Isnin, September 19, 2022

10 jam untuk padam kebakaran 12 kedai di Kampung Cina Kuala Terengganu

 


Bomba mengambil masa hampir 10 jam untuk memadam kebakaran 12 rumah kedai sederet di Jalan Bandar, Kampung Cina, Kuala Terengganu malam Ahad.

Dalam kebakaran itu yang dipercayai berlaku jam 8.15 malam, 12 rumah kedai serta kedai setingkat jenis separuh kekal membabitkan kedai kain, kedai jahit, kedai membuat kunci, kedai makan, kedai emas dan rumah penginapan musnah dijilat api.

Kebakaran itu menyebabkan tujuh premis terbakar 100 peratus manakala lima lagi rosak antara 20 hingga 90 peratus.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Khairiri Mat Resad@Arshad, berkata pihaknya dapat memadamkan sepenuhnya kebakaran jam 6.11 pagi tadi.

Bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian.

"Sebelum itu, kita sudah tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat awal daripada orang awam yang datang ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

"Kita dapat kawal api daripada terus merebak pada jam 10.28 malam sebelum kerja-kerja pemadaman dan kerja 'overhaul' dilakukan bagi memastikan api serta bara padam sepenuhnya.

"Operasi tamat jam 6.11 pagi tadi dan siasatan lanjut sedang dijalankan Unit Forensik JBPM negeri bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian" katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Khairiri berkata, seramai 80 orang terdiri 52 pegawai dan anggota bomba bersama 28 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terbabit dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya berdepan sedikit kesukaran untuk memadamkan kebakaran susulan keadaan cuaca berangin yang menyebabkan kebakaran cepat merebak selain struktur bangunan yang mana bahagian atas kedai setingkat ini diperbuat daripada kayu.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua mangsa keluar sendiri daripada lokasi untuk ke tempat selamat selain ada yang sudah menutup perniagaan sebelum kejadian," katanya.

Portal NSTP sebelum ini melaporkan pendawaian elektrik yang tidak teratur dikatakan menjadi punca menyebabkan usaha memadamkan kebakaran 12 rumah kedai menjadi agak sukar.

Sementara itu, pemilik Kedai Emas Seri Cahaya, Mohd Ridzuan Mohd Yasin, 39, berkata dia mengetahui mengenai kejadian itu pada 8.20 malam setelah dimaklumkan oleh rakannya.

"Ketika sampai api dah marak, saya lihat bahagian atas kedai saya sudah terbakar dan hanya mampu berserah serta berdoa agar api dapat dipadamkan dengan segera," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, 90 peratus struktur kedainya terbakar dan nilai barangan dalam kedainya dianggarkan sebanyak kira-kira RM2 juta membabitkan barangan kemas termasuk yang ditempah pelanggan, emas tongkol dan peralatan serta mesin berkaitan pertukangan emas.

"Saya tidak pasti sama ada barang lemas berkenaan masih elok atau sudah rosak. Saya belum dapat memastikan jumlah kerugian sebenar yang dialami akibat daripada kejadian ini," katanya.

Dia yang tinggal di Kampung Hiliran, di sini, berkata, kedai berkenaan adalah milik keluarga yang diusahakan ibunya sebelum mengambil alih kira-kira 12 tahun lalu.

"Kalau diikutkan keluarga mengusahakan perniagaan emas ini sejak 25 tahun lalu. Kebakaran di Kampung Cina ini adalah kali kedua berlaku tetapi ketika itu tidak membabitkan kedai saya," katanya.

Seorang pemilik kedai kain pula mendakwa dia kerugian apabila wang tunai RM40,000 dan stok kain bernilai RM20,000 hangus dalam kebakaran malam tadi.

Syeikh Muhammad Zainuddin Thamizudeen, 32, berkata dia berada di kawasan Pasar Kedai Payang, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian bersama adiknya, Syeikh Muhammad Muaz, 28, ketika kebakaran.

Syeikh Muhammad Muaz berkata, dia menyedari kejadian itu selepas diberitahu rakan sebelum bergegas ke lokasi bersama abang.

"Kebakaran berlaku sangat pantas berikutan cuaca ketika itu berangin menyebabkan kedai abang sekelip mata musnah seratus peratus.

"Ketika kami sampai, pasukan Bomba dan Penyelamat sudah ada di lokasi kejadian dan ketika itu beberapa kedai sudah hangus terbakar.

"Kami hanya mampu berserah dan hanya mampu melihat kedai yang diusahakan abang sejak lapan tahun lalu hilang sekelip mata," katanya ketika ditemui.

Katanya, sebelum kejadian, dia bersama abang dan beberapa lagi adik beradik lain baharu selesai memunggah stok kain yang dihantar pembekal dianggarkan bernilai RM20,000.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.