Tiada kerja tetap, slip gaji boleh buat pinjaman perumahan SJKP

 

 

Rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tiada slip gaji, boleh membuat pinjaman perumahan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan skim pinjaman menerusi syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu adalah satu lagi usaha kerajaan untuk membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.

Perdana Menteri berkeyakinan bahawa inisiatif seperti itu akan membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia memiliki rumah sendiri, termasuk mereka yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan pembiayaan.

"Usaha ini selari pengumuman dalam Belanjawan 2022 di mana sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada SJKP bagi melaksanakan amanat ini. 

"Ini membuktikan komitmen kerajaan yang ingin melihat Keluarga Malaysia mendapat akses kepada pembiayaan perumahan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dengan lebih mudah dan luas," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pembeli Residensi Larkin Indah.

Ismail Sabri menjelaskan, selari pertumbuhan ekonomi, perumahan juga menjadi keperluan kehidupan yang mendesak bagi Keluarga Malaysia.

"Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat COVID-19, harga rumah masih dianggap terlalu mahal dan sukar dimiliki oleh golongan muda, khususnya.

"Justeru kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) menggariskan langkah segera dan jangka panjang yang perlu diambil untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau berbangga dengan usaha Kerajaan Johor bersama agensi kerajaan lain seperti PR1MA, untuk merealisasikan projek perumahan di seluruh negeri ini dalam menyahut seruan kerajaan untuk membina perumahan yang berdaya huni.

Katanya, usaha itu selari aspirasi memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 tanpa menanggung beban kewangan yang berat melalui program perumahan mampu milik.

Beliau berkata, setiap Keluarga Malaysia pasti mengimpikan kehidupan harmoni, rumah selesa, di samping kerjaya baik, dan impian itu tidak mustahil untuk dicapai lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan padu daripada agensi berkaitan dalam mendukung aspirasi terbabit.

Malah, katanya, inisiatif pembiayaan inovatif PR1MA adalah contoh yang wajar dijadikan penanda aras dalam usaha kerajaan dan pihak industri seperti PR1MA, menyediakan akses kewangan yang mudah kepada pembeli rumah PR1MA.

"Inisiatif yang mesra pembeli ini pasti dapat membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai Keluarga Malaysia, khususnya golongan muda, dan yang berpendapatan pertengahan untuk memiliki rumah PR1MA tanpa bimbang mengenai pembiayaan perumahan.

"Ini adalah antara isu penting yang dibangkit dan dibincangkan pada mesyuarat MPMMN, baru-baru ini. Alhamdulillah, kita sudah dapat melihat hasil daripada perbincangan itu," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.