Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan

Selasa, Julai 17, 2012

Tarikh lihat anak bulan Ramadan pada 19 Julai 2012

Tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Khamis ini, 19 Julai 2012.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sebanyak 30 tempat di seluruh negara sudah ditetapkan bagi tujuan itu.

Tempat berkenaan ialah di Pontian Kecil Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Pulau Angsa, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting Selangor; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru Daerah Manjong Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh Pulau Pinang.

Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah; Pemandangan Indah,Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin(KUSZA) Setiu, Terengganu.

Bukit Peraksi Pasir Puteh, Kelantan; Bukit Kampung Tembeling Mukim Manjur Daerah Olak Jeram Kuala Krai Kelantan; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu Kelantan; Tanjung Lubang Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching Sarawak; Tanjung Batu, Bintulu Sarawak.

Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil Sabah; Bukit Tanjung Batu Nenasi, Pahang; Gunung Berincang Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat Perlis.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang akan disiarkan melalui radio dan televisyen.

- BERNAMA

Jumaat, Julai 13, 2012

Bulan kelima Pluto ditemui


Sekumpulan ahli astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui bulan kelima yang mengelilingi planet Pluto, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan kelmarin.

Bulan itu diberi nama jolokan P5 buat sementara waktu.

Ia mempunyai diameter kira-kira 10 hingga 24 kilometer.

Ahli-ahli astronomi itu menemui bulan tersebut dengan menggunakan Teleskop Angkasa Lepas Hubble.

Pada tahun lalu, sekumpulan ahli astronomi melaporkan penemuan bulan keempat planet tersebut yang dikenali sebagai P4.

Bulan terbesar Pluto ialah Charon ditemui pada tahun 1978.

Dua lagi bulan, Nix dan Hydra ditemui pada tahun 2005.

Pluto diklasifikasikan sebagai planet kerdil oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa.

Planet itu selebar 2,301 kilometer.

- Agensi

Khamis, Jun 21, 2012

Imej Nebula dirakam



SANTIAGO, Chile - Balai Cerap Eropah (ESO) menyiarkan gambar paling jelas sebuah galaksi muda dinamakan Nebula War and Peace (NGC 6357)

Imej berkenaan dirakam menggunakan Teleskop Amat Besar (VLT) milik ESO, Isnin lalu.

Teleskop VLT terletak di gurun Atacama, utara Chile.

Pemandangan tersebut menunjukkan sebilangan bintang muda, awan, gas dan debu cakerawala.

- KOSMO!

Selasa, Jun 19, 2012

Perkuburan angkasa lepas



Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

KATA-KATA daripada tanah manusia datang dan kepada tanah mereka kembali mungkin tidak lagi sesuai untuk segelintir individu yang inginkan cebisan jasad mereka yang berupa abu mayat, disemadikan di angkasa lepas.

Pada 22 Mei lalu, roket Falcon 9 milik syarikat swasta SpaceX menerbangkan abu mayat 300 individu untuk dibawa ke angkasa lepas. Abu itu disimpan dalam sebuah tabung penyimpanan khusus di seksyen kedua Falcon 9.

Menurut presiden syarikat itu, Gwynne Shotwell, seksyen tersebut dibuang sekitar 10 minit selepas kapal angkasa Dragon yang berisi muatan makanan seberat 454 kilogram (kg) dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dari Cape Canaveral di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Abu itu akan kekal di orbit selama kira-kira setahun sebelum jatuh semula ke Bumi.

Apa yang menarik, sebahagian abu tersebut merupakan milik ikon terkenal seperti bekas angkasawan AS, Gordon Cooper, jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Bob Shrake dan pelakon filem Star Trek, James Doohan.

Bisnes angkasa

Cooper merupakan salah seorang daripada tujuh angkasawan AS yang terlibat dalam misi meneroka planet Utarid tetapi projek yang dilancarkan pada 15 Mei 1963 itu gagal mencapai matlamatnya.

Shrake pula ialah seorang lelaki yang suka merendah diri dan sering menghabiskan waktu dengan mencipta roket pelancar untuk NASA.

Menurut anak perempuan Shrake, Robin Smith, ayahnya telah mati sejak tahun 2007 lalu tetapi dia dan keluarganya mengambil keputusan untuk mengikut program itu memandangkan ayahnya terlalu obses dengan dunia astronomi.

Doohan pula tidak perlu diperkenalkan lagi. Wataknya sebagai Scotty dalam Star Trek sangat berpengaruh di seluruh dunia. Dia meninggal dunia pada 20 Julai 2005.

Kos penghantaran abu mayat itu dianggarkan RM12,000 setiap satu.

Pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad, berpendapat kegilaan manusia untuk meneroka bidang angkasa lepas menyebabkan banyak firma swasta memperkenalkan pelbagai pakej menarik.

"Selain perkhidmatan menghantar abu mayat, terdapat syarikat yang menawarkan pakej melancong dan bermalam di angkasa lepas.

"Lagipun NASA kekurangan dana untuk melaksanakan semua misi angkasa berikutan kegawatan ekonomi yang melanda AS," katanya.

Shahrin berkata, perkhidmatan abu mayat itu tidak sesuai bagi mereka yang beragama Islam.

Tutur Shahrin lagi, kesedaran masyarakat negara ini terhadap bidang astronomi juga semakin berkembang. Ini dibuktikan dengan kewujudan hotel yang menawarkan perkhidmatan mencerap bintang seperti Klana Beach Resort di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Agensi Angkasa Negara juga aktif mengadakan program dan seminar berkaitan astronomi yang menarik perhatian orang ramai khususnya kanak-kanak," jelasnya.

Beliau berharap Malaysia akan mengikut jejak langkah China yang secara senyap-senyap melancarkan roket pelancar angkasa serta stesen satelitnya sendiri.

"Daripada angan-angan, impian kita boleh tercapai. Hasrat kita menghantar angkasawan sudah terlaksana, kini kita perlu melangkah lebih jauh lagi," kata Shahrin.

Mikraj

Sebenarnya, umat Islam telah mula berbicara mengenai ilmu astronomi sejak lebih 1,400 tahun dahulu.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut hari ini berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Tahun itu disebut sebagai tahun dukacita kerana pada tahun itu Rasulullah kehilangan bapa saudara, Abu Talib dan isteri, Khadijah.

Peristiwa Mikraj pula menyaksikan Rasulullah diangkat ke langit dari Baitulmuqaddis.

"Peristiwa itu boleh dikatakan sebagai permulaan manusia cuba meneroka angkasa lepas.

"Jika tidak manusia mungkin hanya akan mengkaji tentang Bumi," ujar Shahrin.

- KOSMO!

Sabtu, Jun 16, 2012

Puasa dijangka 21 Julai 2012, Hari Raya Aidilfitri 19 Ogos 2012

Umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa Ramadan pada 21 Julai 2012 (Sabtu) manakala Hari Raya Aidilfitri disambut pada 19 Ogos 2012 (Ahad).

Jika tarikhnya begitu, umat Islam akan berpuasa selama 29 hari.

Bagaimanapun, seorang penyelidik di sebuah pusat Ilmu Falak di sebuah universiti di utara tanah air menegaskan, tarikh sebenar puasa dan Hari Raya Aidilfitri masih tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kelak.

Menurutnya, pada 29 Syaaban 1433H bersamaan 19 Julai, kedudukan bulan tidak memenuhi kriteria Imkanur-rukyah (kebolehnampakkan) iaitu umur bulan tidak lebih lapan jam sebelum ijtimak.

"Dengan kedudukan bulan tidak memenuhi kriteria Imkanur-rukyah, maka 1 Ramadan 1433 Hijrah jatuh pada 21 Julai 2012," kata beliau.

- UTUSAN

Khamis, Jun 07, 2012

Fenomena transit Zuhrah muncul semula 2117



Penduduk di seluruh dunia memandang ke langit pada waktu siang kelmarin untuk melihat transit Zuhrah.

Keajaiban alam tersebut berikutnya hanya akan berlaku dalam tempoh 105 tahun akan datang.

Transit Zuhrah terjadi apabila planet berkenaan melintasi di antara Bumi dan Matahari.

Penduduk Bumi dapat melihat planet berkenaan sebagai satu bintik hitam kecil pada permukaan matahari.

"Jika anda dapat melihat tahi lalat pada wajah model antarabangsa Cindy Crawford, anda pasti akan dapat melihat transit Zuhrah," kata seorang ahli Persatuan Astronomi Los Angeles, Van Webster.

Transit berkenaan berlaku selama 6 jam 40 minit bermula selepas pukul 6 petang di Amerika Syarikat.

Mereka yang berada di Amerika Utara dan Tengah akan dapat melihat keseluruhan fenomena itu manakala penduduk di barat Asia, timur Afrika dan sebahagian besar Eropah pula akan dapat menyaksikan penghujung transit Zuhrah apabila matahari terbit.

Di Hawaii, Alaska, timur Australia dan Asia termasuk Jepun, Semenanjung Korea dan timur China, orang ramai dapat memerhatikan keseluruhan transit Zuhrah kerana fenomena itu berlaku pada siang hari.

Mereka yang tidak memiliki teleskop bersama penapis khas memilih untuk menyaksikan fenomena itu di laman web Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Laman web tersebut mencatat hampir 2 juta penonton kelmarin dengan sekitar 90,000 orang melayarinya pada sesuatu masa.

Di bandar raya ini, kali terakhir transit Zuhrah berlaku adalah 130 tahun lalu pada 1882.

"Saya berasa sangat seronok. Ini satu pengalaman yang kami tidak akan lupakan seumur hidup kami," kata seorang jurutera perisian berusia 32 tahun, Bo Tan.

Dia dan beberapa rakan sekerjanya mengambil cuti separuh hari untuk memerhatikan keganjilan alam tersebut.

Namun, orang awam yang mahu melihat transit Zuhrah dinasihatkan supaya memakai kaca mata khas atau teleskop dilengkapi penapis cahaya.

Ini kerana perbuatan memandang pada tempoh yang lama ke arah matahari akan merosakkan retina mata.

Ketika gerhana matahari berlaku pada 1970, sebanyak 145 kes retina rosak dilaporkan di AS akibat perbuatan memandang ke arah bintang tersebut tanpa sebarang peralatan keselamatan.

Transit Zuhrah berikutnya hanya akan berlaku pada tahun 2117.

- Agensi

Selasa, Jun 05, 2012

Gerhana Bulan Separa 4 Jun 2012



Gerhana bulan separa dapat dilihat bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam di Pulau Mabul di Semporna, Sabah, malam Isnin.

Rakyat Malaysia dapat menyaksikan dua fenomena falak iaitu gerhana bulan separa pada Isnin (4 Jun 2012) bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam, sementara Transit planet Zuhrah melintasi matahari pada berlaku pada pagi Rabu (6 Jun 2012) bermula 6.27 pagi dan berakhir pada jam 12.49 tengahari. Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari, dan keseluruhan proses transit ini hanya boleh dilihat di pantai timur Sabah terutama di Sandakan.

- Foto BERNAMA

Isnin, Jun 04, 2012

Solat Sunat Gerhana Bulan



Gerhana Bulan Separa akan berlaku pada malam ini 4 Jun 2012 (Isnin) bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam.

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah (Solat berjemaah)
Niatnya: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam) ataupun “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)
Cara-cara
Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

Pelaksanaan
Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara : Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; manakala gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan dikuatkan suara seperti mana-mana solat malam.

Cara Pertama: Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua: Disebut dengan “ ال أدنى ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.
Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

Cara Ketiga: Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Waktu
Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

Aturan
  1. Disunatkan mandi sebelum solat.
  2. Bilal menyeru   ”    Ø§Ù„ص ـل Ø© ج امـ ع Ø©   “
  3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
  4. Berniat mengerjakan solat gerhana
  5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
  6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
  7. Baca al-Fatihah dan Surah.
  8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
  9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
  10. Baca al-Fatihah dan Surah.
  11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
  12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
  13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
  14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).
Ingatan
  1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
  2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad binAbdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
  3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan (  Ø³Ø± ) , manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring  (جـهر)
 
 

Jumaat, Jun 01, 2012

Gerhana Bulan Separa pada 4 Jun & Transit Planet Zuhrah Melintasi Matahari pada 6 Jun 2012


Rakyat Malaysia dapat menyaksikan dua fenomena falak minggu depan iaitu gerhana bulan separa pada Isnin (4 Jun 2012) bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam, smeentara Transit planet Zuhrah melintasi matahari pada berlaku pada pagi Rabu (6 Jun 2012) bermula 6.27 pagi dan berakhir pada jam 12.49 tengahari.

Yang Dipertua Persatuan Falak Syari Malaysia Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata gerhana bulan separa akan dapat dilihat di seluruh negara ketika waktu Maghrib.

"Fenomena transit planet Zuhrah pula amat menarik. Pada 6 Jun 2012, Zuhrah berada tepat di antara matahari dan bumi. Fenomena ini jarang berlaku. Transit seterusnya hanya akan berlaku 105 tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata dengan menggunakan binokular atau teleskop yang dilapisi penapis suria, orang ramai boleh melihat satu titik hitam kecil bergerak melintasi permukaan matahari.Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari, dan keseluruhan proses transit ini hanya boleh dilihat di pantai timur Sabah terutama di Sandakan.

Syed Kamarulzaman berkata sentuhan pertama apabila planet Zuhrah menyentuh cakera matahari berlaku pada pukul 6.10 pagi, sentuhan kedua pada pukul 6.27 pagi apabila Zuhrah masuk sepenuhnya ke dalam cakera matahari, sentuhan ketiga pada pukul 12.31 tengah hari apabila planet itu mencecah pinggir cakera matahari sebelum keluar dan sentuhan ke empat pada pukul 12.49 tengah hari apabila Zuhrah meninggal sepenuhnya cakera matahari.

Peluang lihat planet Zuhrah

GEORGE TOWN - Orang ramai terutama peminat serta pengkaji astronomi berpeluang melihat planet Zuhrah yang akan muncul merentasi matahari buat kali terakhir pada abad ini pada 6 Jun nanti.

Fenomena astronomi itu bakal disaksikan ramai penduduk dunia termasuk Malaysia selepas matahari terbit pada pukul 7.12 pagi, Rabu depan.

Kurator Kanan Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM), Zolkurnain Hassan berkata, fenomena yang dipanggil transit planet Zuhrah itu akan berlanjutan sehingga 1 petang.

Kata beliau, pihaknya dengan kerjasama Kelab Astronomi USM akan mengadakan program khas ini bertempat di tiga lokasi utama di kampus universiti itu dengan menyediakan teleskop untuk memudahkan orang ramai menyaksikan pergerakan planet Zuhrah.

"Pelbagai aktiviti lain diadakan seperti pameran transit planet Zuhrah, ceramah astronomi, pertandingan fotografi dan lawatan ke planetarium," ujarnya.

Transit Zuhrah adalah fenomena astronomi yang mana planet ini bergerak antara matahari dan bumi.

Semasa transit, planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu bintik berwarna hitam merentasi cakera matahari secara perlahan-lahan selama enam jam dan ia boleh disaksikan menerusi penuras suria atau kaca mata gerhana.

- BERNAMA & KOSMO!

Isnin, Mei 28, 2012

Semak Arah Kiblat jam 5.16 petang pada 28 Mei dan 5.28 petang pada 16 Julai Setiap Tahun


Istiwa utama (istiwa a'dzam) adalah satu keadaan di mana matahari akan berada tepat di titik zenith (ghayah) ketika istiwa.

Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun, apabila nilai sudut istiwa matahari (mel syams) bersamaan dengan nilai latitud tempatan. Fenomena ini berlaku bagi negeri-negeri yang nilai latitudnya kurang daripada nilai sudut istiwa maksimum matahari sebanyak 23.5°.

Berdasarkan keadaan ini, matahari akan mengalami istiwa utama dengan Kaabah dua kali dalam setahun. Fenomena ini boleh dimanfaatkan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat-tempat lain di muka bumi.

Fenomena istimewa matahari di atas KAABAH dan ini merupakan peluang bagi kita untuk menyemak arah kiblat yang betul.

Matahari akan berada betul betul di atas kaabah pada 2 tarikh tersebut

1) 28 hb Mei Jam 5.16 Petang
2) 16 hb Julai Jam 5.28 petang

Dalam setahun hanya 2 kali kedudukan matahari terletak di tengah-tengah Kaabah, yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan kiblat umat Islam ketika bersolat.

Sumber :
1) http://www.youtube.com/watch?v=YlSyfX_jmIM&feature=player_embedded , uploaded by marlboro79
2) http://zikrihusaini.com/cara-untuk-mencari-arah-kiblat-sembahyang-tanpa-menggunakan-kompas-dan-ketika-darurat/
3) http://iidyll.blogspot.com/2011/05/istiwa-utama-matahari-di-kaabah-mari.html
4) www.falak-online.net

Jumaat, Mei 18, 2012

Gerhana matahari cincin 20 Mei 2012


Gerhana matahari Anulus atau gerhana matahari cincin dijangka berlaku Ahad ini, 20 Mei 2012 (waktu tempatan di Hemisfera Timur) dengan magnitud 0.9439.

Namun sebahagian daripada gerhana matahari itu hanya boleh disaksikan di Sabah dan Sarawak.

Menurut Portal Pendidikan Sains Angkasa, gerhana itu juga dapat dilihat di Brunei dan sebahagiannya di Indonesia secara separa.

- KOSMO!

Ahad, Mei 13, 2012

Fenomena Bulan lebih besar dan bercahaya


PADA 6 Mei lalu, penduduk Bumi sekali lagi berpeluang menyaksikan keindahan bulan penuh besar. Kejadian yang diberi julukan supermoon oleh peramal bintang, Richard Nolle pada tahun 1979 itu ibarat acara tahunan yang dinanti-nanti.

Fenomena global itu banyak dirakamkan oleh jurugambar profesional terutama di mercu tanda ternama. Imej bulan besar di sebalik Patung Jesus di Rio de Janeiro, Brazil dan bersebelahan Kuil Poseidon, berhampiran Athens, Greece menunjukkan betapa indahnya kejadian alam itu.

Bagaimanapun, sebahagian besar warga Britain terlepas detik itu gara-gara awan tebal yang meliputi langit negara tersebut. Hanya penduduk di kawasan barat laut dan barat daya England dan Wales dapat menyaksikan bulan paling besar sepanjang tahun ini itu.

Secara saintifik, fenomena bulan besar terjadi apabila bulan menghampiri Bumi pada jarak yang lebih dekat daripada biasa. Tahun ini, kedudukan bulan dicatatkan pada jarak 356,955 kilometer (km) dari Bumi berbanding jarak biasa kira-kira 384,000km.

Bulan besar membuatkan bulan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah daripada bulan penuh lain. Perigi (perigee) ialah terma saintifik paling tepat untuk bulan penuh tersebut. Perlu diketahui bahawa setiap bulan penuh yang terjadi mempunyai saiz yang berbeza.

Hal itu disebabkan ia beredar pada orbit berbentuk bujur dan mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai perigee manakala bahagian kedua dipanggil apogi. Saat bulan penuh terjadi, perigee berada pada jarak 50,000km lebih dekat dengan Bumi daripada apogi. Kesannya, bulan perigee tampak lebih besar dan bercahaya.

Tidak disangkal, jarak yang dicatatkan ketika bulan besar menunjukkan perbezaan daripada bulan penuh waktu lain. Namun, ukuran sebenar rumit untuk ditentukan.

Ilusi dan mitos

Wakil Pejabat Meteorologi Amerika Syarikat (AS), Dan Grey memberitahu, bulan besar kelihatan mengagumkan ketika ia berada di garisan ufuk. Posisi bersebelahan rumah atau pokok memberi gambaran betapa besarnya bulan itu kelihatan.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik AS juga berpendapat, waktu terbaik menikmati pemandangan bulan besar itu adalah ketika ia menghampiri horizon.

Bulan pada kedudukan rendah tampak amat besar apabila dilihat di celahan pokok, bangunan atau objek-objek yang berada di hadapannya. Ia merupakan alasan yang tidak difahami pakar astronomi dan psikologi sendiri.

Dr. Robert Massey dari Persatuan Diraja Astronomi AS pula menyatakan, mata manusia berfungsi dengan baik bagi mengimbangi perubahan kecerahan bulan sehingga tiada yang perasan pertukaran ketara tersebut. Apa yang dikesan kebanyakan orang ialah saiz bulan itu sahaja.

Para saintis menambah, sejauh mana pun kedudukan bulan, ia tidak akan menjadikan manusia tidak siuman, melakukan jenayah atau kepercayaan lain yang dianggap karut.

Pakar psikologi, Scott Lilienfeld dari Universiti Emory, Atlanta, AS mengatakan, tanggapan bulan penuh menyebabkan kelakuan aneh merupakan antara mitos terbesar dunia.

"Orang berpegang pada kepercayaan tersebut berpandukan kepekaan mereka terhadap sesuatu insiden. Sekiranya berlaku perkara luar biasa ketika bulan besar, mereka terus melabelkannya sebagai kejadian aneh.

"Namun, apabila tiada apa terjadi, mereka sekadar mendiamkan diri. Kesimpulannya, segala kejadian yang berlaku dalam jangka masa bulan besar hanyalah kebetulan," ujar Lilienfeld.

Kekarutan tersebut timbul daripada cerita rakyat yang dipercayai disampaikan sejak Zaman Pertengahan. Antara kisah pelik yang dikaitkan dengan fenomena bulan besar ialah pertambahan bayaran untuk kemasukan hospital, peningkatan kadar jenayah dan perubahan tingkah laku manusia.

Majoriti kajian moden bagaimanapun menunjukkan hal sebaliknya. Tiada perkaitan antara fasa bulan dengan insiden jenayah, sakit atau tindak-tanduk manusia. Kenyataannya, pengaruh bulan terhadap Bumi amat kecil berbanding khabar angin yang diwartakan.

Air pasang

Setiap tahun, bulan besar tampil dengan saiz yang berbeza. Tahun lalu, kedudukan bulan dicatatkan sejauh 356,575km iaitu jarak paling hampir pernah direkodkan sejak dua dekad lalu.

Fenomena tahun ini telah menenggelamkan pancuran meteor daripada sisa-sisa komet Halley yang melewati Bumi setiap 76 tahun. Namun, kesan utama terhadap cuaca planet yang berada pada kedudukan ketiga dari matahari ini ialah air pasang.

Walaupun kedengaran berbahaya, menurut kenyataan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS, hal itu bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Di kebanyakan tempat, graviti bulan besar menarik pasang surut air hanya beberapa sentimeter (sm), lebih tinggi daripada biasa.

Kawasan daratan pula hanya dinaiki air sehingga 15sm tetapi tidak akan mencetuskan banjir besar.

Pengarah Jabatan Astronomi Muzium Astronomi dan Planetarium Chicago, AS, Geza Gyuk menjelaskan, menjelang bulan baharu atau penuh, air pasang akan berada pada tahap yang tinggi.

Fenomena tersebut boleh menyebabkan ribut dan banjir tetapi belum ada bukti saintifik mengaitkannya dengan gempa bumi atau bencana alam lain.

"Bulan besar telah berlaku sejak berbilion tahun dahulu. Tiada apa yang istimewa tentang fenomena ini melainkan langit malam yang cantik," ujar Gyuk lagi.

Tsunami Jepun

Beberapa hari sebelum fenomena bulan besar tahun lalu, Jepun dilanda tsunami dan gempa bumi paling dahsyat pernah dialami negara tersebut. 12 Mac 2011 menjadi detik hitam buat rakyat Jepun yang kini bangkit perlahan-lahan daripada malapetaka tersebut.

Secara kebetulan, pada 19 Mac tahun yang sama, fenomena bulan besar pula terjadi sekali gus menimbulkan spekulasi tentang hubung kaitnya dengan bencana di Jepun.

Tidak dinafikan, bulan besar mampu memberi impak terhadap aktiviti seismik disebabkan interaksi graviti yang kuat antara bulan, matahari dan Bumi.

Bagaimanapun, tiada bukti jelas yang boleh mengaitkan fenomena tersebut dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun.

"Gempa bumi di Jepun terjadi ketika kedudukan bulan berada pada jarak normal dengan Bumi.

"Mungkin ada beberapa kejadian gempa bumi yang mempunyai sedikit perkaitan namun kejadian di Jepun tidak dikira," begitu penerangan oleh pemerhati astronomi untuk Balai Cerap Griffith di Los Angeles, Anthony Cook.

- KOSMO!

Ahad, Mei 06, 2012

Bulan paling besar


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Penduduk Bumi dapat melihat imej bulan yang paling besar sepanjang tahun ini semalam.

Keadaan itu berlaku apabila kedudukan bulan paling dekat dengan Bumi pada jarak 357,000 kilometer.

Posisi tersebut adalah 24,600 kilometer lebih dekat daripada purata jarak Bumi dengan bulan.

Saintis Balai Cerap Tentera Laut AS, Geoff Chester berkata, pada kedudukan tersebut, bulan akan kelihatan 14 peratus lebih besar daripada biasa.

"Namun, anda sukar mengesan perbezaan ini dengan menggunakan mata kasar," kata Chester.

Menurutnya, fenomena itu yang dinamakan adibulan, akan menyebabkan kejadian air pasang besar ekoran jajaran Bumi dan bulan yang dekat.

Namun, beliau menolak mitos Barat yang mengaitkan fenomena adibulan dengan peristiwa luar biasa termasuk ramai orang akan menjadi kurang siuman dan bencana alam akan meningkat.

- Agensi

Sabtu, April 28, 2012

Lahar punca lurah terbentuk di Marikh


WASHINGTON - Aliran lahar telah menyebabkan lurah-lurah terbentuk di planet Marikh, kata beberapa saintis Amerika Syarikat menerusi jurnal Science kelmarin.

