Sabtu, Mac 11, 2023

Menu Rahmah: Peniaga daftar melalui portal KPDN

 


Seramai 1,191 peniaga sudah mendaftar melalui portal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) : www.kpdn.gov.my untuk melaksanakan inisiatif Menu Rahmah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata ia menunjukkan sambutan baik peniaga terhadap program itu yang dilancarkan pada 31 Januari lalu.

"Dalam portal Menu Rahmah itu, kita dapat melihat 'live data' yang meningkat setiap hari. Ia tidak termasuk 215 kawasan rehat dan rawat (R&R) yang mendaftar sendiri.

"Kita menggalakkan peniaga untuk mendaftar melalui portal KPDN supaya mereka dapat menggunakan logo Menu Rahmah kementerian, sekali gus kita juga akan membantu dari segi promosi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Fiesta 'Food Truck' Menu Rahmah sempena Program Jualan Rahmah, di sini, semalam.

Fuziah bagaimanapun menjelaskan, KPDN tiada meletakkan sasaran kerana inisiatif itu dilakukan tanpa sebarang insentif atau subsidi diberikan kepada peniaga, sebaliknya pembabitan adalah secara sukarela dengan konsep berkongsi rezeki.

"Namun, saya yakin ramai lagi mahu terbabit kerana banyak kelebihan yang dapat diperoleh," katanya.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, 50 peniaga kendera saji menyertai Fiesta 'Food Truck' Menu Rahmah, manakala RM11,500 diperuntukkan sebagai insentif membabitkan RM30 kepada peniaga dan RM50 kepada pengguna, melalui eWallet.

"Tawaran ini adalah antara inisiatif pendigitalan sektor peruncitan di mana kita hendak menggalakkan peruncit, peniaga serta pengguna melaksanakan transaksi tanpa wang tunai," katanya.

Sementara itu, Fuziah berkata, KPDN turut menggalakkan lebih ramai penganjur atau peniaga supaya menggunakan konsep Bazar Ramadan Rahmah menjelang bulan puasa nanti.

Selain menjual Menu Rahmah, katanya, bazar itu dilihat akan turut memberi nilai tambah kepada peniaga serta golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa khas dibentuk untuk melihat pelbagai aspek berkait Bazar Ramadan Rahmah, antaranya berkenaan yuran lebih rendah, tawaran Menu Rahmah serta kerjasama strategik untuk menguruskan makanan tidak terjual.

"Kita akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat bagi menguruskan makanan yang tidak habis dijual di Bazar Ramadan, supaya dapat diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.