Rabu, Jun 08, 2022

Satelit MEASAT-3d perkukuh liputan internet Malaysia

 


MEASAT-3d, satelit baharu MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd yang bakal dilancarkan pada 22 Jun ini menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi menawarkan liputan meluas dan pengalaman jalur lebar lebih baik.

Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim, berkata pelancaran satelit yang menelan kos kira-kira RM1.2 bilion itu dijangka membolehkan rakyat Malaysia menikmati internet berkelajuan tinggi tidak kira di kawasan bandar dan pinggir bandar atau di kampung yang terletak jauh di pedalaman menerusi perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW MEASAT.

Katanya, MEASAT-3d yang menggunakan kapasiti 'High Throughput Satellite' (HTS) juga akan menyokong peralihan negara kepada teknologi 5G dengan menawarkan kelajuan internet sehingga 100Mbps di kawasan luar bandar.

"CONNECTme NOW MEASAT akan menghubungkan 10,000 tapak dalam tempoh tiga tahun akan datang, memberikan manfaat kepada lebih daripada dua juta rakyat di kawasan pedalaman yang ketika ini tidak mempunyai akses atau akses terhad kepada internet jalur lebar berkelajuan tinggi.

"MEASAT-3d akan memenuhi jurang jalur lebar di banyak kawasan tanpa teknologi 4G, 5G atau liputan fiber di Malaysia. Kami menyokong penuh hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran akses internet 100 peratus menjelang 2025 dalam MyDIGITAL dan sasaran JENDELA untuk mendigitalkan negara," katanya dalam taklimat media di sini, hari ini.

Yang turut serta, Naib Presiden Bersekutu MEASAT, Ganendra Selvaraj.

MEASAT-3d yang menjadi satelit yang paling komprehensif dan kompleks dalam armada dimiliki MEASAT setakat ini, dibina di atas model satelit Eurostar 3000 oleh Airbus.

Ia dijadual dilancarkan dengan menggunakan roket Ariane 5 dari tapak pelancaran Agensi Angkasa Eropah di Kourou, French Guiana.

Satelit itu akan menjadi pelengkap kepada satelit MEASAT-3a dan MEASAT-3b yang ditempatkan bersama di ruang orbit 91.5° Timur, menggantikan kapasiti lama dan membina daya tahan armada satelit MEASAT.

Satelit baharu itu juga akan memulihkan semula pertindihan dalam orbit dan memberikan kapasiti pengembangan yang tiada tandingan untuk perkhidmatan Direct-to-Home (DTH) Astro serta perkhidmatan penyiaran dan telekomunikasi di rantau ini.

Dilengkapi kapasiti C dan Ku-Band konvensional dan menawarkan antara perkhidmatan video terbesar di Asia, MEASAT-3d akan terus memastikan kesinambungan pertumbuhan serta perkhidmatan untuk penyiar dan penyedia televisyen satelit DTH terkemuka di dunia kepada lebih 20 juta isi rumah di seluruh Malaysia, Indonesia dan India.

Ia turut menggabungkan Ka-band HTS, muatan terbesar yang dikhususkan secara eksklusif untuk permintaan tempatan di Malaysia, dengan kapasiti jalur lebar lebih daripada 30 Gbps.

Chyong Lim berkata, dengan satelit baharu, MEASAT berupaya meningkatkan daya pemprosesan kapasiti jalur lebar 10 kali ganda daripada 3Gbps ketika ini kepada 30Gbps, sekali gus membolehkan akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi walaupun di kawasan yang terhad atau tiada sambungan darat.

"Internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 Mbps ketika ini kepada 100 Mbps, membolehkan pengguna menstrim kandungan tinggi data seperti video 4K/8K.

"Bagi mengoptimumkan kapasiti perkhidmatan, MEASAT-3d direka bentuk dengan anggaran jangka hayat selama 18 tahun," katanya.

Sepanjang tempoh operasi selama lebih 25 tahun, setiap detik pelancaran satelit komunikasi MEASAT menjadi tanda kejayaan dalam sejarah pertumbuhan syarikat.

MEASAT-1 dan MEASAT-2 telah dilancarkan pada 1996, diikuti oleh MEASAT-3 pada 2006, MEASAT-3a pada 2009 dan MEASAT-3b pada 2014.

"Kini, dengan pelancaran MEASAT-3d pada 2022, ia menjadi langkah seterusnya dalam perjalanan menuju masa depan teknologi komunikasi, di mana pembangunan kapasiti yang lebih berkuasa dan cekap berjalan seiring dengan kemajuan yang boleh kita capai menerusi infrastruktur ini," tambah Chyong Lim.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.