Memaparkan catatan dengan label Bolasepak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bolasepak. Papar semua catatan

Ahad, Disember 18, 2022

Croatia tempat ketiga Piala Dunia 2022



Croatia menewaskan Maghribi 2-1 pada penentuan tempat ketiga Piala Dunia sebentar tadi bagi memastikan tiga tempat teratas kejohanan buat kali kedua berturut-turut.

Naib juara pada 2018, Croatia juga berkedudukan ketiga pada Piala Dunia 1998 apabila menewaskan Belanda 2-1.

Josko Gvardiol meletakkan Croatia di depan selepas hantaran daripada bola mati yang baik.

Lovro Majer melambungkan bola buat Ivan Perisic, yang berjaya melarikan diri daripada pemain yang mengawalnya dan menanduk ke tengah sebelum disambar Gvardiol dan bola menerjah gawang.

Namun ia hanya memerlukan dua minit buat Maghribi untuk menyamakan kedudukan juga menerusi sepakan percuma ketika pemain Croatia, Majer cuba mengeluarkan bola tetapi tersilap hantaran yang memberikannya kepada Achraf Dari, yang berseorangan dalam kotak penalti dan menanduk ke gawang.

Croatia meledak jaringan kemenangan tiga minit sebelum rehat babak pertama apabila Mislav Orsic melencongkan bola yang terus ke penjuru.

Mereka mempertahankan kelebihan itu tanpa sebarang tambahan gol pada babak kedua.



 

Ahad, Disember 11, 2022

Piala Dunia 2022 : Maghribi tewaskan Portugal

 


Maghribi meneruskan kisah dongeng mereka di pentas Piala Dunia 2022 apabila wakil tunggal benua Afrika itu sekali lagi mencipta kejutan dengan melangkah ke peringkat separuh akhir.

Kejayaan pasukan No.22 dunia itu hadir menerusi kemenangan 1-0 ke atas salah satu pilihan kejohanan, Portugal pada aksi suku akhir di Stadium Al Thumama pada 10 Disember 2022.

Ia terus memahat sejarah baharu buat arena bola sepak Atlas Lions yang mana pencapaian terbaik mereka di pentas Piala Dunia adalah pusingan 16 terbaik pada edisi 1986 di Mexico.

Penyerang Sevilla, Youssef En-Nesyri muncul wira Maghribi apabila meledak gol tunggal perlawanan selepas menanduk masuk hantaran daripada Yahia Attiyat Allah pada minit ke-42.

Biarpun Portugal lebih banyak menguasai perlawanan dengan melakukan serangan bertali arus, namun skuad kendalian Fernando Santos itu gagal merobohkan kekebalan benteng pertahanan Maghribi.

Kemasukan Cristiano Ronaldo di babak kedua juga gagal menghadirkan impak positif apabila jentera serangan diketuainya tidak berjaya menewaskan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.

Ketua jurulatih Maghribi, Walid Regragui membuat percaturan berani apabila mengeluarkan En-Nesyri dengan membawa masuk ramai pemain pertahanan bagi menyukarkan Portugal mendapatkan gol penyamaan.

Keputusan itu menuai hasil lumayan apabila para pemain Portugal terutama Bruno Fernandes dan Bernardo Silva bergelut untuk mencari ruang sehinggakan terpaksa melakukan percubaan rambang.

Biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Walid Cheddira dilayangkan kad merah pada minit ke-94, namun Portugal gagal mengambil kesempatan itu dalam tempoh baki empat minit terakhir permainan.

Kemenangan itu amat manis buat Maghribi yang kini selangkah sahaja lagi ke final dan bakal bertemu pemenang antara Perancis dan England di separuh akhir di Stadium Al Bayt awal pagi Khamis ini.

Bukan itu sahaja, kejayaan Maghribi secara tidak langsung meranapkan impian Ronaldo untuk menjulang kejuaraan sulung Piala Dunia sebelum menutup kariernya di pentas antarabangsa.

Sumber : KOSMO! 

Jumaat, November 25, 2022

Piala Dunia 2022 : Dua gol pantas bantu Portugal benam Ghana

 


Portugal akhirnya berjaya mengakhiri badi perlawanan pertama Piala Dunia apabila menumpaskan Ghana 3-2 dalam aksi Kumpulan H di Stadium 974.

Berdasarkan rekod dalam tiga penampilan edisi lalu, Portugal seakan kurang bernasib baik pada aksi pembukaan peringkat kumpulan apabila hanya mencatatkan dua keputusan seri dan kalah sekali.

Walaupun masih segar dengan berita penamatan kontrak secara persetujuan bersama dengan Manchester United, kapten Portugal, Cristiano Ronaldo jelas tidak terkesan apabila masih mampu mengetuai rakan sepasukannya kutip tiga mata penting.

Tempoh dua minit di hujung permainan nyata menjadi detik paling mengecewakan buat Ghana selepas gagal mempertahankan gawang daripada dibolosi apabila Portugal berupaya meledak dua gol pantas.

Apa yang dipersembahkan pada perlawanan kali ini begitu menyerlahkan misi besar skuad Selecao untuk menamatkan badi dengan berjaya menguasai 69 peratus permainan sepanjang babak pertama.

Seawal minit ke-9, Portugal sepatutnya sudah mampu berada di depan sebaliknya kepantasan penjaga gol Ghana, Lawrence Ati-Zigi untuk keluar daripada posisinya berjaya menghalang usaha dilakukan Ronaldo.

Kegagalan itu tidak merencatkan penguasaan Portugal dan minit ke-31, Ronaldo akhirnya berjaya menggegar jaring gawang lawan sebaliknya jaringan itu dibatalkan selepas dikesan melakukan kekasaran terhadap pertahanan lawan, Alexander Djiku.

Ketika Portugal terus mempamerkan penguasaan, Muhammed Kudus hampir meletakkan Ghana di depan sebaliknya percubaannya pada minit ke-56 sedikit serong ke sebelah kiri gawang lawan.

Pengadil bertugas, Ismail Elfath menghadiahkan penalti buat Portugal selepas Mohammed Salisu mengasari Ronaldo dan peluang keemasan pada minit ke-65 itu berjaya disempurnakan dengan baik oleh pemenang Ballon d’Or lima kali berkenaan.

Minit ke-73, kedudukkan kembali seimbang apabila Ghana memperoleh gol penyamaan menerusi Andre Ayew namun kegembiraan itu hanya bertahan lima minit selepas Joao Felix kembali meletakkan Portugal di depan.

Selang dua minit selepas itu, Rafael Leao menambah jaringan buat Portugal dan walaupun Ghana memperoleh gol kedua daripada Osman Bukari pada minit ke-89, ia jelas sudah pun terlewat.

Awal pagi Selasa ini, Portugal akan meneruskan aksi kedua Kumpulan H dengan menentang lawan lebih sukar, Uruguay di Stadium Lusail. 

Sumber : KOSMO!

Rabu, Oktober 19, 2022

Stadium AFC bakal dibina di Putrajaya

 


Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan membina sebuah stadium canggih berkapasiti 10,000 penonton dinamakan Stadium AFC di Putrajaya.

Menurut makluman AFC dalam laman rasminya hari ini, stadium berkenaan bakal dibangunkan di tapak seluas 6.172 hektar, kira-kira 30 kilometer dari Ibu Pejabat AFC di Bukit Jalil, dan dilengkapi dengan grandstand, kawasan boulevard dan atrium untuk penonton, pejabat pentadbiran dan tempat letak kereta bawah tanah.

Keluasaan lantai stadium kira-kira 580,000 kaki persegi dengan kapasiti tempat duduk 10,000 dan akan mempunyai padang bola sepak berkualiti tinggi mengikut piawaian FIFA.

Antara beberapa ciri lain lain, stadium tersebut juga menyediakan kafeteria, ruangan media dan bilik pengulas media serta tarikan air pancut yang akan dibina di pintu masuk stadium.

AFC berkata dana untuk membangunkan stadium itu akan dijana daripada peruntukan FIFA di bawah Program FIFA Forward untuk meneruskan misi AFC memperkasakan bola sepak negara ahli persatuan (MA) dan persatuan serantau (RA).

Persatuan Bolaepak Malaysia (FAM) dan kerajaan Malaysia pula bertanggungjawab menyediakan tapak stadium dan sokongan logistik kepada projek tersebut, kata AFC.

Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, yakin bahawa Stadium AFC baharu itu akan membuka lembaran baharu kepada MA dan RA untuk mencapai mutu bola sepak yang lebih tinggi dalam dekad akan datang.

"Ibu pejabat AFC di sini menjadi lokasi penting pembangunan melalui pelbagai latihan, kursus, bengkel dan seminar dalam bidang teknikal dan pengadilan dan kini dengan adanya Stadium AFC, kami mempunyai potensi untuk melakukan lebih banyak lagi.

"Bagi pihak keluarga bola sepak Asia, saya harus berterima kasih kepada FIFA atas kesediaan mereka untuk melakar era baharu kemajuan bersama AFC dan juga kerajaan Malaysia atas dedikasi terhadap pembangunan bola sepak di Asia, bukan sahaja melalui projek ini tetapi juga kerana sokongan yang telah diberikan sejak beberapa dekad," kata Shaikh Salman.

Sementara itu, Presiden FIFA, Gianni Infantino, yang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC ke-11 di Putrajaya semalam, berkata projek tersebut adalah pelaburan penting untuk bola sepak Asia.

"Ia adalah projek yang hebat dan saya sangat berbangga dan gembira kerana kami bekerjasama melalui stadium AFC dan FIFA ini yang melambangkan satu langkah baharu yang sangat penting bagi seluruh rantau Asia," katanya.

Sumber : BERNAMA

Sabtu, September 24, 2022

'Ibu segala pingat' SUKMA 2022 milik Terengganu

 


'Ibu segala pingat' menjadi milik Terengganu selepas pasukan dari Pantai Timur itu menewaskan Pulau Pinang (PP) 2-0 pada aksi final acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Badrul Afzan Razali menamatkan penantian 12 tahun untuk kembali merangkul pingat emas bola sepak SUKMA selepas kali terakhir memenanginya pada 2010.

Pencapaian itu turut membolehkan Terengganu mengikut jejak Pahang dan Perak yang berjaya memenangi empat pingat emas dalam acara terbabit pada temasya SUKMA.

Pada aksi itu, 10 minit pertama dikuasai Terengganu yang menyaksikan sepakan sudut Muhamad Muslihuddin 'Atiq Mat Zaid melencong sehingga memaksa Muhammad Azam Ramli menepis bola terbabit dan percubaan susulan daripada Muhammad Safwan Mazlan melambung tinggi.

'Baton' serangan bertukar kepada PP selepas 10 minit dan giliran PP pula menguji gawang Terengganu dengan beberapa percubaan namun diselamatkan Nor Hakeem Hamidun ataupun meliar.

Tiba giliran Terengganu 'mengambil' semula penguasaan, peluang dimanfaatkan sebaiknya mereka selepas sepakan percuma disudahkan menerusi tandukan Safwan yang menewaskan Azam untuk gol pertama Terengganu pada minit ke-24.

Sisa perjuangan PP terkubur pada minit ke-86 apabila percubaan Azam yang menepis percubaan Aqil Idham Bahari melantun terkena pertahanan PP dan bola memasuki jaring untuk gol kedua Terengganu.

Sementara itu, pingat gangsa dimenangi Selangor selepas menundukkan Wilayah Persekutuan (WP) 3-1 pada aksi sebelah petang di Stadium UKM.

Selangor mendahului menerusi sepakan penalti Khairul Md Zain pada minit ke-11 sebelum jaringan Suhaimi Abu memastikan kedua dua pasukan terikat 1-1 pada babak pertama.

Bagaimanapun, Selangor meledak dua gol pada babak kedua hasil jaringan Harry Danish Haizon (minit ke-55) dan Fakhrul Iman Naszari (minit ke-78) sekali gus memastikan pingat gangsa menjadi milik Selangor.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts