Selasa, Jun 13, 2023

USIM keluar nombor plat khas


 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan penjualan nombor pendaftaran khas UN 1 hingga UN 9999.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani, berkata pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memberi kelulusan bagi penggunaan nombor pendaftaran khas kenderaan yang bermula dengan abjad UN dan diikuti rangkaian nombor pilihan secara eksklusif.

Katanya, semua warga USIM, alumni dan orang awam boleh mendapatkan nombor pendaftaran khas bagi siri USIM ini menerusi sistem bidaan yang ditetapkan bermula esok hingga 25 Jun ini.

"Harga bidaan yang ditetapkan adalah bermula serendah RM1,500 hingga RM800,000 bergantung kepada nombor-nombor tertentu dan nilai yang ditetapkan di dalam sistem bidaan berkenaan.

"Usaha ini dibuat bagi tujuan menjana pendapatan USIM sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada geran kerajaan.

"Hasil yang terkumpul daripada sumbangan dan kutipan nombor pendaftaran khas ini akan dapat dimanfaatkan untuk membantu pelajar menerusi pemberian biasiswa dan mobiliti pelajar, menambah baik kualiti penyelidikan dan pembangunan universiti," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran nombor pendaftaran khas itu disempurnakan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof, di Bangunan Canselori USIM.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Timbalan Ketua Polis Nilai, Deputy Superintendan Mat Ghani Lateh dan Ketua Pegawai Eksekutif USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd, Ahmad Shukri Zulkifli.

Dr Sharifudin berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM4 juta menerusi penjualan nombor pendaftaran khas berkenaan.

Sumer : Berita Harian




0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.