Selasa, November 08, 2022

Cleopatra cari ejen tempat mengundi

 


Calon Bebas kerusi Parlimen Batu, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra, sedang mencari ejen tempat mengundi dan ejen kiraan undi (PACA) serta sukarelawan untuk berkhidmat dengan beliau.

Perkhidmatan bagi dua jawatan itu adalah untuk sepanjang tempoh berkempen yang sedang berlangsung dan hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Poster bagi mencari calon bagi jawatan itu memaklumkan, gaji yang akan ditawarkan adalah RM100 sehari sepanjang hari berkempen dari 5 hingga 18 November dan RM150 pada hari pengundian.

Selain itu, kemeja T dan makanan turut disediakan secara percuma.

Dengan menggunakan slogan #RESETBATU, Cleopatra yang bertanding atas tiket Bebas, akan berdepan saingan 10 penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Batu.

Pempengaruh media sosial dan ahli perniagaan itu menggunakan simbol pokok dalam pertandingan di kerusi panas berkenaan.

Selain penyandang kerusi, P Prabakaran yang mewakili Pakatan Harapan (PH), calon lain ialah daripada Barisan Nasional (BN), Datuk A Kohilan Pillay, Azhar Yahya (Perikatan Nasional (PN), P Naganathan (Parti Warisan) dan peguam Wan Azliana Wan Adnan (Parti Pejuang Tanah Air).

Beberapa calon yang turut mencuba nasib atas platform Bebas, termasuk bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang pernah menjadi Ahli Parlimen Batu selama dua penggal, peguam Siti Kasim, Too Cheng Huat dan Zulkifli Abd Fatah.

Sumber : Berita Harian



0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.