Khamis, Februari 01, 2024

Scammer guna taktik 'Waran tangkap' palsu


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan 'waran tangkap' kononnya dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya dan disebarkan melalui aplikasi sembang maya.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata dokumen palsu itu dikesan dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram

Katanya, semakan mendapati waran tangkap yang dihantar itu mengandungi 'arahan' kepada PDRM untuk mengambil tindakan segera bagi menahan pesalah serta kesalahan yang dinamakan dalam tempoh 24 jam.

"Isi kandungan 'waran tangkap' berkenaan juga menyatakan Mahkamah Tinggi telah memberi kuasa kepada PDRM untuk melaksanakan arahan tersebut.

"Pesalah yang ditahan juga tidak dibenarkan untuk diikat jamin oleh mana-mana pihak termasuk peguam selain segala aset yang didaftarkan di atas nama pesalah juga akan dibekukan dan disita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, menurut waran tangkap itu juga pesalah tidak dibenarkan untuk meninggalkan Malaysia setelah tindakan diambil ke atasnya.

"Adalah dimaklumkan 'waran tangkap' tersebut adalah palsu. Jabatan ini tidak pernah menerima 'waran tangkap' sedemikian.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, semua pihak diingatkan untuk tidak menuruti sebarang arahan yang diterima melalui 'waran tangkap' tersebut atau individu yang tidak dikenali. Ini adalah salah satu elemen scam," katanya.

Berikutan itu, katanya sebagai langkah pencegahan orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada penerimaan sebarang dokumen yang tidak dipastikan kesahihannya.

"Lakukan semakan dengan agensi yang berkaitan sebelum mengambil sebarang keputusan," katanya.

Dalam pada itu, katanya untuk sebarang pertanyaan ataupun pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi baharu penipuan, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 0132111222.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts