Jumaat, Julai 02, 2021

i-Citra guna dana Akaun 2 ahli terlebih dulu

 

Pengeluaran i-Citra daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggunakan dana simpanan di dalam Akaun 2 terlebih dulu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata jika dana di dalam Akaun 2 pemohon tidak mencukupi, pihaknya akan membenarkan mereka untuk menggunakan dana di dalam Akaun 1.

Katanya, pengumuman mengenai i-Citra adalah satu keputusan yang sukar kerana realitinya, KWSP diberi mandat untuk membantu anggota selepas persaraan.

"Namun, kami juga faham bahawa pandemik COVID-19 mendatangkan dugaan luar biasa, maka kami cuba mencari jalan untuk memberi ruang kepada anggota untuk mengakses dana simpanan mereka di waktu mencabar ini. 

"i-Citra direka dengan mengambil semua dana yang tersedia di dalam Akaun-2 anggota terlebih dulu. Jika dana daripada akaun ini tidak mencukupi, maka barulah kami membenarkan anda untuk mengakses Akaun 1," katanya,

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan 'MIDF Conversations' secara maya, hari ini.

Sesi yang julung kali diadakan itu dikendalikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani.

Isnin lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelaksanaan i-Citra di bawah Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berkata, seramai 12.6 juta ahli KWSP layak menikmati inisiatif terbabit.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, KWSP cuba mencari keseimbangan di antara membantu anggota dan pada masa sama memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah keseluruhan pengeluaran i-Sinar dan i-Lestari adalah kira-kira RM80 bilion, namun ia tidak menjejaskan kecairan KWSP.

"Kami boleh menguruskannya asalkan ia dirancang dan kemudian boleh disesusaikan dengan portfolio pelaburan KWSP.

"Kunci utama buat kami ialah tidak menghilangkan mandat yang diberikan, yang mana di akhirnya apa yang perlu diberi perhatian ialah mengenai isu persaraan anggota.

"Jika kita membiarkan dana simpanan anggota digunakan sehingga habis, maka ia akan menjadi masalah yang tidak boleh diuruskan. Justeru, KWSP perlu menyeimbangkan langkah yang mahu diambil," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts