Impak cuaca angkasa kepada bumi


FENOMENA cuaca angkasa merujuk kepada kejadian penghantaran tenaga dari matahari kepada bumi menerusi zarah radiasi dan elektromagnet.

Secara asasnya, keadaan tersebut bakal memberi beberapa kesan perubahan terhadap atmosfera dan persekitaran permukaan bumi.

Perubahan-perubahan berkenaan meliputi tindakbalas magnetik, plasma ambien dan radiasi yang secara tidak langsung akan mempengaruhi aktiviti manusia.

Peringkat awal penemuan cuaca angkasa, ia dikategorikan dalam penyelidikan ilmu saintifik.

Kini, ia telah diambil kira sebagai sebahagian daripada aktiviti kajian fizik dan penerokaan angkasa lepas.

Di Malaysia, pendedahan terhadap ilmu cuaca angkasa masih berada di peringkat awal.

Namun, masyarakat hari ini semakin mengambil pendekatan memahami kejadian dan kesan cuaca angkasa kepada penduduk bumi.

Justeru, banyak pihak telah melakukan perbincangan secara maya di Internet berkaitan aktiviti kajian dan penyelidikan cuaca angkasa.

Antara organisasi yang giat menganjurkan aktiviti seumpama itu adalah seperti institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap fenomena itu, Planetarium Negara baru-baru ini menganjurkan ceramah bertajuk Pengenalan Kepada Cuaca Angkasa : Impak kepada Masyarakat dan Penerokaan Angkasa.

Ia telah disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat (AS), Prof. Dr. Mark Moldwin.

Menurut Dr. Moldwin, fenomena cuaca angkasa mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan dunia eksplorasi teknologi angkasa.

''Kajian mengenai cuaca angkasa ini sebenarnya telah bermula sejak tahun 1859 selepas berlakunya kejadian 'nyalaan solar' pada matahari diikuti gangguan magnetik di sebuah bandar di London ketika itu.

''Melalui pemerhatian satelit pula, selepas kejadian berkenaan, kelihatan imej berwarna putih mengelilingi matahari dipercayai gas pemanas.

''Bermula daripada kejadian itu, manusia semakin mengambil inisiatif memahami sistem planet dan juga solar demi menjaga keselamatan dan peradaban penduduk bumi,'' jelasnya ketika menyampaikan ceramah di Planetarium Negara di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melihat kesan terhadap masyarakat dan aktiviti di bumi, Dr. Moldwin memberitahu, cuaca angkasa memberi pelbagai implikasi.

Antaranya gangguan siaran televisyen dan radio, rangkaian telefon bimbit, perjalanan penerbangan kapal terbang, aktiviti ramalan kaji cuaca dan bekalan elektrik ke rumah serta pejabat.

''Lebih teruk lagi, jika terdapat gegaran pada kesan cuaca ribut angkasa pula, ia boleh menyebabkan kemusnahan pada harta benda,'' jelasnya.

Daripada segi kesan kepada manusia pula, kejadian cuaca angkasa boleh menyebabkan radiasi kepada kulit dan juga mata untuk jangka masa panjang.

Dalam usaha menyediakan penduduk bumi untuk berhadapan dengan fenomena ini, organisasi angkasa seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ada banyak mengadakan misi penghantaran manusia meneroka angkasa.

Tujuannya adalah untuk membolehkan manusi menjalankan kajian dan penyelidikan secara terperinci bagaimana kitaran solar dan cuaca angkasa berlaku.

Menerusi cara itu, manusia akan dapat memahami secara lebih mendalam tentang fenomena tersebut dan dan bersedia mengaplikasikan teknologi komunikasi moden untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan kelak.

- UTUSAN

1 comment... add one now

Unknown Unknown Rabu, 15 Mei 2013 pada 9:00:00 PTG SGT
Assalamualaikum saya telah terlibat dengan pertandingan kajian cuaca angkasa.. ada x mana2 laman web yang pihak tuan rasa dapat banyak membantu...:D

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.