bagi nasihat pada semua orang... saya adalah penasihat am kepada seluruh negara.

"Sama ada anda suka nak dengar nasihat dan pandangan saya, saya tak peduli saya bagi saja," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Pentadbiran Korporat 2009 di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali semalam supaya Dr. Mahathir dilantik menjadi penasihat kerajaan dan parti.

Ibrahim berkata, ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menyampaikan pandangan secara tertutup agar tidak dieksploitasi pihak ketiga.

Dr. Mahathir berkata, cadangan Ibrahim yang disokong beberapa pihak lain itu hanyalah merupakan pendapat Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

"Itu pendapat dia. Buat masa ini saya memang tidak ada perancangan untuk mahu jadi penasihat kepada kerajaan," katanya.

- UTUSAN

Khamis, Ogos 20, 2009

Kebolehan Nik Aziz 'dikagumi' - CheDet

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis menyatakan 'kebanggaan dan kekagumannya' terhadap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menjadi satu-satunya individu yang boleh menentukan manusia masuk syurga atau neraka.

Beliau berkata, Nik Abdul Aziz adalah manusia istimewa yang 'lebih daripada manusia biasa' kerana insan lain hanya selepas mati baru mengetahui sama ada akan memasuki syurga atau neraka, itupun tidak boleh kembali ke dunia untuk menceritakannya semula.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada sesiapa yang ingin mengetahui destinasi masing-masing selepas mati, pergilah bertanyakan kepada Menteri Besar Kelantan itu.

"Saya tahu Nik Aziz dah pergi tengok syurga dan neraka sebab itulah dia boleh cakap dengan jelas. Orang lain semua tidak boleh, dia satu-satunya orang yang lebih daripada manusia biasa kerana manusia biasa hanya selepas mati baru boleh pergi syurga, tetapi dia tidak boleh balik untuk ceritakan semula.

"Kita pun tidak tahu sama ada Nik Aziz akan ke syurga atau neraka, cuma apa yang kita tahu sebagai manusia kena hidup sebagai orang baik. Tetapi tidak boleh pula cakap orang baik tidak ke neraka kerana kadang-kadang mereka juga buat silap, menghina orang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima Anugerah Kehormat Doktor Perubatan daripada Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) sempena konvokesyen ke-10 universiti berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Canselor dan Presiden IMU, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud dan Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu.

Tambahnya, beliau bangga dengan kebolehan Nik Abdul Aziz yang dapat menentukan pihak mana akan menjadi ahli syurga atau dimasukkan ke dalam neraka.

"Siapa yang nak tahu (masuk syurga atau neraka) lebih baik pergi tanya dia, dahulu ada seorang wanita yang buat salah pergi berjumpanya dan Nik Abdul Aziz ampunkan dia.

"Kalau ada manusia yang boleh ampunkan dosa orang lain, saya tidak tahulah, barangkali ilmu agama dia begitu tinggi," katanya.

Beliau juga ditanya mengenai keperluan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa memandangkan telah terlalu banyak kenyataan berbentuk ekstrem dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz sejak kebelakangan ini.

Dr. Mahathir berpendapat, fatwa khusus tidak perlu kerana umum telah mengetahui tiada manusia dalam dunia ini yang boleh tentukan mana-mana individu sama ada akan ke syurga atau neraka selepas mati.

"Walaupun orang itu betul-betul warak sekalipun, mungkin dia ada niat buat benda tidak baik maka kebarangkalian dia akan ke neraka juga ada," katanya.

- UTUSAN

Isnin, Ogos 03, 2009

Pinda ISA supaya tidak lapuk - Dr. M

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dipinda supaya undang-undang itu kekal relevan dan tidak lapuk.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan seharusnya meminda beberapa peruntukan dalam ISA supaya bersesuaian dengan keadaan semasa.

''Bukan soal saya setuju atau tidak (untuk pinda ISA). Saya kata semua undang-undang tidak boleh jadi lapuk. Kalau lapuk dan tidak sesuai dengan masa, kita kena kaji.

''Jika kita kekal dengan undang-undang abad ke-18 dulu, ia tidak sesuai dengan keadaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sejenak Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad anjuran Majlis Bekas Wakil-wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula ISA selepas mendapatkan maklum balas daripada semua pihak.

Dr. Mahathir berkata, kajian semula terhadap undang-undang bukan hanya tertumpu kepada ISA sebaliknya kepada semua akta supaya ia tidak ketinggalan zaman.

Beliau memberitahu, usaha untuk meminda ISA pernah dilakukan ketika beliau menjadi Perdana Menteri tetapi ia tidak dapat diteruskan kerana faktor tertentu.

''Kita (kerajaan sebelum ini) telah buat kajian semula (mengenai ISA), dah lama dah, tetapi oleh kerana keadaan tertentu, kita tidak buat pindaan," katanya.

Mengulas demonstrasi di Kuala Lumpur semalam, Dr. Mahathir menegaskan, budaya sedemikian diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengamalkan politik jalanan.

Tegasnya, rakyat perlu sedar bahawa pendekatan tersebut bukan cara terbaik untuk memberi tekanan kepada kerajaan bagi mengubah akta itu.

''Untuk menekan kerajaan dengan membuat demonstrasi, itu bukan budaya kita, ini budaya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperkenalkan budaya politik jalanan.

''Saya tidak setuju dengan cara itu, ada cara lain boleh menjayakan sesuatu perjuangan," jelasnya.

- UTUSAN

Selasa, Julai 28, 2009

Mereka juga rasis – Dr. Mahathir

Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, mereka yang menuduh beliau rasis semata-mata kerana mempertahankan kepentingan orang Melayu dan menyuarakan hakikat kedudukan semasa kaum tersebut, juga merupakan orang yang rasis.

Bekas Perdana Menteri itu juga menyatakan tidak terkejut dengan tuduhan tersebut ekoran tulisannya dalam blognya Che Det yang bertajuk ‘Kaki Dalam Kasut’ kerana dirinya pernah dicap sebagai ‘pelampau Melayu’ oleh golongan yang sama sebelum beliau menjadi perdana menteri.

Menurutnya, cuma yang menyedihkan apabila golongan tersebut, yang tidak mahu menerima hakikat orang Melayu masih ketinggalan dari segi ekonomi, kelihatan cuba membuatkan kaum lain tunduk kepada desakan atau tuntutan-tuntutan mereka.

“Kalau sesiapa hendak kata saya rasis, mereka ada hak. Tetapi saya berpendapat mereka juga rasis. Saya sudah lama dicap sebagai rasis, sebelum jadi perdana menteri saya dikenali sebagai pelampau Melayu dan apabila saya menjadi perdana menteri, saya dapati kaum lain tidak bising dengan apa yang saya lakukan.

“Sebenarnya mereka tahu, semasa saya menjadi perdana menteri, mereka juga dapat hak mereka. Saya akan anggap saya tidak memenuhi janji kalau tidak memberi pandangan mengenai orang Melayu yang masih ketinggalan di belakang,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Ruangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam mempersoalkan banyak pihak bukan Melayu terutama parti-parti politik Cina yang kurang senang dengan tulisan Dr. Mahathir mengenai kepentingan orang Melayu itu dan menuduh beliau sebagai rasis.

Dr. Mahathir berada di sini untuk menyertai Dialog Perkongsian Pintar Global 2009 (Global 2009) di Munyonyo Commonwealth Resort dekat sini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Beliau yang merupakan pencetus kepada penganjuran dialog tersebut dan bermula dengan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) pada 1995, dijemput sebagai salah seorang anggota kumpulan pemikir utama dalam kebanyakan sesi perbincangan.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir meminta mana-mana pihak yang berpendapat tulisannya dan apa yang disuarakannya selama ini mengenai kedudukan ekonomi orang Melayu tidak betul supaya tampil menunjukkan bukti.

“Kalau ada fakta yang saya masukkan (dalam blog) itu yang tak betul, buktikan yang mana. Semua yang saya tunjuk itu adalah fakta dan kenyataan. Mengenai kita belum capai, mereka mencapai lebih, itu kenyataan.

“Mengenai kekayaan yang tidak berpihak kepada kita (orang Melayu), itu juga fakta. Kalau mereka mahu, mereka boleh semak kesemua muka surat tulisan saya itu untuk melihat sama ada apa yang saya sebut itu benar atau sebaliknya,” tegasnya.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir meminta semua pihak termasuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanya mengapa sekarang ada pemimpin parti komponen bukan daripada UMNO yang meninggalkan BN dan menyertai parti lawan.

Menurutnya, UMNO atau BN melakukan tindakan yang salah sekiranya berpendapat bahawa dengan menawarkan lebih banyak kepada bukan Melayu akan dapat memenangi hati dan menghentikan sepenuhnya tuntutan mereka.

“Sejak lebih 40 tahun BN memerintah, tidak berlaku pemimpin berhenti dan masuk parti lawan. Banyak pemimpin UMNO yang berhenti tetapi tidak sertai parti lawan. Saya dulu pun berhenti tetapi saya hanya berhenti, tidak masuk parti lawan. Tetapi kita tengok banyak pemimpin komponen lain yang tinggalkan BN.

“Kita sudah melayan permintaan mereka secukupnya tetapi mereka masih tunjuk mereka tidak berpuas hati dan hendak bersama dengan parti lawan. Jadi, kita tengoklah apa maknanya semua itu,” jelasnya.

Mengenai kesediaan kerajaan Pas Kelantan untuk menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Pusat, Dr. Mahathir berkata, berdasarkan pengalaman semasa Pas menyertai BN sebelum ini, beliau berpendapat parti itu tidak ikhlas sebaliknya hanya mementingkan agenda sendiri.

“Saya khuatir dengan niat mereka (Pas). Kalau kita terima, kerjasama dengan siapa? Kalau kerjasama dengan BN, masuk dalam BNlah. Kalau dengan cuma UMNO, itu sudah jadi parti perkauman. Tak boleh, itu tak sesuai di Malaysia,” katanya.

- UTUSAN

Sabtu, Julai 11, 2009

Mahathir: 100 hari Najib 'lebih banyak negatif'

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak "lebih banyak yang negatif daripada yang positif".

Tambahnya, ia berdasarkan penilaian peribadinya terhadap pentadbiran Najib yang genap 100 hari pada 11 Julai.

Bercakap kepada pemberita di PWTC hari ini, Dr Mahathir berkata, yang negatifnya termasuklah cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura.

Bercakap selepas menyampaikan ucap utama program "Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia" yang diadakan secara tertutup, Dr Mahathir ditanya sama ada pentadbiran Najib telah membuat kajian mengenai cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan tidak boleh menyelesaikan masalah kesesakan di Johor Bahru.

Satu perkara lagi yang dianggap negatif, menurut Dr Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang korup dalam pentadbiran Najib.

Ditanya mengenai perkara positif mengenai pentadbiran Najib, beliau berkata: "Yang positif ialah Najib berjumpa ramai orang dan dia tidak tidur malam."

Jawapannya disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Masa depan orang Melayu

Ketika ditanya mengenai nasib orang Melayu di negara ini, Dr Mahathir berkata, ianya bergantung kepada orang Melayu sendiri.

“Mereka harus bertindak untuk orang Melayu tetapi lima tahun pentadbiran (Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi rosak semua - rakyat, ekonomi, kewangan dan parti-parti BN.

“Tetapi saya tidak dengar orang Melayu komplen terhadap Tun Abdullah,” katanya.

Mantan perdana menteri itu berkata, orang Melayu hari ini tidak puashati kerana dituduh menjadi penghalang perpaduan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.

Katanya, mereka bimbang apa yang akan berlaku kepada mereka nanti dan mereka harus tahu apa yang akan berlaku dalam negara mereka sendiri.

Dr Mahathir juga berkata, parti pembangkang tetap diperlukan untuk menegur kerajaan jika membuat salah.

“Tidak pedulilah DAP atau PAS, kita perlukan pembangkang kerana orang kita tidak tegur walaupun kerajaan buat tidak semuanya benar,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dr Mahathir berkata, sepanjang 38 tahun penggubalan dasar tersebut, ia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang terbaik.

Sepatutnya, kata beliau, orang Melayu menggunakan DEB untuk kepentingan ekonomi mereka tetapi sebaliknya menyalahgunakannya.

Orang Melayu, katanya, menyalahgunakan lesen, kontrak dan permit import yang diluluskan (AP)

'DEB tidak salah tetapi yang salah (ialah) kerana orang yang menyalahkan lesen, kontrak dan AP itu,” katanya.

- MALAYSIAKINI

Kritik bukan bererti tidak sokong

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun sering mengkritik kerajaan tetapi tidak bermakna beliau tidak menyokong kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, kritikan yang dilemparkan adalah berdasarkan kepada pandangan peribadi dan beliau berhak untuk mempunyai pandangan terhadap sesuatu isu.

“Setakat ini banyak perkara yang saya tidak bersetuju. Itu pendapat peribadi saya, saya berhak untuk mempunyai pandangan saya sendiri, tetapi ini tidak bermakna saya tidak menyokong kerajaan,” katanya ketika ditanya mengenai 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir yang ditemui selepas menyampaikan ucaptama majlis Wacana Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan daripada Perspektif 1Malaysia, semalam berkata, beliau masih belum boleh memberi nilai pentadbiran Najib.

“Saya belum melakukan kajian lagi... bukan satu kajian saintifik,” katanya.

Diminta mengulas perkara positif yang dilaksanakan Najib, Dr Mahathir berkata, antara perkara yang boleh dipuji ialah pendekatan Perdana Menteri keenam itu turun ke akar umbi melakukan tinjauan mesra dan bertemu lebih ramai masyarakat di peringkat bawahan.

“Najib berupaya berjumpa dengan ramai orang dan yang kedua beliau tidak tidur malam,” katanya.

Mengenai perkara negatif, Dr Mahathir berkata, antaranya mengenai cadangan jambatan ketiga ke Singapura dan kegagalan kerajaan untuk menangani isu rasuah dalam kerajaan apabila masih ada beberapa individu yang didapati bersalah melakukan rasuah masih memegang jawatan dalam Kabinet.

Ketika ditanya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikatakan penghalang kepada kemajuan ekonomi Malaysia, Tun Mahathir berkata, DEB bukan penghalang ekonomi negara.

Menyentuh soal tidak bersetuju beliau terhadap pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012, beliau berkata, apa yang dikatakannya itu berdasarkan yang betul.

“Saya cakap apa yang saya rasa betul, ini adalah masa depan anak-anak kita. Malah, apa yang saya buat dalam blog mengenai undian siapa sokong atau tidak dengan keputusan itu, bertujuan menilai pendapat orang ramai terutama ibu bapa mengenai hal itu,” katanya.

Beliau berkata, orang Melayu hari ini tidak puas hati apabila dituduh menjadi penghalang kepada perpaduan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.

“Mereka bimbang dengan tuduhan itu dan wacana hari ini lebih kepada apa yang mereka ingin bincangkan dengan lebih mendalam apa yang berlaku dalam negara.

“Saya fikir, ini adalah satu perkembangan yang baik kerana mereka harus tahu keadaan sebenar yang berlaku dalam negara,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir menggesa bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menjelaskan secara mendalam isu kediaman yang dikatakan bernilai RM24 juta kerana boleh jejas moral UMNO dan Barisan Nasional.

“Beliau perlu menjelaskan di mana beliau memperoleh wang... tak bolehlah kata RM3 juta. Saya pun ada rumah juga, rumah saya RM1 juta saya belanja di The Mines, rumah dia berapa kali besar daripada (rumah) saya,” katanya.

- SINAR HARIAN