Selasa, Jun 06, 2023

Satelit PG1 buatan Malaysia bakal dilancar 27 Jun


 

ANGKASA-X, syarikat rangkuman teknologi sosial terkemuka dengan misi untuk memenuhi aspirasi unicorn negara mewujudkan ekonomi angkasa lepas ASEAN mengumumkan pelancaran satelit A-SEANSAT-PG1 (PG1) pada 27 Jun ini.

Dengan pelancaran satelit PG1, ANGKASA-X akan memanfaatkan pengetahuan teknologinya untuk memimpin ke arah pembentukan gugusan satelit 'Low-Earth-Orbit' (LEO) yang akan direka cipta dan dipasang di Malaysia dalam tahun akan datang.

Gugusan satelit ini akan bekerjasama untuk menawarkan perkhidmatan 'Satellite-as-a-Service' (SaaS) yang inovatif kepada negara-negara di ASEAN.

Pengumuman itu telah dibuat oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ANGKASA-X, Dr Sean Seah, di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23) semasa pameran khas satelit PG1.

Pameran itu diadakan dengan kerjasama Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), sebuah badan pemikir industri kerajaan di bawah naungan Pejabat Perdana Menteri untuk melaksanakan usahasama yang dipacu oleh pasaran.

Mengumumkan perkara itu, Seah berkata pelancaran satelit PG1 adalah satu langkah besar bagi impian ANGKASA-X sejak penubuhan syarikat itu pada 2021 untuk melancarkan satelit yang direka cipta di Malaysia ke angkasa lepas.

"Melalui pelancaran PG1 dan satelit seterusnya, kami berhasrat untuk mewujudkan ekonomi angkasa lepas yang teguh, terutamanya dalam ASEAN untuk mewujudkan dunia di mana kesalinghubungan data dan maklumat penting akan lebih mudah diakses dan mampu dimiliki oleh masyarakat, kerajaan dan syarikat swasta," katanya.

Sementara itu, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Yusoff Sulaiman berkata, sebagai sebuah badan kerajaan yang menyelia pembangunan dan pengurusan sektor angkasa negara secara strategik, tersusun dan menyeluruh, MIGHT berbesar hati dapat bekerjasama dengan ANGKASA- X dalam usaha ini.

"Ia satu usaha yang bercita-cita tinggi, tetapi kami pasti, melalui pengetahuan teknikal mereka yang luas, digandingkan dengan usaha bersepadu daripada pelbagai pihak pemegang taruh, kami yakin boleh mencapai bintang untuk memajukan agenda angkasa lepas Malaysia," katanya.

Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), pelancaran satelit PG1 juga adalah batu loncatan ke arah pembangunan negara dan peningkatan sumber tenaga berkemahiran untuk masa depan di Malaysia, di samping mempercepatkan evolusi teknologi melalui penerimaan dan pemacuan untuk penyelidikan dan pembangunan masa depan.

Ia termaktub dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara ANGKASA-X dan Sirius yang berhasrat bekerjasama menyediakan kemudahan pelancar roket untuk satelit serta kemudahan stesen bumi.

Usaha ini akan meningkatkan lagi keperluan untuk lebih ramai jurutera Malaysia yang berkemahiran tinggi, menyumbang kepada permintaan lebih tinggi untuk pendidikan dan pekerjaan, mengurangkan penghijrahan individu berkemahiran tinggi ke luar negara, sambil menarik pelaburan asing dan domestik, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara

Satelit PG1 dijadual akan dilancarkan pada 27 Jun ini jam 7.30 petang waktu Malaysia dari Kosmodrom Vostochny di Russia.

Pelancaran akan disiarkan secara langsung di tiga lokasi di Malaysia, termasuk Pejabat Agensi Angkasa Malaysia di Kuala Lumpur, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts