Ahad, Jun 04, 2023

KPT mula perkenal sistem pembelajaran hibrid, jadual anjal sesi 2023/2024

 


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal, di mana pelajar diwajibkan hanya menghadiri kuliah di kampus pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata untuk tahun di pertengahannya pula, mereka akan diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 95 program pengajian Ijazah Sarjana Muda di 19 daripada keseluruhan 20 universiti awam (UA) di seluruh negara bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula Sesi Akademik 2023/2024

"Melalui inisiatif ini bermakna pelajar universiti boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja, sekali gus mereka dapat menyusun aktiviti dengan lebih fleksibel.

"Ia akan memberi beberapa kelebihan seperti dapat mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan, membuka ruang untuk bekerja sambilan atau melakukan perkara yang memerlukan mereka tidak berada di kampus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Jom Masuk U 2023 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya (UM).

Mengulas lanjut, Khaled berkata, KPT juga akan memendekkan tempoh pengajian sesetengah program Ijazah Sarjana Muda daripada empat tahun kepada hanya tiga tahun.

Katanya, pihaknya sentiasa mengemas kini program dan jurusan yang ditawarkan oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

"Oleh itu, kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara terbaik dan menguntungkan semua pihak.

"Atas dasar berkenaan, sebanyak 44 program pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada sembilan IPT sudah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.

"Sekali lagi, dengan pemendekan tempoh pembelajaran ini akan boleh mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung.

"Pada masa yang sama, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal," katanya.

Selain itu, berdasarkan maklumat dan pemerhatian KPT, Mohamed Khaled berkata, terdapat pelajar daripada keluarga B40 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), namun tidak berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akibat kekangan kewangan dan peluang.

Katanya, perkara itu adalah sesuatu yang sangat dikesali dan KPT nekad memastikan tragedi seperti itu tidak berulang lagi.

"Justeru, ingin saya umumkan adalah berkenaan dengan inisiatif KPT dalam memastikan wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya memasuki IPT menerima bantuan dan sokongan yang selayaknya.

"Inisiatif khas ini dikenali sebagai Program Pembangunan Siswa Sulung atau SULUNG dan telah dimulakan pada tahun lalu.

"Program SULUNG ini mensasarkan wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya diterima masuk ke universiti. Mereka yang dikenal pasti ini akan dikecualikan sepenuhnya bayaran yuran pengajian.

"Bagi tahun ini, seramai 10,000 mahasiswa yang merupakan wakil pertama dari keluarga B40 akan dikecualikan sepenuhnya yuran pengajian di semua 20 UA," katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu akan memberi implikasi kewangan keseluruhan sebanyak kira-kira RM30 juta kepada semua UA.

"Semoga dengan inisiatif ini, wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya memasuki IPT akan dapat mengikuti pengajian tinggi dengan selesa, tenang dan berprestasi tinggi," katanya.

Selain itu, beliau berkata, KPT buat pertama kalinya akan memperkenalkan Program Asasi Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pada tahun ini.

Katanya, ia membolehkan pemohon program TVET yang berjaya, akan ditempatkan di satu daripada lima Pusat Asasi TVET terpilih yang akan dibuka di seluruh negara.

Pusat Asasi TVET tersebut adalah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) yang akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN) yang akan bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Politeknik Merlimau Melaka (PMM) yang akan bekerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) yang akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Politeknik Ungku Omar (PUO) yang akan menjadi pusat asasi TVET bersama kepada empat universiti teknikal.

"Ini bukan sahaja satu pengiktirafan khusus kepada program TVET, malah ia adalah satu laluan yang sistematik dan jelas bagi peringkat ijazah," katanya.

Selain membuka Pusat Asasi khas untuk jurusan TVET, beliau berkata, KPT bersama-sama dengan Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti sedang memuktamadkan proses bagi membolehkan pengambilan pemegang sijil kemahiran dari semua jenis institusi kemahiran untuk menyertai Politeknik.

Katanya, ia bukan sahaja memudahkan laluan kemasukan, malah para pemegang sijil kemahiran di seluruh negara yang menyertai politeknik akan berpeluang menikmati pemindahan kredit atau melompat terus ke tahun kedua pengajian.

"Inisiatif ini adalah pelebaran dasar sedia ada yang sudah membenarkan lepasan politeknik untuk menikmati pemindahan kredit dan melompat terus ke tahun kedua apabila menyambung pelajaran di peringkat ijazah di universiti-universiti teknikal.

"Ini bermakna, ekosistem kita semakin memihak kepada pelajar TVET dan pemegang sijil.

"Sebagai pemegang sijil, mereka berpeluang melompat terus ke tahun kedua apabila memasuki Politeknik dan apabila tamat politeknik, mereka boleh pula melompat terus ke tahun kedua di universiti teknikal," katanya.

Justeru beliau berharap dasar dan sistem itu akan menjadi insentif dan motivasi yang menarik kepada anak muda khususnya ramai pemegang sijil untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi dalam bidang TVET.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.