Isnin, November 20, 2023

Skim ajaib labur RM300 jadi RM5,000


Kehadiran berpuluh iklan menerusi media sosial memaparkan skim pelaburan saham yang kononnya menawarkan pulangan berganda dalam masa selang beberapa jam dikesan masih berleluasa sehingga dikhuatiri boleh menyebabkan orang ramai terjebak.

Semakan pada beberapa iklan tawaran mendapati, mereka semakin berani menawarkan skim yang meragukan itu dengan kebanyakan iklan menawarkan pelaburan saham berasaskan patuh syariah.

BH cuba menyertai skim pelaburan terbabit yang diiklankan di Facebook sebelum diminta menyertai kumpulan di Telegram.

Selepas menyertai kumpulan di Telegram, wartawan bertanyakan cara untuk menyertai pelaburan.

Dalam beberapa saat, seorang ahli dalam kumpulan itu kemudian meminta wartawan merujuk kepada seorang individu yang dipercayai pentadbir (admin) kumpulan dan pengendali kemasukan pelabur baharu melalui mesej di Telegram.

Individu terbabit memberi respon yang pantas dengan memberikan butiran mengenai pakej-pakej pelaburan yang ditawarkan serta jumlah keuntungan.

Nilai minimum pelaburan adalah RM300 dengan keuntungan RM5,000 dan nilai pelaburan maksimum adalah RM10,000 dengan nilai keuntungan RM120,000.

Peserta kemudian diminta mengisi 'borang' yang memerlukan butiran seperti nama, nombor akaun, bank, nombor telefon bimbit, alamat e-mel, pakej pelaburan dan jumlah pelaburan.

Selain itu, butiran lain termasuk alamat penuh, daerah, negeri serta pekerjaan.

Selepas menghantar semua butiran yang diberikan, pengendali memberikan butiran perbankan seperti nama bank, nombor akaun dan nama pemilik akaun untuk peserta memasukkan wang pelaburan.

Apabila ditanya berapa cepat pulangan dibayar, pengendali terbabit memberikan jaminan bahawa wang pulangan akan dimasukkan terus ke akaun peserta seperti dijanjikan.

Bagaimanpun, ada beberapa perkara yang meragukan dalam semakan ke atas iklan berkenaan, antaranya pelaburan rendah boleh memungkinkan pulangan yang lumayan, lebih-lebih lagi pelaburan yang menawarkan pulangan dalam tempoh tiga hingga enam jam.

Semakan di beberapa akaun Facebook lain mengenai skim pelaburan mirip 'skim ajaib' itu menunjukkan bahawa pelaburan jenis sedemikian adalah pelaburan berlandaskan perniagaan mata wang asing.

Terdapat juga iklan skim pelaburan menggunakan gambar individu terkenal antaranya pempengaruh, agamawan, tokoh korporat selain individu yang ditonjolkan sebagai islamik.

Namun seperti yang sudah diketahui umum, gambar individu terbabit kebanyakannya digunakan secara salah dan hanya digunakan untuk memanipulasi orang ramai.

Satu iklan yang lain pula menggunakan 'ayat-ayat manis' dengan menjanjikan pelaburan serendah RM100 boleh mendapatkan pulangan antara RM5,000 hingga RM7,000, manakala jika membuat pelaburan RM1,000, boleh mendapatkan pulangan sehingga RM30,000 hanya dalam masa tidak sampai sehari.

Terdapat juga pakej pelaburan ditawarkan untuk orang ramai antaranya pakej biasa atau basic atau silver, pakej gold, pakej platinum dan terdapat juga pakej VIP.

Kebiasaannya, pakej-pakej berkenaan memerlukan saham pemula antara RM100 hingga RM2,500 (pakej VIP atau platinum) yang menjanjikan pulangan antara RM5,000 hingga RM100,000.

Ada juga skim pelaburan yang menawarkan pakej dengan saham pemula yang lebih tinggi iaitu antara RM300 hingga RM10,000 dengan pulangan antara RM10,000 hingga RM400,000.

Bagi mengelakkan orang ramai daripada terus terjebak pelbagai skim pelaburan meragukan yang banyak diklankan di media sosial, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa semua agensi dan pihak berkuasa berkaitan bertindak lebih agresif untuk menanganinya.

Perlu tindakan agresif

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, T Saravanan, berkata pihak berkuasa sedia ada termasuk Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu bertindak lebih agresif untuk menyekat dan menurunkan iklan-iklan skim pelaburan di media sosial serta laman web berkaitan.

"Tetapi kebanyakan laman web berkait skim pelaburan ini berpangkalan di luar negara dan saya difahamkan ini sedikit sebanyak menimbulkan kesukaran kepada SKMM untuk membuat sekatan dengan cepat, ia ambil sedikit masa.

"Selain itu, mungkin timbul kekangan daripada segi kekurangan kakitangan dalam unit penguatkuasaan, justeru kita minta kerajaan melihat semula perkara ini kerana isu penipuan pelaburan dan juga penipuan dalam talian ini dijangka akan bertambah serius pada masa hadapan," katanya.

Tambahnya, pihak penguatkuasa yang besar perlu ada bermula sekarang untuk menangani pelbagai kes penipuan yang bermula di dalam talian ini.

"Buat masa ini, hanya dua agensi yang punya kuasa untuk ambil tindakan daripada segi undang-undang iaitu PDRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Pasukan penguatkuasaan dalam dua jabatan ini contohnya PDRM, iaitu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), perlu diperkasakan daripada segi bidang kuasa, penambahan kakitangan, peralatan, teknologi dan kemahiran serta peruntukan kewangan," katanya.

Selain itu, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) perlu membuat pemantauan lebih ketat di media sosial berkaitan iklan tawaran pelaburan sedemikian.

"Tetapi kita tidak pasti sejauh mana berkesannya kerana kita tahu bahawa platform media sosial ini amat meluas, mencakupi seluruh dunia dan apa yang paling penting, mereka memerlukan maklumat daripada orang awam," katanya.

"Orang awam perlu mainkan peranan untuk sampaikan maklumat atau aduan kepada MCMC, BNM, SC, polis dan agensi yang berkaitan kerana tanpa data, mereka tidak boleh mengambil tindakan," katanya.

Mengenai penggunaan pempengaruh, Saravanan berkata, hampir semua platform terbabit kebanyakannya akan menggunakan pempengaruh sebagai taktik pemasaran.

"Biasanya, mereka mendapat habuan tertentu, dan masalahnya pempengaruh ini mungkin tidak tahu bahawa skim pelaburan itu sah atau tidak, dan mungkin ada antara mereka yang tidak mahu ambil tahu dan buat tidak tahu, asalkan 'poket mereka tebal'.

"Mereka mungkin tidak endahkan implikasinya kepada orang ramai, dan ada juga pempengaruh bekerjasama dengan ah long dan sindiket penipuan. Ini adalah antara perkara yang perlu diadukan kepada pihak berkuasa," katanya.


Tamak, tak peka isu semasa punca terjebak

Tamak mencari keuntungan besar dan jahil mengenai isu semasa antara punca ramai rakyat negara ini terjebak dengan penipuan skim pelaburan.

Walaupun sudah acap kali didedahkan mengenai risiko mengenai skim-skim pelaburan yang tidak sah, namun masih ramai yang tidak ambil peduli dan semakin ramai yang menjadi mangsa penipuan.

Buktinya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 1,671 kes penipuan berkaitan pelaburan direkodkan pada 2020 membabitkan kerugian RM182.27 juta, dan pada 2021, angka kes meningkat kepada 3,195 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM245.05 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata sepanjang tahun lalu pula, sebanyak 3,266 kes direkodkan dengan kerugian berjumlah RM219.83 juta.

"Bagi tempoh Januari hingga September lalu, statistik kita menunjukkan sebanyak 3,749 kes sudah pun direkodkan setakat ini dengan jumlah kerugian mencecah RM277.31 juta.

"Kita lihat trend kes semakin meningkat saban tahun dan apa yang kita dapat lihat, pelbagai skim pelaburan meragukan kini semakin berleluasa, seperti cendawan tumbuh selepas hujan," katanya kepada BH.

Ramli berkata, antara skim pelaburan yang sering dipergunakan ialah pelaburan mata wang asing (forex), emas, projek, hartanah, saham, pertanian, ternakan dan perniagaan.

Selain percambahan pelbagai skim pelaburan yang tidak sah ini, katanya apa yang lebih mengecewakan apabila terlampau ramai yang terpengaruh dan percaya untuk menyertai skim-skim yang kebanyakannya diiklankan di media sosial itu.

"Perkara ini didorong beberapa sebab iaitu satu, keterujaan untuk mendapatkan pendapatan yang lebih atau dalam bahasa mudahnya, didorong rasa tamak.

"Kedua, sikap 'ignorance' (kejahilan), sikap tidak ambil peduli tentang perkara yang berlaku di sekeliling mereka, tentang isu semasa, menjadikan mereka mudah terpengaruh," katanya.

Tambah mengecewakan, katanya apabila sudah banyak kali nasihat dan peringatan diberikan oleh PDRM atau agensi berkaitan, malah mungkin daripada individu yang hampir, namun tidak diendahkan dan masih ramai menjadi mangsa.

"Nasihat saya janganlah mudah mempercayai dan satu perkara yang sudah berulang-ulang kali kita ingatkan ialah jika tawaran itu kedengaran 'terlalu bagus', kebanyakan tidak betul.

"Macam mana satu pelaburan yang bermula dengan RM600, boleh berakhir dengan RM6,000 dalam masa yang singkat, tidak sampai seminggu? Itu memang mustahil, tapi itu pun ada juga orang yang percaya.

"Maka kita nasihatkan masyarakat supaya jangan mengambil mudah. Tiada jalan ringkas atau jalan singkat untuk membuat duit. Sekiranya teruja sangat hendak membuat keuntungan, sertailah skim pelaburan yang dibenarkan Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Tambah beliau, banyak jalan lain yang lebih selamat dan terjamin untuk orang ramai melaburkan wang masing-masing terutama skim pelaburan yang ditawarkan institusi kewangan yang sudah mantap.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.