Isnin, Ogos 21, 2023

UiTM catat rekod sejuta skrol


 

Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan Penganugerahan Satu Juta Skrol, di Istiadat Konvokesyen Ke-97 pada 20 Ogos 2023.

Penerima skrol ke sejuta itu adalah graduan dari Fakulti Sains Gunaan, Nur Liyana Athirah Izani.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata UiTM berbangga meraikan penganugerahan skrol yang ke sejuta pada sidang ke-22.

"Ini menjadikan jumlah skrol yang dikeluarkan oleh UiTM sehingga berakhirnya istiadat konvokesyen kali ini adalah sebanyak 1,003,241 skrol.

"Suatu angka yang boleh dibanggakan kerana ia mencerminkan, bahawa UiTM sudah menggerakkan misinya dengan tepat untuk menjuarai pembangunan Bumiputera profesional menerusi kurikulum terkehadapan dan penyelidikan berimpak," katanya.

Beliau berkata, pada sidang kali ini, semua graduan menerima baucar pembelian daripada penaja, manakala penerima skrol ke 999,999; 1,000,000; 1,000,001 dan 1,000,002 akan menerima hadiah istimewa.

Katanya, beliau turut terharu dan berbesar hati kerana berpeluang meraikan penganugerahan skrol yang ke sejuta pada istiadat konvokesyen kali ini.

"Majlis konvokesyen yang pertama Dewan Latehan RIDA diadakan pada tahun 1964 dengan 50 graduan yang dianugerahkan sijil atau skrol oleh Tun Abdul Razak ketika itu, tradisi penganugerahan diteruskan sehingga saat ini.

"Sehubungan dengan itu, majlis ini adalah simbolik bahawa ITM dan UiTM berjaya menyempurnakan misi penubuhannya dengan tepat untuk menjuarai pembangunan Bumiputera profesional menerusi kurikulum terkehadapan dan penyelidikan berimpak.

"Ia boleh dianggap sebagai hadiah sempena menyambut hari ulang tahun UiTM yang ke-24 pada 26 Ogos ini. Semoga pencapaian ini menjadi pembakar semangat kepada semua warga UiTM untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti yang dikenali dunia," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts