Selasa, Mac 05, 2024

Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2024 dibuka 4-29 Mac 2024

 


Warganegara Malaysia yang berkelayakan dipelawa memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2024, bermula semalam hingga 29 Mac.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memaklumkan, biasiswa itu merupakan biasiswa berprestij tinggi bawah tajaan kerajaan bagi mengikuti pengajian pada peringkat Sarjana (Penyelidikan) atau Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi, undang-undang, kewangan Islam serta kecerdasan buatan (AI) di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan atau universiti terkemuka dunia.

"Pemohon boleh melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui portal https://bmipenajaan.jpa.gov.my mulai 4 hingga 29 Mac 2024," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, borang permohonan yang lengkap berserta dokumen sokongan berkaitan hendaklah dihantar dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 5 April depan, sama ada melalui serahan tangan atau pos.

Katanya, antara syarat permohonan BYDPA 2024 ialah warganegara Malaysia berumur tidak lebih 35 tahun pada 1 Januari lalu.

Syarat lain termasuk mempunyai keputusan akademik amat cemerlang, iaitu ijazah sarjana muda yang diiktiraf kerajaan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon sarjana, manakala untuk calon PhD pula ijazah sarjana muda dan sarjana yang diiktiraf kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya.


0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts