Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan

Jumaat, Oktober 21, 2011

Tarikh melihat anak bulan Zulhijah 27 Oktober tentukan Aidiladha 1432 Hijrah

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Petang 27 Oktober bersamaan 29 Zulkaedah ditetapkan bagi melihat anak bulan Zulhijah untuk menentukan Aidiladha.

Perkara itu dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini, Majlis Raja-Raja juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidiladha atau Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Sebanyak 30 lokasi ditetapkan bagi melihat anak bulan iaitu di Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara di Melaka; Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati dan Pulau Angsa, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, dan Sabak Bernam di Selangor.

Lokasi lain ialah Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong di Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Kemuning, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut, dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu.

Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu di Kelantan; Tanjong Lubang, Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak serta Balai Cerap Al-Biruni, Putatan di Sabah.

Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan; Menara Kuala Lumpur di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Wilayah Persekutuan Putrajaya; dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di Perlis.

Pada malam itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad akan mengisytiharkan tarikh Hari Raya Qurban menerusi radio dan televisyen.

- BERNAMA

Selasa, Oktober 11, 2011

Fenomena halo bulan dan matahari


Fenomena halo adalah lingkaran cahaya seakan-akan pelangi yang mengelilingi Matahari atau Bulan. Ia adalah sejenis fenomena optik. Ia adalah fenomena yang lebih kerap terjadi daripada kejadian pelangi. Di bahagian Eropah dan sebahagian daripada AS sering berlaku dan boleh dilihat dalam lingkungan dua kali seminggu. Pernah gempar di utara Semenanjung Malaysia apabila fenomena ini berlaku antara pukul 2.15 petang hingga 2.40 petang, 6 Ogos 2007 yang lalu.

Terdapat banyak jenis halo, tetapi kebanyakannya terjadi dari kristal ais dalam awan sirus sejuk yang terletak pada ketinggian 5–10 km di lapisan troposfera atas. Bentuk dan orientasi kristal-kristal ini menentukan bentuk halo yang terjadi.

Kekerapan kejadian melibatkan pusingan radius 22° halo dan sundogs(Parhelia). Dalam gambarajah menunjukan matahari di kelilingi oleh 22° halo dan dilambungi (sisi) oleh sundogs. Parhelic circle pula adalah biasan cahaya kristal yang melepasi sundogs dan mengelilinginya. Kadangkala ia melapisi keseluruhan ruang langit dalam latitut yang sama dengan matahari. Pembinaan tangen ketinggian dan rendah (Upper Tangent arc and Lower Tangent arc) menyentuh secara terus dengan 22° halo sama ada di atas atau dibawah matahari. Pembinaan Lengkungan (Circumzenithal arc) akan terjadi di atas semua kristal tersebut.

Radius 22° halo tidak kelihatan. Ia seperti helaian yang berlapis-lapis atau habuk pada permukaan awan cirrus yang nipis. Awan ini sejuk dan mengandungi ais kristal walaupun pada iklim yang sangat panas.

Halo sangat besar. Ia selalu mempunyai diameter yang sama dalam posisinya di langit. Kadang-kadang hanya sebahagian sahaja yang muncul. Semakin kecil cincin cahaya yang terbias muncul mengelilingi matahari atau bulan dihasilkan oleh corona dari lebih banyak titisan air daripada dibiaskan oleh ais kristal. Ia tidak mengaitkan bahawa hujan akan turun.

Apabila ingin melihat halo pastikan kedua mata anda dilindungi dari pancaran matahari. Jangan sesekali memandang terus dan lama pada halo. Sembunyikan matahari dari penglihatan di balik binaan, bangunan atau apa-apa sahaja. Berhati-hati apabila mengambil gambar halo tanpa pelindung matahari. Ia sangat merbahaya untuk mengambil gambar terus terutamanya mengunakan kamera SLR.

Sumber : WIKIPEDIA

Jumaat, September 23, 2011

Satelit UARS NASA dijangka jatuh Sabtu, 24 September 2011


SERPIHAN Satelit Penyelidikan Atmosfera Atas (UARS) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) yang tidak lagi berfungsi diramal jatuh di luar Malaysia.

Menurut Agensi Angkasa Negara dalam satu kenyatan hari ini, satelit UARS yang dinyah aktifkan pada 2005, diramal jatuh dan memasuki atmosfera bumi Sabtu ini.

Mengikut laporan NASA, UARS akan terbakar dan pecah kepada serpihan kecil apabila memasuki atmosfera bumi dan hanya sebahagian kecil komponen satelit itu dijangka jatuh ke permukaan bumi.

Justeru, menurut NASA, risiko jatuhan serpihan kepada orang awam adalah amat kecil.

Bagaimanapun, NASA melaporkan bahawa waktu dan jejak jatuhan serpihan satelit hanya akan diketahui dengan tepat beberapa jam sebelum ia berlaku.

Namun daripada penjejakan laluan orbit satelit yang dilakukan WeatherSpace.com, laluan serpihan satelit itu dijangka jatuh di kawasan sekitar Afrika, Asia Timur dan berakhir di Lautan Pasifik, di luar Malaysia.

UARS seberat enam tan itu dilancarkan pada 1991 untuk mengukur lapisan ozon, angin serta suhu dan ia adalah satelit terbesar NASA yang dijangka jatuh selepas makmal angkasa Skylab terhempas di barat Australia pada 1979.

- BERNAMA

Rabu, September 07, 2011

Impak cuaca angkasa kepada bumi


FENOMENA cuaca angkasa merujuk kepada kejadian penghantaran tenaga dari matahari kepada bumi menerusi zarah radiasi dan elektromagnet.

Secara asasnya, keadaan tersebut bakal memberi beberapa kesan perubahan terhadap atmosfera dan persekitaran permukaan bumi.

Perubahan-perubahan berkenaan meliputi tindakbalas magnetik, plasma ambien dan radiasi yang secara tidak langsung akan mempengaruhi aktiviti manusia.

Peringkat awal penemuan cuaca angkasa, ia dikategorikan dalam penyelidikan ilmu saintifik.

Kini, ia telah diambil kira sebagai sebahagian daripada aktiviti kajian fizik dan penerokaan angkasa lepas.

Di Malaysia, pendedahan terhadap ilmu cuaca angkasa masih berada di peringkat awal.

Namun, masyarakat hari ini semakin mengambil pendekatan memahami kejadian dan kesan cuaca angkasa kepada penduduk bumi.

Justeru, banyak pihak telah melakukan perbincangan secara maya di Internet berkaitan aktiviti kajian dan penyelidikan cuaca angkasa.

Antara organisasi yang giat menganjurkan aktiviti seumpama itu adalah seperti institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap fenomena itu, Planetarium Negara baru-baru ini menganjurkan ceramah bertajuk Pengenalan Kepada Cuaca Angkasa : Impak kepada Masyarakat dan Penerokaan Angkasa.

Ia telah disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat (AS), Prof. Dr. Mark Moldwin.

Menurut Dr. Moldwin, fenomena cuaca angkasa mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan dunia eksplorasi teknologi angkasa.

''Kajian mengenai cuaca angkasa ini sebenarnya telah bermula sejak tahun 1859 selepas berlakunya kejadian 'nyalaan solar' pada matahari diikuti gangguan magnetik di sebuah bandar di London ketika itu.

''Melalui pemerhatian satelit pula, selepas kejadian berkenaan, kelihatan imej berwarna putih mengelilingi matahari dipercayai gas pemanas.

''Bermula daripada kejadian itu, manusia semakin mengambil inisiatif memahami sistem planet dan juga solar demi menjaga keselamatan dan peradaban penduduk bumi,'' jelasnya ketika menyampaikan ceramah di Planetarium Negara di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melihat kesan terhadap masyarakat dan aktiviti di bumi, Dr. Moldwin memberitahu, cuaca angkasa memberi pelbagai implikasi.

Antaranya gangguan siaran televisyen dan radio, rangkaian telefon bimbit, perjalanan penerbangan kapal terbang, aktiviti ramalan kaji cuaca dan bekalan elektrik ke rumah serta pejabat.

''Lebih teruk lagi, jika terdapat gegaran pada kesan cuaca ribut angkasa pula, ia boleh menyebabkan kemusnahan pada harta benda,'' jelasnya.

Daripada segi kesan kepada manusia pula, kejadian cuaca angkasa boleh menyebabkan radiasi kepada kulit dan juga mata untuk jangka masa panjang.

Dalam usaha menyediakan penduduk bumi untuk berhadapan dengan fenomena ini, organisasi angkasa seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ada banyak mengadakan misi penghantaran manusia meneroka angkasa.

Tujuannya adalah untuk membolehkan manusi menjalankan kajian dan penyelidikan secara terperinci bagaimana kitaran solar dan cuaca angkasa berlaku.

Menerusi cara itu, manusia akan dapat memahami secara lebih mendalam tentang fenomena tersebut dan dan bersedia mengaplikasikan teknologi komunikasi moden untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan kelak.

- UTUSAN

Rabu, Ogos 24, 2011

Tarikh hari raya tidak sama kerana perbezaan matlak - JAKIM

Perbezaan penentuan tarikh hari raya di antara negara Islam berlaku kerana wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal atau anak bulan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Othman Mustapha, berkata perkara itu juga bergantung kepada pihak berkuasa agama di negara terbabit sama ada menggunakan kaedah rukyah (cerapan) atau hisab sahaja, atau kedua-duanya.

"Brunei misalnya menentukan awal Syawal berpandukan rukyah semata-mata, katanya dalam satu kenyataan," di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata tidak timbul isu Sabah dan Sarawak tidak akan menyambut Syawal bersama dengan negeri di Semenanjung.

"Penetapan bermulanya Syawal juga tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia," katanya.

Othman yang juga pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam berkata, di negara ini penentuan Syawal adalah melalui cawangan Falak dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukya (kebolehnampakan).

Katanya, dua stesen rujukan yang digunakan ialah di Tanjung Atiam, Sabah serta Tanjung Chincin di Langkawi dan pemilihan kedua-dua stesen itu berdasarkan kesesuaian kedudukan geografi.

"Tanjung Chincin berada pada rujukan paling barat sementara Tanjung Atiam berada pada rujukan paling timur merangkumi seluruh Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, JAKIM meminta rakyat di negara ini yang beragama Islam agar mematuhi keputusan pengumuman Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia bagi rujukan dalam menentukan awal Syawal.

- BERNAMA

Ahli falak ramal Aidilfitri pada 30 Ogos 2011


Beberapa orang ahli falak yakin umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri pada Selasa, 30 Ogos ini berdasarkan kajian dan perkiraan hisab serta kedudukan anak bulan Syawal.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Tuan Syed Kamaruzaman Syed Kabeer, andaian itu dibuat kerana penentuan awal Syawal 1432H menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan).

“Berdasarkan perkiraan itu, anak bulan dijangka sudah cukup syarat untuk memulakan bulan baharu (Syawal) pada 30 Ogos ini,” jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tarikh sebenar hari raya tetap tertakluk kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja.

Menurutnya, perkiraan hisab di negara ini turut diamalkan di negara serantau seperti Indonesia dan Singapura.

Di Melaka, Ketua Bahagian Falak Syarie Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr. Kassim Bahali juga sependapat dengan Syed Kamaruzaman bahawa hari raya diramalkan jatuh pada Selasa kerana berdasarkan hisab, kedudukan bulan pada 29 Ogos ini bersamaan 29 Ramadan memenuhi kriteria Imkarnur Rukyah (kebolehnampakan).

“Hilal iaitu anak bulan dijangka memenuhi syarat minimum yang ditetapkan iaitu umur anak bulan sudah melebihi lapan jam.

“Anak bulan ialah cahaya bulan yang mula-mula kelihatan selepas ijtimak iaitu kedudukan bumi, bulan dan matahari berada dalam satu garisan,” katanya ketika dihubungi di Melaka semalam.

Beliau menjelaskan, berdasarkan faktor ini, 1 Syawal 1432 Hijrah dijangka jatuh pada Selasa, 30 Ogos ini.

- KOSMO!

Isnin, Ogos 15, 2011

Bumi pernah ada dua bulan

Pakar astronomi berpendapat bahawa Bumi pernah dikelilingi dua bulan, suatu keadaan yang pastinya dikagumi penyair, mereka yang mabuk asmara mahupun penulis lagu.

Bagaimanapun, bulan yang lebih kecil melanggar bulan lagi satu yang disifatkan sebagai ‘percikan besar’ menghasilkan hanya satu bulan hingga hari ini.

Ahli astronomi mengetengahkan teori untuk menerangkan mengapa keadaan bahagian bulan yang jauh lebih berbukit berbanding yang berhadapan dengan Bumi.

Teori berkenaan didedahkan dalam jurnal Nature, lengkap dengan model komputer menunjukkan bagaimana ia berlaku. Pakar lain berkata, idea berkenaan munasabah tetapi belum cukup kuat.

Semua ini dikatakan berlaku 4.4 bilion tahun lalu sebelum ada kehidupan di Bumi untuk melihat dua bulan itu. Kedua-dua bulan itu juga masih muda selepas terbentuk kira-kira 100 juta tahun lebih awal apabila sebuah planet gergasi melanggar Bumi.

Kedua-dua bulan itu mengelilingi Bumi dan terbit di langit bersama, yang lebih kecil mengikuti bulan yang lebih besar.
Bulan yang lebih kecil agak ringan sedikit, manakala yang satu lagi tiga kali lebih lebar dan 25 kali lebih berat, manakala gravitinya juga lebih kuat berbanding yang kecil.

“Planet itu ditakdirkan untuk berlanggar. Tiada jalan lain. Pelanggaran besar ini berhalaju rendah,” kata penulis bersama kajian, Erik Asphaug, saintis planet di Universiti California, Santa Cruz.

Apa yang dikatakan Asphug sebagai pelanggaran perlahan sebenarnya berlaku pada kelajuan lebih 8,050 kilometer sejam.

Disebabkan bulan lebih kecil lebih 965 kilometer lebar, proses pelanggaran berterusan untuk beberapa lama.

Asphaug menyamakan bulan lebih kecil itu bertindak seperti sebutir peluru yang ditembak dengan berkata: “Orang akan bosan melihatnya kerana ia mengambil masa 10 minit bagi peluru itu untuk terbenam dalam bulan. Jika anda menyaksikan perkara ini, anda perlukan sebuah beg bertih jagung yang besar untuk menunggu ia terhenti.”

Batuan dan kerak dari bulan kecil melayang dan bertaburan di bulan yang besar tanpa membentuk satu kawah, kecuali ia berlaku pada kepantasan lebih tinggi.

Kira-kira sehari selepas itu, semuanya selesai dan permukaan dekat dan jauh bulan kelihatan berbeza, kata Asphaug.

Martin Jutzi dari Universiti Bern di Switzerland berkata, kajian itu untuk menerangkan keadaan permukaan berbukit di bulan.

Asphaug menjelaskan, keadaan di situ seperti sesuatu ditambah pada permukaan.

– Agensi

Jumaat, Ogos 12, 2011

Matahari hambur letusan amat kuat

GAMBAR yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan letusan di matahari kelmarin.

Matahari menghamburkan letusan api amat kuat kelmarin sekali gus yang terbesar dalam tempoh hampir lima tahun.

Saintis-saintis memberitahu, impak fenomena berkenaan ke atas sistem satelit dan komunikasi adalah kecil kerana letusan berlaku di permukaan matahari yang membelakangkan Bumi.

Seorang saintis angkasa lepas A, Joe Kunches yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca negeri Colorado berkata, cuma terdapat laporan gangguan gelombang radio pendek di Asia susulan letusan kuat itu.

Matahari kini berada dalam fasa perubahan memasuki kitaran lebih aktif.

Saintis-saintis meramalkan akan berlaku lebih banyak letusan solar dalam masa lima tahun akan datang dengan letusan solar serupa berlaku pada Disember 2006.

- Agensi

Khamis, Julai 28, 2011

Tarikh melihat anak bulan Ramadan 1432H pada Ahad, 31 Julai 2011

TARIKH melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di seluruh Malaysia ialah pada petang Ahad ini, 31 Julai bersamaan 29 Syaaban 1432 Hijrah.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, tempat melihat anak bulan adalah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara (Melaka); Teluk Kemang (Negeri Sembilan); Bukit Melawati (Selangor); Pulau Angsa (Selangor); Bukit Jugra (Selangor), Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang (Perak); Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda (Kedah); Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah); Menara Alor Setar (Kedah).

Bukit Besar, Kuala Terengganu (Terengganu); Bukit Kemuning, Kemaman (Terengganu); Pulau Perhentian (Terengganu); Balai Cerap KUSZA, Setiu (Terengganu), Bukit Peraksi, Pasir Puteh (Kelantan); Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai (Kelantan); Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu (Kelantan).

Tanjung Lubang, Miri (Sarawak); Teluk Bandung, Kuching (Sarawak), Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi (Pahang); Gunung Berincang, Cameron Highlands (Pahang); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang).

Menara Universiti Malaysia Sabah (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis).

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab, dan pengisytiharan tarikh permulaan puasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia melalui radio dan televisyen pada malam itu juga.

- BERNAMA

Khamis, Jun 16, 2011

Matahari masuki fasa seperti abad ke-17

WASHINGTON - Saintis-saintis Amerika Syarikat (AS) menyatakan kitaran biasa bintik matahari kini memasuki fasa hibernasi yang tidak pernah dilihat sejak kurun ke-17 dengan suhu global dijangka turun akibat perubahan itu.

Selama bertahun-tahun, para saintis meramalkan bahawa menjelang 2012, matahari akan mengalami fasa dikenali sebagai solar maksimum dengan aktiviti ledakan api dan bintik matahari berada pada tahap paling aktif.

Keadaan tersebut dijangka menyebabkan suhu Bumi meningkat.

Namun, permukaan matahari yang agak tenang sejak kebelakangan ini menunjukkan keadaan yang sebaliknya.

Tanda-tanda perubahan tersebut termasuk ketiadaan pancutan api, sejumlah bintik yang pudar dan kelembapan aktiviti di kedua-dua kutub matahari.

Pendedahan itu dibuat menerusi tiga hasil kajian yang dibentangkan pada pertemuan tahunan Bahagian Solar Fizik Persatuan Astronomi Amerika Syarikat di Las Cruces, negeri New Mexico kelmarin.

"Keadaan ini ganjil dan di luar jangkaan," kata seorang pengarah bersama Agensi Percerapan Solar Nasional, Frank Hill.

Aktiviti matahari cenderung meningkat dan berkurangan setiap kitaran 11 tahun.

Fasa solar maksimum dan solar minimum pula berlaku setiap 22 tahun.

- AFP

Gerhana bulan paling gelap

Fenomena gerhana bulan penuh berlaku pada 16 Jun 2011 (Khamis) iaitu gerhana paling gelap dalam tempoh 11 tahun apabila bulan melintasi umbra. Ini akan berlaku bermula jam 1.24 pagi untuk selama 100 minit dan menjadi gelap sepenuhnya pada jam 3.22 pagi.
Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr Kassim Bahali, berkata apa yang lebih menarik ialah fenomena itu berlaku sebanyak dua kali tahun ini, sekali lagi pada Disember nanti selepas kali terakhir berlaku pada 16 Julai 2000.
Katanya, gerhana penuh bulan yang cuma berlaku ketika fasa purnama ini juga boleh dilihat di benua Afrika, Eropah, sebahagian besar Asia dan Australia.

“Gerhana ini dikatakan paling gelap pernah berlaku kerana biasanya walaupun gerhana penuh, kita masih boleh melihat sedikit cahaya pada permukaan bulan. Keadaan ini disebabkan ketika fasa gerhana penuh itu, bulan melintasi bayang paling gelap bumi iaitu umbra. Permulaan gerhana penuh kali ini boleh dilihat penduduk di selatan Chile, timur Argentina dan timur Brazil.

“Di Malaysia, gerhana dapat dilihat ketika bulan terbit di langit timur pada awal pagi. Penghujung gerhana penuh dapat dilihat penduduk Thailand, Kemboja, Vietnam dan barat Australia. Bahagian barat Eropah pula akan melihat bulan terbit yang mengalami gerhana penuh. Mereka melihat bulan gelap terbit di timur yang kebiasaannya terang ketika fasa purnama. Kali ini bulan kelihatan seolah-olah hilang,” katanya.

Kejadian gerhana bulan hanya berlaku ketika fasa purnama dan apabila seluruh atau sebahagian bulan memasuki bayang bumi. Cahaya matahari yang jatuh ke atas bumi menyebabkan sebahagian bumi terang (siang) dan sebahagian lagi gelap (malam) serta menyebabkan bayang bumi mengunjur ke angkasa.
Beliau berkata, ada dua bahagian bayang, di bahagian dalam dan luar. Bayang bahagian dalam dinamakan umbra, yang lebih gelap daripada bahagian luar, penumbra.

“Sekiranya bulan purnama, ia memasuki kawasan bayang akan mengakibatkan terjadinya gerhana. Jika seluruh bulan memasuki umbra, gerhana penuh akan berlaku. Jika hanya sebahagian bulan memasuki umbra, gerhana separa yang akan berlaku dan jika bulan hanya memasuki penumbra, gerhana penumbra yang akan terjadi.

“Bagaimanapun gerhana bulan tidak berlaku setiap bulan. Ini disebabkan satah orbit bulan condong sebesar lima darjah berbanding dengan satah orbit bumi. Gerhana hanya berlaku sekiranya bulan melalui satah orbit bumi,” katanya.

Pada 15 Jun ini, gerhana penuh terjadi disebabkan seluruh bulan memasuki umbra. Magnitud gerhana kali ini ialah 1.71, yang menunjukkan darjah kegelapan permukaan bulan. Nilai ini menunjukkan gerhana bulan kali ini adalah gelap.

Di Malaysia, fasa gerhana kali ini bermula apabila bulan menyentuh penumbra pada jam 1.24 pagi waktu tempatan, 16 Jun 2011. Ketika fasa gerhana ini bermula, bulan berada di langit barat. Ketika berada dalam bayang penumbra, cahaya bulan mula berkurangan tetapi sukar dikesan dengan mata kasar.

“Fasa penuh bermula apabila bulan mula menyentuh umbra pada jam 3.22 pagi. Bulan mula kelihatan gelap secara perlahan-lahan sehingga ia menjadi gelap sepenuhnya jam 03.22 pagi dan di tengah-tengah fasa penuh pada jam 04.13. Tempoh bulan mengalami fasa gelap sepenuhnya selama 100 minit.

“Bulan mula meninggalkan bayang umbra dan memasuki penumbra secara perlahan-lahan pada jam 5.02 pagi. Ia mula kelihatan bercahaya sedikit demi sedikit sehingga penuh sejam kemudian dan kembali normal pada 07:02 pagi. Gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa perlu menggunakan penapis,” katanya.

- BERITA HARIAN

Isnin, April 18, 2011

Ulang tahun ke-50 Yuri Gagarin ke angkasa

12 April, dunia menyambut ulang tahun ke-50 manusia pertama di angkasa lepas iaitu angkasawan Kesatuan Soviet, Yuri Gagarin melalui kapal angkasanya Vostok.

Wanita pertama sampai ke angkasa juga adalah dari Soviet iaitu Valentino Tereshkova. Malah sebelum mereka pula, haiwan pertama yang sampai ke angkasa juga datang dari Soviet iaitu anjing bernama Laika.

Bukan itu saja, kapal angkasa pertama, Sputnik dunia adalah hasil karya Soviet.

Kesan daripada kejayaan itu adalah besar kepada seluruh dunia. Ada anak-anak Melayu yang namanya Yuri dan juga Valentino mengambil sempena angkasawan Soviet itu.

Ketika itu di Malaya walaupun Darurat sudah diisytiharkan tamat tetapi perang menentang Parti Komunis Malaya (PKM) masih berlangsung

Di peringkat dunia, pertembungan antara Soviet dan Amerika Syarikat (AS) sedang memuncak. Sebuah negara jirannya, Cuba baru jatuh ke tangan komunis.

Sementara di banyak negara di seluruh dunia, ada saja parti komunis yang sedang menentang kerajaan masing-masing.

Di Singapura pula masa itu adalah mencemaskan. PKM mempunyai kehadiran kuat di situ. Malah dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP), berlaku pertarungan antara kumpulan pro-komunis dan anti-komunis. Lee Kuan Yew berjaya menyisihkan golongan pro-komunis yang kemudian menubuhkan Barisan Sosialis.

Washington dan Britain bimbang Singapura akan jatuh kepada komunis dan menjadi Cuba di Asia Tenggara. Jalan untuk menyelamatkan Asia Tenggara ialah dengan menyatukan Singapura dengan Malaya. Maka lahirlah gagasan Malaysia. Malaya dan Malaysia berada di sebelah Amerika dan sekutu-sekutunya. Gelagat kedua-dua kuasa ini sedang diperhatikan di seluruh dunia. Siapa yang akan menang pada masa itu belum diketahui.

Tetapi apa yang pasti Soviet telah menunjukkan dirinya sebagai kuasa masa depan kerana kejayaannya menghantar manusia ke angkasa lepas. Maknanya sains dan teknologi Soviet adalah paling ke hadapan di dunia mengatasi AS.

Sememangnya AS kurang kesungguhan dalam menjayakan sains dan teknologi mereka pada masa itu.

Kekayaan ilmu sains di AS dapat dipercepatkan kerana kemenangannya dalam Perang Dunia Kedua dan dasar menekan Yahudi oleh Jerman semasa pemerintahan Nazi.

Lantaran tekanan Nazi itulah banyak ahli sains termasuk Albert Einstein berhijrah ke AS. Begitu juga dengan ahli-ahli sains Jerman lain yang memberi sumbangan kepada pembangunan teknologi nuklear dan bom atom AS.

Sememangnya asal teknologi roket adalah Jerman. Andai kata Jerman tidak mencetuskan Perang Dunia Kedua, mungkin negara itulah satu-satunya yang berjaya membangun teknologi roket dan menjadi negara pertama mengirim manusia ke angkasa, dan bukannya Soviet atau AS.

Selepas Nazi tumbang dan Jerman terbahagi dua, di sebelah barat ditakluk AS dan sekutu-sekutunya dan di sebelah timur oleh Soviet, maka ilmu roket dan keangkasaan negara hebat itu juga terbahagi dua. Saintis yang menyokong demokrasi pergi ke Amerika, sementara penyokong komunis menyumbang pula kepada Soviet.

Keturunan

Saintis keturunan Jerman di AS menasihati Washington supaya cepat membangun teknologi roketnya kerana mereka ketahui bahawa Soviet sedang rancak merancangnya. Sememangnya misi roket dan keangkasaan Soviet mempunyai fokus jelas. Sains dan teknologi akan digunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat politik ideologi komunisme.

Washington tidak menghiraukan nasihat bekas saintis Jerman itu. Mereka tidak fikir bahawa Soviet mampu menerbangkan manusia ke angkasa.

Tetapi pada 4 Oktober 1957 lebih sebulan selepas Malaya merdeka, kapal angkasa pertama dunia, Sputnik dilancarkan di pangkalan yang terletak dalam Republik Soviet Sosialis Kazakh (Kazakh SSR), sebuah republik dalam Soviet.

Ia merupakan tamparan hebat kepada AS. Wibawa Soviet, dan juga komunisme meningkat di mata dunia pada masa itu. Dunia demokrasi dan sistem ekonomi terbuka mengalami tamparan hebat.

Washington tersedar bahawa nasihat dan amaran bekas saintis Jerman mempunyai kebenarannya.

Maka mereka juga berasa cemas kalau-kalau Amerika akan ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.

Ekoran itu Presiden John F. Kennedy menerapkan dasar sains yang agresif termasuk pendidikan sains. Semua sekolah, kolej dan universiti mendapat tekanan supaya meningkatkan pendidikan sains mereka.

Sementara dengan tidak berlengah-lengah lagi mereka segera bingkas membangun teknologi roket dan keangkasaan bagi mengalahkan Soviet.

Dalam kerancakan itu, kejayaan Soviet menghantar Yuri Gagarin ke angkasa merupakan satu lagi pukulan kepada AS. Tetapi pukulan ini diambil secara positif yang kemudian menyebabkan AS meletakkan sasaran akan menjadi negara pertama yang mendaratkan angkasawannya ke permukaan bulan.

Maka pada tahun 1969, penghujung dekad 60-an, Amerika berjaya mengalahkan Soviet dengan mencapai sasarannya meletakkan Neil Armstrong sebagai manusia pertama mendarat di bulan.

Ternyata dalam 10 tahun, AS berjaya mengalahkan Soviet. Wibawa AS bertambah pulih dan akhirnya, iaitu 20 tahun kemudian, sistem Soviet ternyata gagal dan kerajaan komunis tumbang.

Soviet dibubarkan dan Persekutuan Rusia serta republik-republik lain di dalamnya turut mendapat kemerdekaan. Program roket Soviet diwarisi oleh Rusia. Tetapi pangkalan angkasa yang terletak di Baikonur tidak terletak dalam Rusia. Ini kerana kini Kazakh SSR sudah menjadi Kazakhstan.

Siapa sangka bahawa kekaguman orang Malaya kepada Yuri Gagarin akan akhirnya membawa kepada Malaysia turut menghantar angkasawan pertamanya melalui teknologi roket Rusia daripada pangkalan Baikonur ini.

Maknanya angkasawan Malaysia pertama, Sheikh Muszaphar Shukor menjadi pewaris teknologi yang dibangunkan sejak Yuri Gagarin dan Sputnik.

Sheikh Muszaphar pula adalah antara ribuan anak Malaysia yang merupakan hasil daripada usaha gigih negara untuk membangunkan sains dan teknologi.

Komitmen negara ini jelas hinggakan sains dan teknologi turut terkandung dalam Rukun Negara. Bukan saja Soviet dan AS, Malaysia juga sedar bahawa wibawa negara terletak pada pencapaian dalam bidang itu.

- MINGGUAN MALAYSIA

Ahad, April 10, 2011

Matahari, bulan panduan umat Islam beribadat

Oleh Mohd Hishamuddin Mansor

Kejadian matahari adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Ilahi yang terpenting di alam ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (sebahagian dari dalil yang itu ialah) matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya, itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yasin, ayat 38)

Daripada ayat ini dapat difahami matahari itu beredar di atas paksinya dengan ketetapan Allah SWT yang kemas tanpa cacat dan huru hara. Matahari tidak pernah mengingkari perintah Tuhan dalam melaksanakan tugasnya serta sentiasa akur beredar di atas paksinya.

Kejadian matahari memberi manfaat dan faedah kepada semua makhluk di bumi hasil daripada cahayanya. Andai kata matahari tidak menyinarkan cahayanya, sudah tentu memberi kesukaran kepada makhluk di bumi ini menjalani kehidupan masing-masing.

Disebabkan cahayanya, binatang menjadi ceria manakala burung pula bersiul sambil bertasbih memuji Allah SWT.

Melalui sinar cahaya matahari juga tanaman dapat hidup subur. Pohon dan bunga dapat tumbuh sekali gus mengindahkan pemandangan bumi. Manusia pula dapat menikmati hasil daripada buah-buahan yang masak dan ranum sebagai makanan yang berkhasiat.
Matahari menyedut air di laut dan sungai lalu terbentuknya awan. Apabila awan menjadi berat, ia pecah lalu menitiskan hujan. Dengan kejadian hujan yang menyirami bumi, tumbuhan dapat membesar dengan sempurna. Sebahagiannya menjadi punca rezeki manusia. Justeru, tidak layak manusia bersyukur melainkan kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki.

Manusia amat memerlukan matahari sebagai pelita yang menyinari kehidupan mereka di dunia. Tanpa matahari mustahil mereka dapat menjalankan tugas mereka di bumi dalam keadaan selesa dan sempurna.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah, bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat, tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?” (Surah al-Qasas , ayat 71)

Sementara itu, bulan pula adalah satu jirim yang mana permukaannya berbatu batan dan berbentuk bulat. Permukaannya sejuk melainkan permukaan yang bertentangan dengan matahari. Ia berpusing atau beredar pada tempat peredarannya (manzilah).

Allah SWT menjelaskan pergerakan bulan yang berada tetap di paksinya mengelilingi bumi bertujuan untuk memberi faedah kepada manusia mengetahui bilangan hari, bulan, musim dan tahun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.

“Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya)”. (Surah Yunus, ayat 5)

Bagi golongan beriman, mereka boleh mengetahui masa beribadat seperti waktu solat, berpuasa Ramadan dan menunaikan fardu haji di Baitullah. Dalam urusan muamalat pula mereka boleh menetapkan tempoh untuk urusan sewa menyewa, gadaian, upah dan pelbagai lagi.

Selain itu Allah SWT juga menjelaskan perbezaan di antara cahaya matahari dan bulan. Hal ini diterangkan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang)”. (Surah Nuh, ayat 16)

Jika diperhatikan dalam al-Quran, Allah SWT sentiasa menyifatkan matahari sebagai lampu (pelita) yang bersinar, sedangkan bulan disifatkan-Nya sebagai cahaya. Apakah perbezaan di antara kedua-duanya ?

Kemajuan sains mendapati cahaya matahari datang daripada zat matahari itu sendiri. Oleh itu ia menjadi lampu atau pelita yang bersinar. Sedangkan bulan tidak, ia hanya menerima cahaya daripada matahari kemudian memantulkannya pula ke bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?” (Surah an-Nabaa, ayat 13)

Walaupun cahaya bulan tidak setanding dengan cahaya matahari tetapi ia tetap mengasyikkan mata memandang terutama ketika di bulan purnama. Memandang bulan yang indah memberi kerehatan dan ketenangan pada fikiran juga minda manusia.

Kesimpulannya kita hendaklah merasa bersyukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat matahari dan bulan yang dikurniakan-Nya.

Dipetik daripada buku, Alam Cakerawala Bukti Kekuasaan Allah SWT, Sempena Konvensyen Falak Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada 26-27 Mac 2011.

- BERITA HARIAN

Sabtu, April 02, 2011

Imej Bumi rakaman AS, Rusia berbeza


LONDON - Imej Bumi yang dirakamkan satelit Rusia, Elektro-L kelihatan berbeza dengan gambar Bumi yang dirakamkan menerusi satelit Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat, lapor sebuah akhbar semalam.

Rakaman gambar Bumi menerusi satelit Rusia itu dianggap lebih tepat berbanding dengan rakaman misi NASA di angkasa lepas.

Menurut seorang ahli astronomi, Dr. Robert Simmon dari Balai Cerap Bumi NASA di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard, Maryland, imej yang dirakamkan satelit Rusia itu merupakan kombinasi penglihatan dan jarak gelombang hampir inframerah.

Keadaan itu menyebabkan Bumi kelihatan berbeza dengan rakaman NASA yang menggunakan pelbagai gelombang inframerah dan ditukar menjadi imej tiga dimensi (3-D).

- Agensi

Isnin, Mac 21, 2011

Kedudukan bulan paling rapat dengan bumi


ENGLAND - Buat pertama kali sejak tahun 1992, bulan yang besar (super moon) dapat dilihat pada titik kedudukan paling rapat antara bumi dan bulan di menara St. Michael di Glastonbury, England, lapor sebuah akhbar semalam.

Kelihatan beberapa pengunjung sedang berdiri berdekatan menara itu untuk melihat bulan yang hanya dapat dilihat selepas dua dekad lalu.

Fenomena tersebut berlaku apabila bulan berada sangat rapat dengan bumi daripada kebiasaannya. Ketika itu, bulan akan kelihatan sangat terang dan bercahaya.

- Agensi

Sabtu, Februari 26, 2011

Seni peralatan astronomi Islam


Astrolab


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

ASTRONOMI merupakan bidang yang mendapat perhatian manusia sepanjang zaman dan di setiap tamadun. Ia merupakan kajian tentang ciptaan Allah di alam cakerawala seperti bulan, bintang, matahari dan planet-planet lain yang terdapat di ruang angkasa.

Ilmu mengenai kajian astronomi berkembang pesat di wilayah Islam pada abad kesembilan hingga abad ke-15 Masihi.

Ia adalah bidang yang amat penting bagi golongan terpelajar dan pemikir pada waktu itu.

Ia menarik minat pelbagai lapisan masyarakat daripada golongan pemerintah sehingga golongan rakyat biasa.

Peredaran matahari, bulan dan kewujudan bintang di waktu malam sering diperhatikan manusia dalam mencari jawapan tentang kejadian objek-objek ini.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menerangkan tentang kejadian bulan dan bintang. Antaranya adalah dalam surah al-A'raf, ayat 54 yang bermaksud: …..Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang (masing-masing) tunduk kepada Perintahnya….

Bagi manusia yang memerhati kejadian alam ini , terdapat tanda-tanda kebesaran Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam ayat 6 surah Yunus yang bermaksud: Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang itu dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi, benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi orang-orang yang bertakwa.

Oleh yang demikian, ramai cendekiawan Islam yang kini dikenali sebagai ahli sains Islam telah mempelajari dan mengkaji bukan sahaja al-Quran.

Malah kajian yang telah disediakan oleh tamadun sebelum Islam seperti Mesir, Rom, Greek, India dan China tentang kejadian alam ini bagi mencari tanda-tanda kekuasaan Allah SWT.

Bidang astronomi juga penting dalam ibadah seperti menentukan waktu sembahyang dan puasa yang berkait rapat dengan peredaran matahari dan bulan.

Untuk itu para ilmuan Islam turut mencipta peralatan yang dapat membantu mereka menerokai alam cakerawala.

Antara peralatan yang menjadi kebiasaan bagi ahli astronomi Islam ialah astrolab, sukuan dan glob cakerawala.

Peralatan sains yang dihasilkan di dunia Islam diminati bukan sahaja kerana kegunaannya tetapi kerana rupa bentuknya.

Ini kerana masyarakat Islam ketika itu amat menitik beratkan keindahan dalam setiap benda yang mereka hasilkan walaupun pada peralatan sains.

Perkara ini mungkin berkaitan dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Allah itu Maha Indah dan sukakan keindahan."

Dalam peralatan sains Islam, astrolab merupakan pilihan utama dalam kajian astronomi yang dijalankan. Artifak astrolab dunia Islam mempunyai beberapa rekaan yang berlainan dan amat menarik terutamanya di bahagian yang dipanggil bingkai, cakera, dan mater.

Bingkai cakera astrolab mempunyai maklumat seperti nama-nama bintang serta penunjuk yang memberitahu kedudukan bintang tersebut di langit. Bingkai cakera astrolab ini diberi sentuhan keindahan seni dengan ukiran tebuk yang menarik.

Nama-nama bintang ditoreh dengan teliti di atas kepingan logam tersebut menggunakan tulisan kufik dan diwarnakan dengan dakwat hitam.

Cakera logam pula dihiasi dengan garis lintang dan garis bujur angkasa. Ini bagi membantu pengkaji mengira kedudukan setiap objek dengan tepat.

Terdapat beberapa cakera logam yang berbeza dalam satu astrolab. Setiap satu mempunyai kegunaan yang berbeza.

Di bahagian belakang mater pula dilengkapi dengan pembaris yang digunakan untuk mengukur ketinggian objek. Di sekeliling bingkai mater terdapat huruf dan abjad yang mewakili darjah ketinggian dalam proses mengukur.

Glob cakerawala ialah satu lagi peralatan yang dibuat oleh ahli sains Islam khusus bagi mempelajari kedudukan bintang di ruang angkasa bumi.

Glob cakerawala mempunyai bukan sahaja kumpulan dan susunan bintang di langit tetapi juga gambaran imaginasi bentuk horoskop yang terhasil daripada susunan bintang tersebut.

Imej yang digunakan adalah amat berlainan dengan imej horoskop yang digunakan pada hari ini yang merujuk kepada gambaran astrologi barat.

Horoskop Islam juga mempunyai 12 imej tetapi dengan gambaran dan pakaian yang lebih sopan dan menarik. Nama setiap horoskop juga diletakkan di atas glob cakerawala.

Glob cakerawala dibuat dengan menggunakan acuan dan ia kemudiannya dituris atau diukir dengan nama dan kedudukan gugusan-gugusan bintang utama serta gambaran imaginasi setiap kumpulan bintang.

Gambaran imaginasi ini terhasil daripada cerita-cerita dongeng yang direka oleh masyarakat Asia Barat ketika itu sebagai hiburan diwaktu malam kerana mereka boleh melihat bintang dengan jelas terutamanya di kawasan padang pasir.

- UTUSAN

Asteroid - Pemusnah bumi?


Jika mengambil kira pandangan saintis Barat bahawa kiamat bakal terjadi akibat bumi dihentam asteroid, penduduk planet ini sudah tidak punya banyak masa untuk bersedia berdepan dengan malapetaka paling dahsyat itu.

Ia disebabkan sudah banyak kali bumi terselamat dan mengelak daripada menjadi sasaran pelanggaran asteroid. Malah, tanpa disedari sejak awal bulan ini, sudah lebih 40 objek berhampiran bumi yang ditemui dan dicatatkan, termasuk ancaman tahi bintang yang melintasi bumi tetapi dapat ‘ditepis.’
Namun, apakah kemungkinan bumi untuk terus bernasib baik daripada ancaman asteroid atau merujuk batu atau himpunan batuan pejal bahan logam besi atau nikel yang dalam, pelbagai saiz ini termasuk batu gergasi?

Terbaru, saintis Russia - Leonid Sokolov daripada Univesiti St Petersburg, meramalkan bumi bakal dihentam asteroid Apophis pada 13 April 2036. Ini bukan kali pertama ramalan impak maut bakal dicetuskan Apophis kerana pada 2004, saintis Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) meramalkan asteroid ini akan menghentam bumi pada 2029. NASA turut meramalkan pertembungan hampir Apophis-bumi pada 2068.

Ringkasnya, berdasarkan kedua-dua ramalan itu, hayat bumi didakwa mereka cuma tinggal antara 18 - 25 tahun kerana impak Apophis boleh meragut jutaan nyawa selain mencetuskan kekalutan di seluruh dunia.

Menurut ramalan saintis Russia itu, asteroid sepanjang 270 meter, ukur lilit 330 meter itu dan ketinggian bangunan 90 tingkat dengan berat sekitar 25 juta tan, itu bergerak pada jarak 37,014 kilometer sejam dan dianggarkan merentasi lohong graviti pada 2029 lalu melanggar bumi tujuh tahun kemudian.

Ketua Program Objek Menghampiri Bumi NASA, Deo Yeomans, berkata pengiraan lebih tepat laluan Apophis dalam tempoh beberapa tahun sudah pasti menyaksikan usaha pakar mengeluarkannya daripada mana-mana kemungkinan perlanggaran dengan Bumi pada 2036.
“Kemungkinan senario yang berlaku adalah Apophis akan menghampiri bumi pada akhir 2012 dan awal 2013. Namun, kehadirannya pasti dipantau hebat deretan teleskop optikal di daratan serta sistem radar sofistikated.

“Andai ia berada di laluan membahayakan, NASA akan bertindak menggunakan kelengkapan serta peralatan bagi mengubah laluan Apophis dan sekali gus mengurangkan ancamannya menghentam bumi,” kata Yeomans.

Ibarat menghangatkan lagi permusuhan AS dan Russia menawan cakerawala, Ketua Agensi Angkasa Lepas Russia, Anatoly Perminov, pula menegaskan kemungkinan mengerah sebuah angkasa lepas bagi memusnahkan Apophis. Malah, penyelidik NASA, Agensi Angkasa Lepas Eropah dan China juga akan dipelawa menyertai misi Apophis.

Dengan nada optimis, Perminov mengiyakan ancaman Apophis dengan mendakwa nyawa penghuni bumi kini terancam.

“Kita perlu mewujudkan satu sistem yang akan membenarkan kami menghalang satu perlanggaran, berbanding hanya duduk dan menunggu apa yang akan berlaku dan membunuh ramai,” kata Perminov.

Ketika saintis dua negara itu terus bertikam lidah mengenai ancaman Apophis, ada beberapa lagi laporan penemuan asteroid yang berhampiran bumi. Terbaru, juga awal bulan ini, penemuan apa dikenali asteroid berpotensi bahaya (PHA) yang baru diumumkan dan kali ini ia juga melepasi bumi dengan selamat.

Asteroid yang dilabelkan sebagai CU46 cuma 505,000 kilometer tersasar daripada laluan bumi tetapi masih dianggap sebagai terlalu hampir dalam terma astrologi. CU46 mempunyai keluasan diameter 20 meter hingga 50 meter dan objek ini berkemungkinan besar menghasilkan bebola api gergasi dan memberikan kerosakan besar jika berlanggar dengan bumi di kawasan padat.

Di sebalik ramalan maut dilontarkan saintis Russia dan Barat, ada baiknya dikaji kepentingan asteroid kepada manusia. Ini termasuk statusnya sebagai sumber asal usul sistem solar atau suria. Ini berikutan material dalam asteroid itu mewakili pembinaan blok dalam planet dan sekali gus membolehkan .

Timbalan Penyiasat Misi Dawn NASA, Carol Raymond, berkata kewujudan asteroid juga akan membantu manusia lebih memahami asal usul kehidupan. Saintis tidak tidak memahami sepenuhnya bagaimana kehidupan pertama terbentuk daripada bahan organik bukan kehidupan dan asteroid mungkin membantu mereka mempelajari lebih banyak benda.

Sesungguhnya manusia cuma menunggu masa sebelum pengumuman dibuat mengenai Bumi akan berdepan impak daripada asteroid yang cukup besar menyebabkan kerosakan teruk. Inilah sebabnya mengapa lebih banyak kajian perlu dibuat mengenai objek itu - bagi membantu mendalamkan pemahaman dengan harapan memberikan kita pilihan pertahanan lebih baik.

Laser tangkis ancaman

PELBAGAI idea dan kaedah diketengahkan dalam usaha mengelak bumi dilanggar asteroid. Antaranya, laser yang dikatakan boleh digunakan untuk memesongkan laluan asteroid yang berpotensi bertembung dengan bumi.

Berita ini mungkin satu kelegaan kepada pakar kaji bintang yang menunggu penuh debar ancaman Apophis atau asteroid gergasi yang diramal menghampiri bumi pada 2029 dan 2036.

“Walaupun hentaman berkemungkinan besar tidak berlaku, ia masih berpotensi memberikan malapetaka buruk,” kata Prof Madya Gregory L Matloff dari Kolej Teknologi New York.

Penyelidikan pakar fizik itu menyatakan laluan Apophis boleh dialihkan dengan memanaskan permukaannya untuk mencipta pancutan arus, yang akan mengubah laluannya dan menyebabkannya tersasar.

Pasukannya sedang menghasilkan pengumpul solar - solar dua sauh untuk bertindak sebagai pemekat cahaya matahari, membakar sebahagian permukaan dan menghasilkan pancutan arus.

“Bagi melakukannya, penting untuk mengetahui sedalam mana diperlukan cahaya untuk menembusi permukaan objek berhampiran Bumi (NEO). Pancaran yang menembusi terlalu dalam akan memanaskan asteroid.

“Namun pancaran yang menembusi pada kadar mencukupi, mungkin satu persepuluh milimeter akan menghasilkan arus yang boleh dikemudi dan mencapai matlamat memesongkan asteroid,” katanya.

Matloff dan pasukannya membuat uji kaji dengan laser merah dan hijau untuk melihat sedalam mana mereka dapat menembusi batu asteroid, menggunakan contoh daripada tahi bintang Allende yang jatuh di Chihuahua, Mexico pada tahun 1969.

Dalam satu kajian berkaitan, seorang lagi pakar fizik, Prof Madya Lufeng Leng, menyempitkan sinaran laser merah dan mengimbas permukaan nipis contoh itu, dan mendapati perbezaan dalam kedalaman cahaya yang dipindahkan wujud, bergantung kepada kandungan material pada laluan yang dilalui sinaran itu.

Hasil kajian merumuskan laser yang disasarkan daripada kedudukan angkasa lepas berhampiran NEO boleh membantu menentukan kandungan permukaan. Menggunakan maklumat itu, teknologi solar boleh memberi tumpuan lebih tepat sinaran matahari untuk menembusi permukaan asteroid dan kedalaman bersesuaian, memanaskan pada suhu tepat untuk menghasilkan pancutan arus yang akan memesongkan asteroid.

- BERITA HARIAN

Isnin, Januari 10, 2011

Kajian isu berkaitan kiamat

Salah satu tanda orang yang beriman adalah percaya pada hari kiamat. Ini kerana beriman kepada hari kiamat adalah salah satu daripada rukun iman.

Namun, kira-kira dua tahun lalu, dunia dikejutkan dengan filem bertajuk 2012. Filem arahan Roland Emmerich itu mengambil idea daripada ramalan kaum Maya yang mendakwa kitaran besar dunia tempoh ini atau hari kiamat akan berakhir pada tahun depan iaitu pada tarikh 21 Disember 2012.

Malah, lama sebelum filem 2012 dihasilkan, dokumentari bertajuk End Day pernah diterbitkan oleh BBC pada tahun 2004. Dalam dokumentari ini, digambarkan empat peristiwa besar yang mungkin menyebabkan kiamat;

1) Mega tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi dan juga hentaman asteroid.

2) Munculnya virus pembunuh yang kemudiannya menjadi wabak, sehingga membunuh jutaan penduduk dunia.

3) Supervolcano (letusan raksaksa gunung berapi) dari dasar Taman Negara Yellowstone, Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan benua Amerika Utara musnah sama sekali, dan

4) Kesalahan para saintis berkaitan dengan eksperimen bagi mengubah hukum-hukum fizik seperti nuklear.

Bezanya antara filem fiksyen 2012 dengan End Day adalah di dalam End Day tidak menyatakan tarikh kiamat akan berlaku. Manakala, dalam filem '2012' dinyatakan secara saintifik tarikh kiamat itu.

Sungguhpun ramai mengetahui dan mengakui bahawa filem 2012 itu hanya dongengan, ramalan bencana besar yang akan berlaku itu amat berbahaya kepada orang yang belum memiliki iman yang kuat kerana dibimbangi mereka akan terpedaya lantas mempercayainya. Ini sebenarnya bertentangan dengan akidah Muslim.

Kaum Muslimin sebenarnya memiliki dua pusaka yang besar iaitu al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Dua teks ini sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.

Hakikatnya, sebelum penayangan filem 2012 terdapat lebih kurang 26 ramalan tentang hari kiamat yang disebarkan oleh kumpulan pemuja hari kiamat, ahli astrologi dan para ilmuwan.

Ramalan-ramalan tidak benar ini telah bermula seawal tahun 1945 hinggalah 2003. Antaranya;

l Charles, seorang paderi Kristian dari AS meramalkan kiamat iaitu bumi akan terbakar pada 21 September 1945, pukul 5.33 pagi

l Charles Laugheda, seorang doktor dari AS meramalkan kiamat berupa banjir dan gempa bumi yang dahsyat akan terjadi pada 20 Disember 1954

l Ada pihak pula pernah meramalkan kiamat akan terjadi pada 14 Julai 1960, pukul 1.45 petang disebabkan oleh ledakan bom bawah tanah milik Amerika. Lucunya, ekoran ramalan itu ada orang yang menghasilkan perahu.

l Ahli astrologi India pula meramalkan kiamat akan terjadi pada 2 Februari 1962 iaitu antara pukul 12.05 tengah hari hingga 12.15 tengah hari.

Pelbagai contoh ramalan kiamat di atas jelas membuktikan manusia tidak mampu mengetahui tarikh hari kiamat secara tepat.

Hanya Allah sahaja yang mengetahui saat kiamat datang melanda. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengetahuinya. Baginda hanya diberitahu tentang tanda-tanda kiamat sahaja sebagaimana yang akan dikaji menerusi buku terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. berjudul Armagedon 2012 Bencana Akhir Zaman.

Buku tulisan pensyarah di Universiti Brawijaya, Indonesia iaitu Wisnu Sasongko@Muhammad Alexander. Beliau yang kini dalam proses mendapatkan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Sejarah dan Peradaban telah banyak menghasilkan kajian mengenai Yakjuj & Makjuj, Zulqarnain dan hari kiamat.

Antara buku bestseller beliau adalah Yakjuj & Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung (2009) dan Alexander adalah Zulqarnain.

Armageddon: 2012 adalah nukilan hasil kajian berdasarkan fakta-fakta yang dirujukkan kepada penulisan ilmiah penulis-penulis lampau serta fakta-fakta yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis.

Pendekatan penulis yang meletakkan fakta-fakta mengikut susunan yang yang kemas serta bukti-bukti yang kukuh, sekali gus menjadikan ia mudah difahami oleh pembaca daripada pelbagai lapisan.

- UTUSAN

Rabu, Januari 05, 2011

Gerhana matahari separa di Asia Barat dan Eropah


Gerhana matahari separa yang dapat dilihat di Gaza.

BERN - Langit musim sejuk bertukar menjadi gelap di Switzerland kerana fenomena gerhana matahari separa yang bermula di Asia Barat dan melitupi hampir seluruh Eropah pada pagi semalam.

Sebuah akhbar melaporkan, keadaan di bandar raya ini menjadi gelap seperti senja semasa orang ramai berpusu-pusu keluar dari tren dan bas untuk ke tempat kerja.

Gerhana itu dapat dilihat dengan jelas di Geneva dan beberapa kota lain di Switzerland menjelang pertengahan waktu pagi sebelum langit beransur cerah.

Gerhana itu buat pertama kalinya dilihat adalah di langit Baitulmuqaddis manakala gerhana matahari paling jelas berlaku di Sweden apabila hampir 85 peratus matahari berada di belakang bulan.

"Kerana jajaran kedudukan bulan dengan matahari, gerhana kali ini kelihatan kecil," kata seorang ketua balai cerap, Tycho Brahe di selatan Sweden.

Gerhana matahari berlaku apabila bulan berada di antara matahari dan bumi menyebabkan bayang bulan dapat dilihat dari bumi manakala dalam gerhana separa hanya sebahagian matahari terhalang oleh bulan.

Sementara itu, penduduk di pedalaman Rusia, Kazakhstan, Mongolia dan barat daya China dapat melihat gerhana matahari itu pada waktu senja.

- Agensi