Ahad, Mei 06, 2012

Kajian - Masa kerja panjang punca tidak aktif

Kesibukan tugasan harian yang melampau dan waktu kerja terlalu panjang menjadi punca seseorang malas untuk bergerak atau menghabiskan aktiviti di luar rumah selepas seharian sibuk di pejabat.

Satu kajian yang dijalankan Weight Watchers mendapati satu pertiga peserta kajian mengakui mereka lebih suka tidak keluar pada waktu malam bersama keluarga atau kawan-kawan kerana merasakan ia mengambil terlalu banyak masa.

Malah, hampir satu perlima daripada mereka mengatakan terlalu letih untuk hubungan intim bersama pasangan masing-masing pada waktu malam, lapor Daily Mail.

Kajian membabitkan 2,638 orang dewasa itu mendapati tiada waktu, masa bekerja yang terlalu panjang dan terlalu sibuk menjadi punca utama mereka memilih gaya hidup yang lebih banyak terperap di rumah.

Peserta juga mendedahkan, hubungan dengan pasangan terjejas berikutan kepenatan menyebabkan mereka lebih memilih sekadar menghantar mesej kepada pasangan berbanding mengambil masa untuk menghubungi mereka.

Berdasarkan keputusan itu, secara purata seseorang tidak melakukan apa-apa kecuali sekadar duduk pada hujung minggu malah tidak melakukan sebarang senaman pada sepanjang minggu.

Kira-kira 21 peratus menyalahkan terlalu sibuk untuk mengimbangi tugas dan kehidupan berkeluarga sehingga tiada masa untuk bersenam manakala 32 peratus mendakwa mereka terlalu penat selepas seharian bekerja.

“Tiada masa adalah kenyataan yang biasa untuk tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal,” kata profesor aktiviti fizikal di Loughborough Universiti, Stuart Biddle.

“Bagaimanapun penyelidik menyatakan ia hanya sekadar persepsi berbanding realiti. Ia sebenarnya lebih kepada motivasi dan keutamaan berbanding tiada masa.”

Ketua kesihatan di Weight Watcher, Zoe Hellman berkata bahawa kurangnya motivasi dalam diri boleh meletakkan diri dalam risiko kesihatan.

– Agensi

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts