Rabu, April 12, 2023

Keluarga dibenar lawat penghuni penjara hari raya ketiga, keempat

 


Keluarga semua penghuni penjara dibenarkan membuat lawatan perjumpaan sempena sambutan Aidilfitri pada hari raya ketiga dan keempat.

Semua lawatan berkenaan melibatkan Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini, memaklumkan keutamaan lawatan diberi kepada penghuni beragama Islam.

Selain kaedah bersemuka, perjumpaan secara dalam talian (panggilan video) juga dibenarkan, iaitu pada 26 hingga 28 April ini.

Menurut kenyataan itu, keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat-syarat, antaranya waktu lawatan bermula jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang.

"Selain itu, membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan.

"Pelawat juga tertakluk kepada akta dan peraturan penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara," menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara memaklumkan, lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu melalui tempahan Sistem i-Visit di www.prison.gov.my, panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

"Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dan mereka perlu menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut," menurut kenyataan itu. 

Sumber : BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.