Cuti kerana sakit gigi antara tertinggi

 


Ramai beranggapan kesihatan gigi yang baik bermaksud memiliki gigi putih dengan senyuman cantik, tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu.

Mengamalkan penjagaan gigi yang baik seharusnya bermula sejak bayi sehingga dewasa dan sebenarnya satu amalan ringkas dan mudah.

Ramai tidak dapat melihat kepentingannya dan bagaimana penjagaan kesihatan mulut yang tidak rapi boleh memberi kesan yang meluas dalam kehidupan.

Apatah lagi, apabila gigi berlubang dikatakan tidak berbahaya kepada kanak-kanak sedangkan kajian mendapati kanak-kanak yang giginya berlubang pada seawal usia tiga tahun berkemungkinan mendapatnya tiga kali ganda apabila dewasa.

Kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kanak-kanak Prasekolah (NOHPS) melaporkan terdapat 71.3 peratus kanak-kanak berusia lima tahun sudah mempunyai gigi berlubang.

Apakah yang ibu bapa boleh lakukan untuk mencegahnya?

Pensyarah Kanan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), yang juga Pakar Pergigian Kanak-kanak, Dr S Yogeswari berkongsi panduan penjagaan gigi.

1. Mulakan daripada awal (sejak lahir!)

Gusi bayi masih perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Rutin ini membantu menetapkan asas kepada amalan penjagaan harian dan kesihatan mulut kanak-kanak itu seumur hidupnya.

Ibu bapa hendak mendapatkan nasihat pengamal penjagaan kesihatan mengenai cara menjaga kesihatan mulut sejurus kelahiran bayi, termasuk apa yang perlu dilakukan apabila gigi pertama anak tumbuh.

2. Katakan 'tidak' kepada tambahan garam dan gula

Apabila kanak-kanak membesar dan gigi mereka tumbuh, satu kebiasaan diperkenalkan makanan baharu mengikut perkembangan diet dan keperluan nutrisi mereka yang berubah-ubah.

Jadi, penting untuk memperkenalkan makanan baharu secara beransur-ansur dan berhati-hati.

Dr Yogeswari menasihati ibu bapa untuk menunda pemberian garam dan gula dalam diet anak. Suka kepada makanan manis boleh membawa kepada risiko tinggi masalah pergigian, selain keadaan kesihatan kronik seperti obesiti dan kencing manis.

3. Jadikan temu janji pergigian menyeronokkan dan berkala

Ibu bapa perlu mengenepikan ketakutan peribadi dan membantu anak mereka mendapat pengalaman positif semasa temu janji pergigian.

Pemeriksaan gigi yang pertama perlu dibuat ketika kanak-kanak berusia satu tahun. Selepas itu, disarankan pemeriksaan sekali setiap enam bulan.

Agak mustahil kanak-kanak semuda itu mendapat masalah pergigian, tetapi rutin ini akan membantu mereka menikmati pengalaman positif dan tidak mengaitkan temu janji doktor gigi dengan kesakitan dan ketakutan.

Temujanji berkala dapat membantu membiasakan mereka dengan doktor gigi dan pencegahan jangka panjang.

4. Peka kepada perubahan sikap

Ada masanya kanak-kanak tidak mahu makan sesetengah makanan atau enggan menggosok gigi.

Walaupun sikap begitu dapat dijelaskan dengan mudah sebagai kanak-kanak yang memilih dan cerewet, tetapi ada kemungkinan juga ada sebab lain.

Kanak-kanak gigi berlubang atau sakit gusi mungkin mengalami ketidakselesaan atau kesakitan kronik yang menyebabkan mereka tidak mahu makan kerana perlu mengunyah.

Dengan tanpa sengaja mereka akan mengelak makan makanan seperti buah epal atau ayam, sebaliknya, mereka memilih makanan lembut, yang kebanyakannya adalah makanan diproses tinggi kandungan garam, gula dan berlemak.

Untuk jangka masa panjang akan menyebabkan kekurangan gizi pemakanan atau keadaan kronik hingga jejaskan kesihatan.

Justeru, lebih peka dan memantau jika anak mempunyai masalah gigi, sekiranya anak mereka tiba-tiba tidak mahu mengunyah atau meragam tanpa sebarang sebab munasabah.

5. Berlainan usia, keperluan kesihatan mulut berbeza

Ibu bapa boleh membantu menyokong kesihatan mulut anak berdasarkan tahap tumbesaran mereka. Perhatikan sebarang petanda jelas seperti gusi berdarah, ulser atau perubahan warna gigi.

Salah faham gigi susu tidak penting kerana ia akan luruh satu hari nanti. Jadi tabiat menjaga kesihatan mulut dan gigi bermula daripada kanak-kanak.

Berikut nasihat Dr Yogeswari mengenai kesihatan mulut pada peringkat umur berbeza:

1. Selepas lahir, sebelum gigi bayi tumbuh

Gunakan kain bersih dan lembap yang dililitkan pada hujung jari untuk mengelap lembut gusi bayi pada waktu pagi dan malam.

2. Selepas tumbuh gigi pertama

Gunakan berus gigi mesra bayi bersama ubat gigi berflorida untuk memberus gigi dan gusi anak dengan perlahan. Lakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari sebagai satu rutin.

3. Memasuki umur prasekolah

Pada usia ini, kanak-kanak sudah pandai memegang berus gigi sendiri, tetapi memerlukan bimbingan ibu bapa supaya mereka boleh memberus gigi dengan betul dan bersih.

Pada masa ini, kanak-kanak sepatutnya sudah pandai memberus gigi sendiri dengan pemantauan ibu bapa.

Kita tidak boleh mengasingkan penjagaan mulut dari seluruh badan. Kesihatan mulut dan kesihatan umum adalah saling terkait.

Celik kesihatan secara keseluruhan, pemakanan yang sihat dan kebersihan diri yang baik, termasuklah tabiat penjagaan mulut yang baik. Kesemua itu menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan diri yang menyeluruh.

Oleh itu, penting menyemai tabiat penjagaan mulut yang baik dari kecil (bayi). Jadikan amalan pencegahan dan penjagaan mulut harian yang baik sebagai sebahagian daripada kehidupan sehari-hari.

Ini akan menjadikan penjagaan mulut itu satu kebiasaan dan membolehkan ibu bapa beransur-ansur melepaskan tanggungjawab kepada anak mereka untuk meneruskan tabiat yang sihat ini sehingga dewasa dan sepanjang hayat mereka.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.