Jumaat, Ogos 20, 2021

Remy Ishak nikah Sabtu

 

Pelakon Remy Ishak, 39, mengesahkan bakal bernikah, Sabtu ini.

Enggan berkongsi identiti gadis yang bakal menjadi permaisuri hidupnya, Remy atau nama sebenar, Mohammad Zalimei Ishak, menyifatkan wanita itu sangat istimewa.

"Sepatutnya, majlis pernikahan berlangsung Mei lalu. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, majlis tidak dapat dianjurkan.

"Kalau boleh, biarlah majlis berlangsung dalam suasana terbuka dan dihadiri keluarga serta kawan-kawan. Namun, andai kata tidak boleh, jika diberi kebenaran majlis dianjurkan di masjid, itu sudah memadai buat kami.

"Semua persiapan lancar dan keluarga kedua-dua pihak bersetuju kami melangsungkan pernikahan biarpun dalam PKP 3.0.

"Insya-Allah, jika tiada aral melintang, kami memilih bernikah, Sabtu ini," katanya.

Terdahulu, Remy mengumumkan bakal bernikah dengan gadis pilihan hati melalui Gempak TV.

Remy bagaimanapun berjanji bercerita lanjut mengenai wanita yang berjaya mencuri hatinya itu pada sidang media khas, esok.

Biarpun cuba merahsiakan bakal isterinya itu, namun, khabar angin menyatakan wanita bertuah itu adalah Ezza Yusof.

Remy dan Ezza pernah mengikat tali pertunangan pada 2017, namun, putus dua tahun kemudian. Bagaimanapun, ikatan kasih mereka dikatakan bercantum semula, tahun ini.

Pelakon filem Dendam Pontianak ini memberitahu, mereka bakal dinikahkan di sebuah lokasi di ibu negara.

"Saya bernikah di sini. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sudah menetapkan hanya beberapa orang dibenarkan berada dalam majlis. Jadi, persiapan itu tidaklah sebesar mana.

"Kami hanya menyiapkan persalinan. Hendak buat majlis makan-makan atau doa selamat pun, tidak boleh.

"Namun, kalau ada rezeki, selepas PKP 3.0 barulah difikirkan. Buat masa ini, saya sedang mempersiapkan diri untuk menjadi suami mithali," katanya.

Ditanya mengenai gadis pilihan hati, Remy berkata:

"Pada saya, dia seorang yang istimewa. Baik dan buruknya, biarlah saya sahaja yang tahu. Kalau benda-benda yang bagus mengenai dirinya, biarlah saya simpan.

"Kalau semua hendak beritahu orang, nanti kena curi," katanya.

Usaha untuk mendapatkan komen lanjut daripada Remy gagal kerana pelakon itu sibuk menguruskan beberapa perkara berkaitan pernikahannya.

"Saya mohon maaf kerana sedang menguruskan beberapa perkara," katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.