Memaparkan catatan dengan label piala dunia qatar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label piala dunia qatar. Papar semua catatan

Ahad, Disember 11, 2022

Piala Dunia 2022 : Maghribi tewaskan Portugal

 


Maghribi meneruskan kisah dongeng mereka di pentas Piala Dunia 2022 apabila wakil tunggal benua Afrika itu sekali lagi mencipta kejutan dengan melangkah ke peringkat separuh akhir.

Kejayaan pasukan No.22 dunia itu hadir menerusi kemenangan 1-0 ke atas salah satu pilihan kejohanan, Portugal pada aksi suku akhir di Stadium Al Thumama pada 10 Disember 2022.

Ia terus memahat sejarah baharu buat arena bola sepak Atlas Lions yang mana pencapaian terbaik mereka di pentas Piala Dunia adalah pusingan 16 terbaik pada edisi 1986 di Mexico.

Penyerang Sevilla, Youssef En-Nesyri muncul wira Maghribi apabila meledak gol tunggal perlawanan selepas menanduk masuk hantaran daripada Yahia Attiyat Allah pada minit ke-42.

Biarpun Portugal lebih banyak menguasai perlawanan dengan melakukan serangan bertali arus, namun skuad kendalian Fernando Santos itu gagal merobohkan kekebalan benteng pertahanan Maghribi.

Kemasukan Cristiano Ronaldo di babak kedua juga gagal menghadirkan impak positif apabila jentera serangan diketuainya tidak berjaya menewaskan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.

Ketua jurulatih Maghribi, Walid Regragui membuat percaturan berani apabila mengeluarkan En-Nesyri dengan membawa masuk ramai pemain pertahanan bagi menyukarkan Portugal mendapatkan gol penyamaan.

Keputusan itu menuai hasil lumayan apabila para pemain Portugal terutama Bruno Fernandes dan Bernardo Silva bergelut untuk mencari ruang sehinggakan terpaksa melakukan percubaan rambang.

Biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Walid Cheddira dilayangkan kad merah pada minit ke-94, namun Portugal gagal mengambil kesempatan itu dalam tempoh baki empat minit terakhir permainan.

Kemenangan itu amat manis buat Maghribi yang kini selangkah sahaja lagi ke final dan bakal bertemu pemenang antara Perancis dan England di separuh akhir di Stadium Al Bayt awal pagi Khamis ini.

Bukan itu sahaja, kejayaan Maghribi secara tidak langsung meranapkan impian Ronaldo untuk menjulang kejuaraan sulung Piala Dunia sebelum menutup kariernya di pentas antarabangsa.

Sumber : KOSMO! 

Jumaat, November 25, 2022

Piala Dunia 2022 : Dua gol pantas bantu Portugal benam Ghana

 


Portugal akhirnya berjaya mengakhiri badi perlawanan pertama Piala Dunia apabila menumpaskan Ghana 3-2 dalam aksi Kumpulan H di Stadium 974.

Berdasarkan rekod dalam tiga penampilan edisi lalu, Portugal seakan kurang bernasib baik pada aksi pembukaan peringkat kumpulan apabila hanya mencatatkan dua keputusan seri dan kalah sekali.

Walaupun masih segar dengan berita penamatan kontrak secara persetujuan bersama dengan Manchester United, kapten Portugal, Cristiano Ronaldo jelas tidak terkesan apabila masih mampu mengetuai rakan sepasukannya kutip tiga mata penting.

Tempoh dua minit di hujung permainan nyata menjadi detik paling mengecewakan buat Ghana selepas gagal mempertahankan gawang daripada dibolosi apabila Portugal berupaya meledak dua gol pantas.

Apa yang dipersembahkan pada perlawanan kali ini begitu menyerlahkan misi besar skuad Selecao untuk menamatkan badi dengan berjaya menguasai 69 peratus permainan sepanjang babak pertama.

Seawal minit ke-9, Portugal sepatutnya sudah mampu berada di depan sebaliknya kepantasan penjaga gol Ghana, Lawrence Ati-Zigi untuk keluar daripada posisinya berjaya menghalang usaha dilakukan Ronaldo.

Kegagalan itu tidak merencatkan penguasaan Portugal dan minit ke-31, Ronaldo akhirnya berjaya menggegar jaring gawang lawan sebaliknya jaringan itu dibatalkan selepas dikesan melakukan kekasaran terhadap pertahanan lawan, Alexander Djiku.

Ketika Portugal terus mempamerkan penguasaan, Muhammed Kudus hampir meletakkan Ghana di depan sebaliknya percubaannya pada minit ke-56 sedikit serong ke sebelah kiri gawang lawan.

Pengadil bertugas, Ismail Elfath menghadiahkan penalti buat Portugal selepas Mohammed Salisu mengasari Ronaldo dan peluang keemasan pada minit ke-65 itu berjaya disempurnakan dengan baik oleh pemenang Ballon d’Or lima kali berkenaan.

Minit ke-73, kedudukkan kembali seimbang apabila Ghana memperoleh gol penyamaan menerusi Andre Ayew namun kegembiraan itu hanya bertahan lima minit selepas Joao Felix kembali meletakkan Portugal di depan.

Selang dua minit selepas itu, Rafael Leao menambah jaringan buat Portugal dan walaupun Ghana memperoleh gol kedua daripada Osman Bukari pada minit ke-89, ia jelas sudah pun terlewat.

Awal pagi Selasa ini, Portugal akan meneruskan aksi kedua Kumpulan H dengan menentang lawan lebih sukar, Uruguay di Stadium Lusail. 

Sumber : KOSMO!

Ahad, Ogos 14, 2022

Piala Dunia 2022 Qatar di RTM

 


Keluarga Malaysia berpeluang menyaksikan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022 Qatar secara percuma apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menjadi penyiar rasmi bagi acara sukan terbesar dunia itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 41 perlawanan akan disiarkan oleh RTM iaitu 27 perlawanan secara langsung termasuk perlawanan akhir dan 14 siaran tertunda melibatkan 130 jam siaran secara keseluruhan.

"RTM akan menyiarkan perlawanan melibatkan negara ranking tinggi yang mempunyai ramai peminat di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Menjelang Sepak Mula Piala Dunia 2022 Qatar sempena pelantikan RTM sebagai penyiar rasmi acara sukan itu, di sini, hari ini.

Piala Dunia 2022 akan berlangsung dari 20 Nov hingga 18 Dis 2022.

Menurut Annuar, Piala Dunia 2022 Qatar akan disiarkan menerusi tiga saluran televisyen iaitu TV2, TV Okey, Sukan RTM dan penstriman langsung melalui RTM Klik.

Katanya, RTM menanggung kos sebanyak RM32.5 juta bagi membolehkan Keluarga Malaysia mengikuti sukan bertaraf dunia itu secara percuma kali ini.

"Oleh itu, saya harap syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat turut berkongsi menanggung kos pembiayaan siaran bersama RTM," katanya.

Annuar berkata sejak 2002 iaitu selama 20 tahun RTM tidak putus membida hak penyiaran sama ada siaran langsung atau siaran tertunda bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati kejohanan empat tahun sekali itu.

Beliau berkata bola sepak bukan hanya sekadar sukan tetapi industri yang besar dan mempunyai peminat rentas kaum serta negara.

Piala Dunia mempunyai tontonan seluruh dunia yang cukup besar dalam menjana pendapatan tinggi bagi penajaan dan industri penyiaran, katanya.

Menurut kenyataan yang diedarkan K-KOMM, persetujuan pembelian hak siaran ditawarkan syarikat Sport Media & Distributors Sdn Bhd dengan siaran pertama pada 20 Nov menyaksikan perlawanan antara Qatar dan Ecuador.

Pada program hari ini, RTM turut memperkenalkan enam pengacara sukan yang akan bertugas semasa siaran langsung tersebut iaitu Syafiq Asyraf, Rasdi Jumaat, Zackhi Suri, Jeed Zulkefli, Aizuddin Shah dan Mohd Nazri Shukri.

Menurut kenyataan itu, selain pengacara sukan, RTM akan turut menampilkan 12 pengacara jemputan terdiri daripada bekas pemain dan jurulatih kebangsaan yang akan memberi ulasan serta kupasan terhadap permainan perlawanan.

Piala Dunia 2022 Qatar dengan slogan 'Now Is All' akan berlangsung di lapan stadium rasmi di Qatar melibatkan 32 negara.

Pada edisi Piala Dunia 2018, RTM mendapat hak penyiaran bagi 41 daripada 64 perlawan antarabangsa itu dengan 27 daripadanya ditayang secara langsung, membabitkan kos keseluruhan sekitar RM30 juta. 

Sumber : BERNAMA

Recent Posts