Jumaat, Oktober 01, 2021

Penjawat awam tidak boleh pertikai arahan

 

Ketetapan mewajibkan semua penjawat awam Persekutuan mengambil vaksin COVID-19 tidak boleh dipertikai kerana majikan berkuasa penuh.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata kuasa meminda terma dan syarat perkhidmatan awam terletak di tangan kerajaan sebagai majikan dan boleh diubah tanpa perlu merujuk kepada persetujuan penjawat awam.

Nik Ahmad Kamal menjelaskan, prinsip dalam Perkara 132(2A) Perlembagaan Persekutuan menyebut, penjawat awam memegang jawatan selagi diperkenan Yang di-Pertuan Agong, yang bermaksud seorang penjawat awam itu boleh ditamatkan jawatan pada bila-bila masa, tertakluk kepada prosedur khusus seperti notis serta hak untuk didengar.

"Berdasarkan prinsip yang jelas mengenai kuasa kerajaan sebagai majikan terhadap penjawat awam dan kes yang diputuskan sebelum ini mengenai kuasa kerajaan sebagai majikan, mahkamah mengiktiraf kuasa yang besar kerajaan terhadap penjawat awam, berbanding majikan di sektor swasta.

"Setiap peruntukan terma dan syarat perkhidmatan awam pada dasarnya boleh diubah tanpa perlu merujuk persetujuan penjawat awam itu.

"Pada pandangan saya, syarat untuk mewajibkan pengambilan vaksin ke atas penjawat awam ialah penambahan kepada terma perkhidmatan dan perlu dipatuhi. Kegagalan berbuat demikian boleh meletakkan penjawat awam itu terdedah kepada tindakan displin," katanya

 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan, semua penjawat Perkhidmatan Awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin COVID-19 dan melengkapkan pelalian, sebelum 1 November ini.

Dalam satu kenyataan, JPA berkata, jika penjawat awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib, selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

Katanya, semua penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993).

Peraturan 38, PU(A) 395/1993, memperuntuk hukuman amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja, jika mana-mana penjawat awam melanggar peraturan yang ditetapkan.

Ditanya sama ada penjawat awam yang enggan divaksin boleh mencabar peraturan mewajibkan vaksin itu di mahkamah, Nik Ahmad Kamal berkata, tiada peruntukan khas yang membolehkan mereka berbuat demikian, namun mahkamah sentiasa bersedia mendengar sebarang permohonan tindakan undang-undang.

"Menjadi hak untuk mereka membawa tindakan secara semakan kehakiman mengenai keputusan kerajaan yang dianggap bertentangan dengan hak dan kebebasan untuk tidak diwajibkan menerima vaksin dan hak seorang rakyat untuk dilayan secara saksama serta tidak didiskriminasi," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.