Rabu, April 19, 2023

Fasa Peralihan Monsun dijangka berakhir Mei 2023


 

Malaysia berada dalam fasa Peralihan Monsun yang dijangka akan berakhir pada pertengahan Mei ini.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang meningkatkan potensi kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam jangka pendek.

"Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

"Kualiti udara yang teruk di suatu kawasan boleh menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen kualiti udara berdekatan juga turut tercemar.

"Cuaca panas dan kering menyebabkan keadaan persekitaran kelihatan berjerebu terutamanya selepas waktu puncak selain pencemaran udara akibat bahan cemar aktiviti di bandar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga memantau trend bacaan IPU di seluruh negara dari semasa ke semasa dan menjalankan rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka secara harian.

Sementara itu, Wan Abdul Latif berkata, bacaan IPU yang direkodkan di Johan Setia, Selangor semalam, menunjukkan penurunan daripada bacaan tahap sederhana kepada tidak sihat.

"Pada jam 5 pagi tadi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 121 sebelum meningkat kepada 150, lima jam kemudian.

"Bacaan IPU di Kota Bharu, Kelantan kembali mencatatkan 104 bacaan IPU tidak sihat pada jam 7 pagi dan meningkat kepada 150 pada jam 10 pagi tadi.

"Manakala Kimanis dan Keningau, Sabah merekodkan bacaan IPU tahap baik pagi ini iaitu 44 dan 50," katanya.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Beliau juga berkata, sebanyak 64 lokasi lain mencatatkan bacaan sederhana, Segamat, Johor dan Tanah Merah, Kelantan masing-masing mencatatkan bacaan (98); Nilai, Negeri Sembilan (97) dan Mukah, Sarawak (91).

"Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada semalam, bilangan titik panas (hotspot) yang dikesan melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA20) terdapat dua titik panas di Sarawak dan akan disiasat mengikut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Laporan itu juga menunjukkan terdapat satu titik panas atau 'hotspot' di Sumatera, Indonesia manakala enam titik panas lagi di Kalimantan, Indonesia," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.