Ahad, Oktober 16, 2022

Ibu bapa dan guru sokong Cikgu Fadli

 


Sejak malam tadi, warganet tertumpu kepada kes Cikgu Fadli yang juga guru Matematik Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, selepas beliau berkongsi dua surat tindakan tatatertib daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Pelayar internet melancarkan petisyen bagi menuntut keadilan untuk guru yang berdepan tindakan tatatertib, termasuk diturunkan pangkat atau dibuang kerja kerana menyuarakan isu membabitkan pendidikan di sekolah.

Setakat 3 petang tadi, Petisyen Tuntut Keadilan Untuk Cikgu Fadli Salleh yang dilancarkan malam tadi melalui platform change.org mengumpul 4,313 tandatangan.

Petisyen berkenaan yang dimulakan oleh individu dengan nama Jamal Yunuh menyeru orang ramai supaya bersama dalam perjuangan Mohd Fadli Mohamed Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli.

Dalam surat berkenaan memaklumkan, beliau mungkin berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat.

Kebanyakan komen orang awam yang menandatangani petisyen berkenaan menyuarakan sokongan kepada guru berkenaan.

Cikgu Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Mohd Fadli menerusi Facebooknya berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang masalah disiplin atau menghadapi masalah dengan ibu bapa murid.

Beliau yang juga guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak turut berkongsi gambar surat bertarikh 22 September lalu yang menyatakan, beliau boleh dikenakan tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat kerana berdepan tiga pertuduhan.

Pertuduhan itu ialah kerana memuat naik hantaran di platform media sosial Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

Beliau juga dituduh memuat naik hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar pada murid Tahun Satu dan menerusi pertuduhan ketiga, beliau didakwa mengadakan sesi Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak.

"Saya hanya berkata jujur tentang beg berat bahaya kepada anak-anak, silibus tinggi dan padat. Silibus syok sendiri. Bilangan murid yang ramai dalam kelas. Subjek yang banyak murid belajar, masa belajar untuk subjek teras terutamanya matematik tidak mencukupi.

"Jadi kenapa KPM nak buang saya? Kerana saya bercakap jujur dan menyatakan kebenaran. Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengar luahan jujur. Mereka hanya nak dengar ampu, bodek, puji-puja sahaja," katanya.

Mohd Fadli berkata, sebelum bertindak bersuara di media sosial, beliau terlebih dahulu menggunakan saluran disediakan KPM, namun tiada respons.

Mengikut surat itu, bagi ketiga-ketiga perbuatan berkenaan, Mohd Fadli boleh ditafsirkan telah melanggar Peraturan 19(1)(c), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau diminta membuat representasi secara bertulis dengan mengemukakan alasan dan bukti bagi membebaskan diri daripada kesemua pertuduhan itu dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.