Ahad, Jun 13, 2021

UPKK 2021 mengikut jadual ditetapkan

 

Pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi 2021 masih mengikut jadual dan perancangan yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, perkara itu akan dilaksanakan dengan mematuhi Garis Panduan Pengoperasian Kelas al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama Dalam Norma Baharu yang mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 9 Jun lalu, berdasarkan ulasan dan pandangan dikemukakan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, Jakim juga sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan Covid-19 di negara ini khususnya aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan.

"Jakim dengan kerjasama semua agensi terbabit sudah menyediakan pelan tindakan yang sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan UPKK tahun ini berjalan lancar. 

"Penilaian terhadap murid juga boleh dibuat melalui pelbagai kaedah termasuk aspek kaedah pelaksanaan UPKK, justeru Jakim sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan itu," katanya dalam kenyataan

Pelaksanaan UPKK bagi calon tahun 2020 dan 2021 akan dilaksanakan secara serentak tahun ini membabitkan lapan subjek terdiri daripada dua subjek amali, satu subjek ujian lisan dan lima subjek bertulis.

Dua subjek penilaian amali iaitu mata pelajaran amali solat dan penghayatan cara hidup Islam sudah bermula dari awal takwim persekolahan 2021.

Abdul Aziz berkata, Jakim turut melaksanakan kaedah berdasarkan penilaian sepanjang sesi persekolahan termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengambil kira ujian bulanan dan aktiviti dalam dan luar bilik darjah.

Menurutnya, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut diambil kira sebagai antara komponen penilaian UPKK yang dinilai oleh guru KAFA sekolah masing-masing.

Katanya, bagi mata pelajaran al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Tafsir Al-Quran ia dinilai oleh guru KAFA sekolah masing-masing yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 30 September ini.

"Lima subjek bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab Kertas 1 & 2 dan Lughatul Quran akan dilaksanakan pada 4 hingga 7 Oktober, bukan hanya peperiksaan bertulis semata-mata.

"Setiap subjek yang dirangka dalam kurikulum UPKK turut merangkumi aspek penghayatan dan amalan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian," katanya.

Abdul Aziz berkata, subjek berkenaan tidak hanya terikat dengan pelaksanaan peperiksaan semata-mata, tetapi menjadi sebahagian daripada amalan fardu ain.

Katanya, sehingga kini, UPKK masih kekal relevan dan ia terbukti dengan pertambahan jumlah calon yang menduduki ujian itu.

"Ia sekali gus menunjukkan kesedaran masyarakat untuk menjadikan pendidikan KAFA sebagai pengukuhan kepada pendidikan Islam arus perdana semakin meningkat dan sebagai persediaan dari aspek rohani sebelum murid melangkah ke peringkat pendidikan menengah," katanya. 

Sumber : Harian Metro

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts