Jumaat, Mac 17, 2023

3 perkara utama ditumpu ke arah negara pendapatan tinggi

 


Kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama tahun ini bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2026.

Ini termasuklah pengukuhan fiskal dengan menumpukan kepada peningkatan hasil dan rasionalisasi perbelanjaan termasuk subsidi yang lebih bersasar, kata Kementerian Ekonomi.

Ia berkata kerajaan juga akan mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu termasuk industri berteknologi tinggi dan mengutamakan pendigitalan seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa, pertanian pintar dan biojisim serta mereformasi struktur ekonomi ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi.

Katanya tumpuan kepada tiga perkara utama itu adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang turut memberi penekanan kepada mengembangkan ekonomi berasaskan sektor perkhidmatan, memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menggalakkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

"Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita pada harga semasa meningkat daripada RM42,823 pada tahun 2020 kepada RM52,819 pada tahun 2022," kata Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kementerian Ekonomi berkata demikian bagi menjawab soalan Prabakaran M Parameswaran (PH-Batu) yang meminta kerajaan menyatakan cara paling tuntas bagi menaikkan pendapatan negara untuk mengimbangi kos sara hidup yang tinggi.

Menurut kementerian itu, sektor swasta digalak memainkan peranan penting sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara dan pemacu produktiviti di peringkat sektor dan perusahaan.

"Platform Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan diaktifkan semula bagi mempercepat dan memudahkan urusan perniagaan dan industri serta menjalin hubungan strategik yang kukuh di antara pihak kerajaan dan swasta," kata kementerian itu lagi.

Kementerian Ekonomi berkata model ekonomi negara perlu disesuaikan dengan keadaan semasa dan penekanan perlu diberikan untuk mereformasikan struktur ekonomi ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi bagi mengukuhkan pertumbuhan dalam semua sektor.

"Sumber ekonomi akan ditumpukan untuk membina keupayaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang berupaya menyokong perluasan dan pengoptimuman teknologi 4IR, iaitu kecerdasan buatan (AI), internet pelbagai benda (IoT), blockchain, pengkomputeran awan dan analitis data raya serta bahan dan teknologi termaju.

"Kerajaan juga akan memberi penekanan kepada sumber pertumbuhan yang berpotensi seperti sektor berkaitan pelancongan serta yang berasaskan pertanian dan komoditi.

"Industri yang berasaskan komoditi, terutamanya dalam sektor pembuatan akan meningkatkan nilai tambah dalam rantaian bekalan di samping mengukuhkan daya tahan negara," kata kementerian itu bagi menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) berhubung reformasi struktur dan transformasi ekonomi yang diperlukan untuk Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Kementerian Ekonomi berkata semakan semula sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi akan turut dilaksanakan.

"Malaysia masih mempunyai jurang sebanyak 9.1 peratus untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.

"Nilai ambang PNK perkapita minimum yang ditetapkan oleh Bank Dunia adalah sebanyak AS$13,206 pada tahun 2021, dan semakan awal menunjukkan Malaysia dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi di antara tahun 2025 hingga 2026. 

Sumber : BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts