Khamis, Februari 29, 2024

Permohonan UPU 2024 dibuka

 


Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2024/2025 ke program asasi, sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline akan dibuka bermula esok hingga 29 Mac ini bagi permohonan Fasa Pertama dan dari 29 April hingga 9 Jun depan bagi Fasa Kedua.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan dibuka bagi kemasukan ke 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 105 Kolej Komuniti dan empat Institusi Kemahiran Tinggi Awam (ILKA).


Menurut KPT, permohonan terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf untuk semua program pengajian bagi permohonan Fasa Pertama manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan atau ujian, dibuka bagi permohonan Fasa Kedua.

“Semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Sebanyak 503 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,111 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara,” katanya.

Dalam kenyataan sama KPT berkata, pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN.

https://www.adhazain.top/2024/02/fasa-1-permohonan-upuonline-dibuka-29.html


0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts