Khamis, Mac 10, 2022

KKM perkenal portal protokol Covid-19

 


Bagi memudahkan pengembara dan rakyat Malaysia untuk memasuki negara, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memperkenal dan melancarkan satu portal https://covidprotocol.moh.gov.my/ yang mempunyai protokol individu semasa berkaitan Covid-19.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, portal tersebut akan dikemaskini dari semasa ke semasa tentang protokol yang perlu diikuti oleh pengembara dan warganegara yang akan memasuki pintu sempadan negara bermula 1 April nanti.

“Terdapat beberapa perincian protokol bagi pengembara yang ingin memasuki Malaysia pada 1 April nanti, antaranya jika seseorang sedang menjalani kuarantin sebelum 1 April 2022, perintah kuarantin individu tersebut akan tamat pada 1hb April 2022.

“Sebagai contoh, jika seseorang individu mula menjalani kuarantin pada 29 Mac, kuarantin tersebut akan tamat pada 1 April 2022,” jelasnya dalam sidang akhbar khas di Parlimen hari ini.

Tambah Khairy Jamaluddin lagi, antara protokol lain adalah, kanak-kanak dan remaja yang berumur 17 dan ke bawah, tanpa mengira status vaksinasi, tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu lakukan
ujian Covid-19 kit ujian pantas (RTK) antigen dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan di Malaysia.

“Selain itu, untuk sesiapa yang tidak mendapat vaksinasi lengkap atau tidak menerima vaksinasi langsung, individu tersebut mesti menjalani kuarantin selama lima hari selepas ketibaan di Malaysia.

“Selepas individu tersebut keluar dari kuarantin, individu tersebut mesti mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Sebagai contoh, tidak boleh dine-in di restoran kerana tidak menerima vaksinasi lengkap,” katanya.

Antara lain, jelasnya, protokol bagi pengembara yang dikecualikan daripada menerima vaksinasi atas faktor kesihatan, individu tersebut perlu memuat naik bukti pengecualian yang diberikan oleh pegawai perubatan ke dalam aplikasi MySejahtera. 

Sumber dari Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.