Isu Cikgu Fadli: Ismail Sabri harap keputusan menang-menang

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap situasi menang-menang dapat dicapai dalam isu membabitkan guru Mohd Fadli Mohamed Salleh dengan Kementerian Pendidikan, yang tular di media sosial.

Beliau berkata dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pagi tadi dan berhubung dengan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkhairuddin Ghazali petang ini, bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu itu.

Jawatankuasa disiplin kementerian juga, menurut Ismail Sabri akan bersidang esok, yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

"Surat tunjuk sebab perkara biasa dalam jabatan kerajaan. Namun, saya berharap keputusan positif akan dicapai pada mesyuarat 17 Oktober 2022. Insya-Allah, apa yang digambarkan dalam surat itu atau di media sosial seperti akan dipecat, diturunkan pangkat dan sebagainya tidak akan berlaku.

"Pihak kementerian tidak boleh melepaskan kakitangan yang mengeluarkan komen (di media sosial). Dalam masa sama, hukuman yang terlalu keras kepada pegawai dan kakitangan juga tidak wajar, selain pegawai dan kakitangan juga perlu menghormati kementerian," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera di Dewan Kompleks UMNO Bera.

Beliau juga berpandangan kementerian dalam menjaga integriti mereka, juga perlu mendengar pandangan bukan hanya daripada guru, tetapi juga masyarakat dan berdasarkan reaksi yang diterima selepas isu itu tular, ramai yang memberikan maklum balas negatif.

Semalam, Mohd Fadli guru Matematik sekolah rendah di Gombak menerusi Facebooknya mendakwa beliau akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai, selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang, katanya, boleh memudaratkan kesihatan murid.

Menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, Mohd Fadli diberikan tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat itu untuk mengemuka representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan untuk membela diri.

Hari ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan menyatakan kesediaan untuk berjumpa guru itu.

Mohd Fadli juga menerusi status terbarunya di akaun media sosial menyatakan akan berjumpa Radzi pada suatu hari nanti. 

Sumber : BERNAMA

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.