Digi.com cadang tukar nama kepada CelcomDigi

 



Digi.com Bhd hari ini mengumumkan cadangan menukarkan namanya kepada CelcomDigi Bhd susulan kejayaan penggabungan dengan Celcom Axiata Bhd.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, cadangan penukaran nama adalah selaras dengan obligasi syarikat di bawah perjanjian pembelian saham bertarikh 21 Jun 2021, dengan Axiata Group Bhd berkaitan penggabungan dengan Celcom Axiata.

"Lembaga percaya cadangan penukaran nama itu akan memberikan syarikat identiti korporat baharu yang mencerminkan dengan lebih baik lagi syarikat sebagai entiti bergabung selepas penyelesaian penggabungan dengan Celcom pada 30 Nov, 2022.

"Cadangan nama 'CelcomDigi Bhd' diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tempahan bagi kegunaan cadangan nama itu dilanjutkan sehingga ke 14 Mac 2023," katanya.

Syarikat itu berkata, cadangan penukaran nama tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

"Sekiranya diluluskan, nama baharu itu akan mula digunakan daripada tarikh pengeluaran notis pendaftaran nama baharu terbabit oleh SSM kepada syarikat," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.