Isnin, November 07, 2022

Tujuh calon jelitawan PRU15


 

Kehadiran beberapa muka baharu calon wanita bagi merebut kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mencuri perhatian masyarakat dan warganet.

Mereka bukan saja muda dan menawan, tetapi turut memiliki taraf pendidikan tinggi hingga digelar 'beauty with brain'. Malah, penampilan mereka dalam kalangan calon berpengalaman lain di kerusi yang ditandingi dilihat mampu memberikan cabaran.

Ramai menyifatkan mereka memiliki pakej lengkap, bukan saja untuk menjadi wakil rakyat, tapi juga diharap menggarap idea orang muda untuk membawa Malaysia ke arah negara yang lebih maju, berwawasan dan terbaik dari segala segi.

Calon wanita yang mencuri tumpuan seusai penamaan calon semalam, antaranya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau Cleo yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu).

Selain itu, Dr Nurul Ashikin Mabahwi mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Ampang; calon Perikatan Nasional (PN), Nurul Fadzilah Kamaluddin (Setiawangsa) dan calon Pakatan Harapan (PH), Young Syefura Othman daripada DAP (Bentong).

Turut menarik tumpuan, calon MCA mewakili Barisan Nasional (BN), Felicia Wong (Seremban), Fathin Amelina Fazlie mewakili PH (Arau) dan calon Parti Warisan Malaysia (Warisan), Jo-anna Sue Henley Rampas (Tuaran).

Namun, ada juga cakap-cakap nakal berpandangan kononnya mereka hanya bersandarkan penampilan dan rupa paras cantik untuk dikenali pengundi.

Bagi Nur Fathiah Syazwana, 28, tanggapan negatif sedemikian adalah stigma biasa yang sering diulang-ulang.

"Ini stigma umum, namun saya berpendapat, tidak semestinya wajah boleh menambah nilai dalam apa jua sekali pun. Apa yang penting adalah kebijaksanaan, akhlak dan juga prinsip yang dibawa," katanya.

Pengarah Syarikat Raffles Force (Malaysia) Sdn Bhd itu menegaskan, apa yang paling penting selain kecantikan, adalah misi dan visi yang dibawa dalam usaha menawan pengundi muda.

"Ramai ingin tahu dan mungkin tak tahu saya berulang-alik ke Parlimen Batu setiap hari kerana saya ada pejabat di sini. Sudah tentu saya perasan dan ada idea yang hebat apa yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki keadaan di sini.

"Saya ingin melihat Parlimen Batu jadi bandar contoh dilengkapi kecerdasan buatan atau 'artificial intelligence' (AI) terbaik dan moden. Saya akan memastikannya dan bekerja keras untuk memperbaiki keadaan hidup dan menjadikan Parlimen Batu sebagai Kuala Lumpur mini.

"Perancangan segera saya adalah untuk tangani isu komuniti, peniaga tempatan, meningkatkan kesalinghubungan bas pengantara ke kawasan terpencil, isu tempat letak kereta dan kesesakan di sekitar rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta banyak lagi," katanya.

Jika diberikan mandat oleh pengundi Parlimen Batu, tumpuan beliau seterusnya adalah untuk meningkatkan ekonomi, memberi sokongan pendidikan kepada generasi muda serta penjagaan sewajarnya untuk warga emas.

"Sejujurnya, saya tidak mempunyai ketakutan atau perasaan gementar. Fokus saya jelas, visi saya pandang ke depan. Jadi, tidak ada keraguan dalam hati saya untuk mempunyai rasa takut. Saya berhasrat untuk berjaya dengan izin Allah SWT," katanya.

Bagi Dr Nurul Ashikin, 33, lulusan Shibaura Institute of Technology di Jepun, setiap calon mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

"Jika ada kata rupa paras menjadi modal nilai tambah dalam menarik undi, apa boleh dicakap adalah syukur, Alhamdulillah. Tapi bagi saya, setiap calon mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

"Oleh itu, pengundi harus bijak menilai setiap calon bertanding, tidak kira dari segi pendidikan, latar belakang mahupun daya tarikan fizikal," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.