Menurut jurnal itu, lahar tersebut meninggalkan kesan lingkaran seperti yang dapat dilihat di beberapa bahagian di Bumi termasuk di Pulau Besar, Hawaii.

Teori bahawa lahar mencorakkan landskap Marikh dibuat berdasarkan analisis di kawasan Athabasca Valles di tengah planet berkenaan.

Ketua penulis artikel itu, Andrew Ryan dari Universiti Negeri Arizona membuat kesimpulan tersebut berdasarkan analisis yang dilakukan ke atas lebih 100 imej Athabasca Valles beresolusi tinggi.

Imej itu dirakamkan sebuah satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Beliau berkata, lebar lingkaran yang dilihat di kawasan bergunung berapi, Elysium di Marikh adalah antara lima hingga 30 meter dan tidak mungkin lurah berkenaan terhasil oleh ais atau proses berkaitan dengan air.

"Ia lebih besar daripada lingkaran lurah lahar yang terdapat di Bumi.

"Lingkaran itu hanya dapat dikesan dengan menggunakan imej beresolusi tinggi yang dirakamkan satelit NASA," kata Ryan.

Setakat ini, Ryan dan seorang saintis lain, Philip Christensen telah menemui lebih 200 lingkaran lahar di Marikh dan mereka percaya terdapat banyak lagi lingkaran di planet tersebut.

- AFP

Rabu, Januari 25, 2012

Bumi berdepan ribut solar terkuat

GAMBAR yang dirakamkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan pada 22 Januari lalu menunjukkan nyalaan solar di Hemisfera Utara di matahari.

Beberapa pegawai cuaca angkasa lepas menyatakan ribut solar paling kuat dalam tempoh lebih enam tahun akan mengenai Bumi dengan pancaran radiasi akan berlaku.

Sebelum ini, radiasi ribut solar cuma mengganggu satelit dan mendatangkan masalah kepada angkasawan di angkasa lepas.

Namun, ia juga boleh menyebabkan gangguan komunikasi pada pesawat yang berada di udara.

Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas di negeri Colorado dalam satu kenyataan mengesahkan ribut solar itu berlaku pada pukul 11 malam (waktu AS) Ahad lalu.

Ahli fizik AS, Doug Biesecker berkata, perkara paling membimbangkan mengenai ribut solar adalah radiasi yang dilepas.

Pancaran itu ,katanya, tiba di Bumi sejam kemudian.

Hentaman radiasi itu dijangka berlarutan sehingga hari ini.

Menurut Biesecker, tahap radiasi kali ini dianggap kuat tetapi radiasi lebih dahsyat pernah dikeluarkan beberapa ribut solar sebelum ini.

Radiasi kali ini adalah yang paling kuat sejak ribut solar pada Mei 2005.

Plasma yang keluar dari matahari ekoran ribut solar berkenaan pula tiba di Bumi semalam.

Ia dijangka menyebabkan gangguan pada grid elektrik di Bumi.

- Agensi

Khamis, Januari 05, 2012

Kiamat tidak berlaku tahun ini?

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Tiada teori fizik yang boleh dijadikan petunjuk untuk menentukan kiamat akan berlaku pada tahun ini seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna (UNOV) yang berpangkalan di Pusat Antarabangsa Vienna, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman berkata, bidang astro fizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.

"Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahu pun 10 bilion tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada.

"Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat.

"Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia," katanya pada sidang akhbar selepas sesi ceramah Prominent Malaysia bertajuk Unknown Universe di sini hari ini.

Program anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama Planetarium Negara itu disertai lebih 200 peserta.

Diminta mengulas mengenai program penghantaran angkasawan untuk kali kedua, beliau berpendapat, ia tidak diperlukan selagi negara masih belum mempunyai idea sains dan teknologi yang kukuh.

"Apabila satu masa nanti kita sudah ada idea teknologi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dunia dan perlu diuji di angkasa, itu merupakan masa yang sesuai untuk kita menyambung program itu," jelasnya.

Diminta mengulas sama ada Malaysia memerlukan Program Angkasawan Kedua, Mazlan berkata, ia bergantung sama ada terdapat keperluan dari segi penyelidikan untuk berbuat demikian.

"Jika hanya ada satu cara untuk menguji teknologi kita iaitu dengan membawanya ke angkasa lepas, maka pada waktu itu penting untuk mengadakan satu lagi program angkasawan," ujar beliau.

Menurutnya, Malaysia tidak perlu mengulangi perkara yang dilaksanakan dalam Program Angkasawan Negara pada 2007 semata-mata untuk aktiviti sains.

Katanya, aktiviti sains boleh dijalankan menerusi banyak cara seperti yang dilaksanakan pelbagai pihak sekarang.

- UTUSAN

Sabtu, Disember 10, 2011

Fenomena Gerhana Bulan Penuh Mulai 7.34 Malam 10 Dis 2011 (Sabtu)

Masyarakat di negara ini berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang akan bermula dari pukul 7.34 malam Sabtu sehingga 1.30 pagi Ahad.

Pegawai penyelidik Agensi Angkasa Negara Redzuan Tahar berkata gerhana dapat dilihat dengan mata kasar mulai 8.46 malam, manakala fasa umbra bermula dari 10.06 malam dan akan berlanjutan kira-kira 51 minit.

"Pencerap di Malaysia akan dapat melihat keseluruhan gerhana dan juga ketika bulan di fasa titik gelap pada 10.32 malam sekiranya tiada perubahan cuaca," katanya ketika dihubungi Bernama.

Redzuan berkata orang ramai boleh datang ke Planetarium Negara bagi menyaksikan fenomena itu selain mengikuti perkembangan semasa fenomena gerhana bulan penuh kali ini melalui laman sosial Facebook, 'Lunar Malaysia Eclipse'.

Mereka yang ingin maklumat lanjut boleh hubungi Planetarium Negara di talian 0322734301/4303/5484 atau layari laman web www.angkasa.gov.my/planetarium.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha berkata umat Islam digalak menunaikan solat sunat Khusuf atau solat sunat gerhana bulan sempena fenomena tersebut.

Beliau turut meminta masjid dan surau di seluruh negara agar melakukan solat sunat khusuf secara berjemaah esok disertai khutbah gerhana bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

"Ibadat sunat ini seharusnya ditunaikan dengan sebaik mungkin, apatah lagi fenomena gerhana ini jarang-jarang berlaku di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, masjid utama seperti Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya akan menganjurkan solat sunat gerhana pada 9 malam selepas solat Isyak.

Selain itu aktiviti cerapan juga akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, katanya.

- BERNAMA

Ahad, November 27, 2011

Manusia penghuni Antartika


BERDIRI seketika di atas gurun ais Antartika yang memutih sambil menikmati saujana langit yang membiru sudah cukup untuk menzahirkan rasa takjub dengan kebesaran Ilahi.

Apa tidaknya, suhu pada musim sejuk di situ mampu mencecah -89 darjah Celcius.

Dengan kelembapan udara yang sangat rendah dan kelajuan angin yang tinggi sepanjang tahun iaitu mencecah sehingga 321 kilometer sejam, bukan calang-calang manusia boleh bertahan dengan keadaan cuaca ekstrem sebegitu.

Malah, pernah timbul persoalan, mengapa manusia mahu ke Antartika sedangkan ia tempat yang paling sejuk di muka bumi, kurang produktif, tidak diusahakan, tiada tamadun dan kesejukannya boleh membawa maut.

Sungguhpun begitu, keadaan Antartika yang belum dicemari muntahan sisa buangan pepejal dan toksik, landskap konkrit yang dipenuhi lampu serta isyarat elektromagnet yang tidak terkawal, menjadikan benua putih ini bagaikan syurga kepada golongan penyelidik dan saintis.

Malah, kebanyakannya berpendapat, mengkaji Antartika yang memiliki persekitaran unik ibarat mengkaji planet Marikh.

Walaupun berdepan dengan cabaran terutamanya cuaca dan terpaksa berjauhan daripada keluarga, ia bukan halangan besar untuk kumpulan penyelidik bertapak di situ.

Bumi Antartika yang belum terjamah seluas 8.7 juta kilometer persegi itu cukup menawarkan pelbagai khazanah saintifik yang menanti untuk dirungkai.

Fosil

Menurut penyelidik dari Pusat Penyelidikan McMurdo, Paul Doherty, keterujaan melihat dataran yang kosong menimbulkan pelbagai persoalan untuk dikaji.

"Apabila mendongak ke langit yang cerah tanpa pencemaran cahaya, ia suatu perasaan yang sangat mengasyikkan.

"Di sini juga kami dapat melihat bukti penciptaan zarah-zarah subatom.

"Selain itu, kami mengkaji mengenai mikrob eksotik yang boleh hidup dalam kesejukan," katanya yang teruja untuk memeriksa lapisan fosil ais yang berusia belasan ribu tahun.

Mengimbas kenangan semasa mula-mula menyertai program persediaan ke Antartika, Doherty yang berasal di Amerika Syarikat (AS) datang bersama tiga lagi rakannya, iaitu Mary Miller, Julie Konop dan Noel Wanner. Mereka membuat persediaan bertahun-tahun sebelum boleh mennyertai pasukan penyelidik di situ.

"Kami berempat adalah antara 600 penyelidik yang dihantar ke Stesen McMurdo setiap tahun.

"Untuk ke sini, pelbagai ujian dan latihan yang dilakukan.

"Selain mahir dalam bidang kajian, kesihatan dan kecergasan adalah perkara penting yang perlu diambil berat, termasuklah kesihatan gigi dan gusi," kata Doherty.

Stesen penyelidikan saintifk McMurdo milik AS itu adalah yang terbesar di Antartika. Ia boleh menempatkan 1,000 pegawai penyelidik pada musim panas.

"Pada musim sejuk pula hanya 250 pegawai yang tinggal di sini.

"Selain itu, stesen ini juga mempunyai 2,000 kakitangan sokongan seperti tukang masak, pemandu, jurutera, pengurus projek, pekerja penyelenggaraan dan binaan," ujar Merry Miller.

Stesen McMurdo yang terletak di selatan Pulau Ross mula beroperasi pada tahun 1956.

Kini ia mempunyai lebih 100 struktur bangunan didirikan termasuk tiga landasan ais, dermaga terapung, makmal sains, bangunan pentadbiran, bengkel, garaj, bangunan perubatan, dormitori, dapur, kantin dan kemudahan rekreasi.

Pusat penyelidikan ini merupakan pusat bagi semua program dan uji kaji saintifik.

Ia juga berjiran dengan Stesen Pangkalan Scoot, sebuah fasiliti penyelidikan kendalian New Zealand di Antartika yang dilawati oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin awal minggu ini.

Siri lawatan selama empat hari tersebut adalah gambaran kesungguhan dan komitmen negara susulan daripada penyertaan dalam Triti Antartik 1959 baru-baru ini.

Terlepas kapal

Saintis dan penyelidik Malaysia mula aktif dengan misi penyelidikan di Kutub Selatan pada tahun 1997.

Sejak itu, sebanyak 62 ekspedisi dilaporkan telah dijalankan sehingga tahun lepas melibatkan 60 penyelidik dan saintis dari tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara.

Selain McMurdo dan Pangkalan Scott, terdapat 74 stesen penyelidikan lain yang dibuka di Antartika. 42 daripadanya dibuka sepanjang tahun dan 32 stesen lagi dibuka hanya pada musim panas.

Sehingga kini belum ada lagi rekod menunjukkan ada manusia yang tinggal secara tetap di Antartika.

Siapa yang tinggal di sana hanyalah pasukan penyelidikan dari 30 negara yang menjalankan tugas di stesen masing-masing.

Dianggarkan seramai 4,000 orang akan tinggal di benua itu pada musim panas iaitu daripada bulan Oktober hingga April.

Jumlah tersebut akan berkurangan sehingga 1,000 orang sahaja pada musim sejuk yang tiba pada bulan Mei.

"Untuk keluar dari Antartika pada musim sejuk adalah perkara yang mustahil kerana kapal tidak boleh memasuki dataran ais.

"Sesiapa yang terlepas kapal terakhir pada musim panas, mereka perlu tinggal di sini sehinggalah musim sejuk berakhir," jelas Mark William, Ketua Stesen Mawson milik Australia yang terletak di Dataran Tinggi Antartika.

Dia yang pakar dalam bidang pertanian hidroponik cuba menghasilkan tomato terbesar di Antartika.

"Memandangkan tanah tidak dibenarkan dibawa masuk ke sini, kami menggunakan kaedah hidroponik untuk menanam sayura.

"Ia sangat penting untuk bekalan pada musim sejuk nanti," katanya yang dibekalkan dengan makanan untuk tempoh beberapa minggu setiap kali kapal logistik datang ke stesennya.

Untuk memastikan keselamatan dan keselesaan kumpulan penyelidik, hampir semua stesen dilengkapi fasiliti komunikasi dan rekreasi.

Kemudahan Internet, telefon, menonton filem, radio, gimnasium dan meja snuker ada disediakan.

Jika inginkan aktiviti lasak, masih banyak perkara menarik yang boleh dilakukan seperti menjelajahi kawasan baharu, berkhemah di luar, bermain ski, serta menikmati dan merakam keindahan landskap alam dan hidupan liar.

- KOSMO!

NASA hantar kenderaan penjelajah ke Marikh


CAPE CANAVERAL, Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) bersedia untuk melancarkan kenderaan robotik paling canggih dan berkuasa pernah dibina ke planet Marikh semalam.

Pelancaran tersebut adalah untuk meneroka sekali gus mencari tanda-tanda wujudnya kehidupan di planet merah itu.

Kenderaan enam roda berkenaan yang dinamakan Makmal Sains Marikh (MSL), dijana bahan api nuklear. Ia dijadual dilancarkan pukul 10.02 pagi waktu AS dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di negeri Florida dengan menggunakan roket Atlas V.

"Inilah mesin idaman saintis-saintis yang mengkaji Planet Marikh," kata timbalan projek MSL, Ashwin Vasavada.

"Ini ialah kenderaan penjelajah yang paling berkeupayaan pernah dihantar, kami amat teruja," tambahnya.

Berharga AS$2.5 bilion (RM7.9 bilion), kenderaan itu mampu menghantar maklumat terperinci mengenai batu-batan di permukaan Marikh dan petanda sama ada kehidupan pernah wujud di planet berkenaan.

- AFP

Kenderaan baru ke Marikh
http://myadha.blogspot.com/2011/11/kenderaan-baharu-teroka-marikh.html

Khamis, November 24, 2011

Kenderaan baharu teroka Marikh


Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan kenderaan baharu sebesar sebuah kereta yang akan meneroka planet Marikh.

Kenderaan itu yang diberi nama Curiosity mempunyai lengan sepanjang dua meter dan dilengkapi laser untuk memusnahkan batu di planet tersebut.

"Ini ialah mesin impian saintis Marikh," kata timbalan ketua projek saintis Marikh di NASA, Ashwin Vasavada.

Kenderaan itu bernilai AS$2.5 bilion (RM7.94 bilion) dan ia akan bergerak ke kawasan yang mempunyai organik dan karbon di Marikh pada Ogos tahun depan.

Kenderaan itu membawa seberat 4.8 kilogram plutonium yang boleh menjana kuasa selama dua tahun di Marikh.

Ia sepanjang dua meter, lebar sembilan meter dan setinggi dua meter.

- Agensi

Recent Posts