Khamis, Ogos 20, 2009

Kebolehan Nik Aziz 'dikagumi' - CheDet

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis menyatakan 'kebanggaan dan kekagumannya' terhadap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menjadi satu-satunya individu yang boleh menentukan manusia masuk syurga atau neraka.

Beliau berkata, Nik Abdul Aziz adalah manusia istimewa yang 'lebih daripada manusia biasa' kerana insan lain hanya selepas mati baru mengetahui sama ada akan memasuki syurga atau neraka, itupun tidak boleh kembali ke dunia untuk menceritakannya semula.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada sesiapa yang ingin mengetahui destinasi masing-masing selepas mati, pergilah bertanyakan kepada Menteri Besar Kelantan itu.

"Saya tahu Nik Aziz dah pergi tengok syurga dan neraka sebab itulah dia boleh cakap dengan jelas. Orang lain semua tidak boleh, dia satu-satunya orang yang lebih daripada manusia biasa kerana manusia biasa hanya selepas mati baru boleh pergi syurga, tetapi dia tidak boleh balik untuk ceritakan semula.

"Kita pun tidak tahu sama ada Nik Aziz akan ke syurga atau neraka, cuma apa yang kita tahu sebagai manusia kena hidup sebagai orang baik. Tetapi tidak boleh pula cakap orang baik tidak ke neraka kerana kadang-kadang mereka juga buat silap, menghina orang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima Anugerah Kehormat Doktor Perubatan daripada Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) sempena konvokesyen ke-10 universiti berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Canselor dan Presiden IMU, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud dan Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu.

Tambahnya, beliau bangga dengan kebolehan Nik Abdul Aziz yang dapat menentukan pihak mana akan menjadi ahli syurga atau dimasukkan ke dalam neraka.

"Siapa yang nak tahu (masuk syurga atau neraka) lebih baik pergi tanya dia, dahulu ada seorang wanita yang buat salah pergi berjumpanya dan Nik Abdul Aziz ampunkan dia.

"Kalau ada manusia yang boleh ampunkan dosa orang lain, saya tidak tahulah, barangkali ilmu agama dia begitu tinggi," katanya.

Beliau juga ditanya mengenai keperluan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa memandangkan telah terlalu banyak kenyataan berbentuk ekstrem dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz sejak kebelakangan ini.

Dr. Mahathir berpendapat, fatwa khusus tidak perlu kerana umum telah mengetahui tiada manusia dalam dunia ini yang boleh tentukan mana-mana individu sama ada akan ke syurga atau neraka selepas mati.

"Walaupun orang itu betul-betul warak sekalipun, mungkin dia ada niat buat benda tidak baik maka kebarangkalian dia akan ke neraka juga ada," katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts