Sabtu, Oktober 01, 2022

Selangor FC bakal miliki stadium baharu lebih canggih

 


Teka-teki sama ada Stadium Shah Alam akan kekal atau tidak akhirnya terjawab apabila venue keramat skuad Selangor itu akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek baharu yang kemungkinan bermula tahun depan.

ini bermakna, Selangor FC akan memiliki 'rumah' baru dengan kapasiti kira-kira 35,000 penonton menerusi projek pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Pengarah Urusan MRCB Mohd Imran Mohamad Salim berkata, perancangan projek berkenaan di kawasan berkeluasan 80 hektar itu juga menyaksikan pelbagai kemudahan dibina sekitar stadium merangkumi masjid, pusat komersil, taman permainan, tempat letak kereta dan padang latihan.

Malah, beliau berkata, sekitar stadium turut mempunyai kawasan hijau dan trek beriadah sekali gus menjadikan venue terbabit 'mesra' orang ramai untuk melakukan aktiviti sihat pada masa akan datang.

"Seperti kita ketahui, stadium berkenaan dibina puluhan tahun dahulu untuk tujuan tertentu dan sekarang ini venue berkenaan dibina semula dengan memastikan dapat menangani masalah banjir yang kerap melanda di kawasan berkenaan.

"Kita akan membina semula stadium supaya lebih efisien dengan kos penyelenggaraan minimum selain turut memastikan terdapat banyak kemudahan di kawasan berkenaan.

"Stadium perlu dirobohkan dan akan dibina baharu. Hanya rekabentuk atap saja dikekalkan manakala binaan lain adalah baharu," katanya, pada sesi taklimat pembangunan KSSA, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) Norita Mohd Sidek menjelaskan Stadium Malawati turut menerima nasib sama apabila dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek KSSA.

"Kita sudah dapat reka bentuk projek KSSA dan akan menyerahkan kepada kerajaan negeri seterusnya keputusan akan diketahui selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya.

Mengikut rekod, Stadium Shah Alam yang juga bangunan ikonik terletak di Seksyen 13 itu mula dibuka pada 1994 sebelum ditutup kepada bermula 2020 berikutan berhadapan pelbagai masalah terutama membabitkan bumbung venue berkenaan.

Jika venue berkenaan siap dibina kira-kira 4 tahun kelak menyaksikan stadium terbabit antara yang tercanggih di negara ini terutama mempunyai sistem padangnya boleh ditukar mengikut kesesuaian sukan dan aktiviti iaitu yang pertama di Malaysia.

Sumber : Harian Metro

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.