Norizam ‘guru tuisyen’ saham


BOSAN dengan penipuan yang mengaitkan pelaburan saham hingga merugikan jutaan ringgit, Pengerusi Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM), Norizam Tukiman, 31, terpanggil mengadakan seminar dan tuisyen bagi mendidik orang ramai yang mahu melabur di Bursa Malaysia.

Bermula dengan Bengkel Jutawan Saham (BJS) dan Bengkel Jutawan CPO (BJCPO) pada 2009, Norizam menerusi syarikatnya, Zamsaham Training & Consultancy beralamat di No 35 Tingkat 1, Livistonia Square, Jalan Setia Tropika 1/15, Taman Setia Tropika, Johor Bahru, kini menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan saham seperti tuisyen saham dan latihan peribadi.

Malah dalam tempoh tiga tahun, Norizam boleh berbangga kerana berjaya melahirkan 1,000 pelabur runcit bersama Bursa Malaysia selain lebih 3,000 pengikut di laman sosial Facebook (FB).

“Saya memulakan kerjaya sebagai remisier di OSK Investment Bank Bhd sejak 2003 hingga kini dan berdepan pelbagai kerenah pelanggan yang berurusniaga dalam bidang ini.


“Bagaimanapun, saya dapati kesedaran masyarakat berpendapatan sederhana, terutama Melayu, berkaitan saham masih rendah walaupun mereka sebenarnya mempunyai simpanan wang dan berminat melabur.

“Justeru, tidak hairan kita lihat ramai orang ditipu skim cepat kaya dan pelbagai cara lain dengan alasan pembelian saham, sedangkan mangsa tidak tahu atau faham cara sebenar membeli saham,” katanya.

Pada masa sama, menurut Norizam, penduduk Malaysia didedahkan satu persatu taktik penipuan berkaitan saham menerusi televisyen, akhbar, majalah dan Internet.

Katanya, semua itu memberi gambaran buruk berkaitan saham, sedangkan konsep sebenar saham berbeza dengan taktik penipuan didedahkan selama ini.

“Pada 2009, saya terbaca kisah seorang warga emas di akhbar mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana terpedaya dengan skim cepat kaya dan lebih malang, wang itu sebenarnya untuk menunaikan haji.

“Berita itu membuka mata saya dan sebagai umat Islam, saya terpanggil untuk memberikan pendedahan serta ilmu tepat berkaitan saham supaya orang ramai, khasnya Melayu, tidak tertipu lagi,” katanya.

Norizam yang juga pemegang Diploma Analisis Pelaburan Universiti Teknologi Mara(UiTM) Segamat berkata, sejak itu dia bersama enam kakitangannya di OSK Investment Bank Bhd mula memperkenalkan BJS dan BJCPO bagi mendedahkan ilmu berkaitan saham di Johor Bahru sebelum beralih ke Kuala Lumpur.

Katanya, ketika melanjutkan pelajaran di UiTM pada 1999, seramai 400 lepasan SPM memulakan kelas berkenaan, namun hanya 20 mahasiswa benar-benar berminat dalam pengajian itu.

Menurutnya, jika dilihat statistik itu serta pengambilan sebelum dan selepasnya, ia sebenarnya menunjukkan masyarakat Melayu kurang minat belajar bidang pelaburan, tetapi apabila dijanjikan keuntungan berganda, mereka akan turut serta dan memberikan wang walaupun tidak berpengetahuan dalam bidang terbabit.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia dibesarkan pasangan Tukiman Jasemo, 64, dan Saadiah Kemin, 52, dengan bapanya, peniaga kedai runcit di Pasar Awam Lama Johor Bahru di Jalan Wong Ah Fook.

“Bagaimanapun, sejak peniaga dipindahkan ke Terminal Bas dan Pasar Awam Larkin pada 1990-an, pendapatan keluarga merudum, menyebabkan hidup kami sekeluarga terumbang ambing.

“Sebagai anak lelaki sulung, saya mengambil tanggungjawab membantu keluarga dengan menjual pelbagai jenis kuih dimasak ibu menggunakan bakul dan berjalan kaki lebih dua kilometer setiap hari mengelilingi Jalan Pekaka, Belibis, Puchong dan Camar, Taman Perling, Johor Bahru bagi membantu keluarga sebelum ke sekolah,” katanya.

Menurut Norizam, dua tahun menjual kuih pada usia 11 hingga 13 tahun, dia tidak pernah kecewa atau kesal dengan nasib keluarga, sebaliknya seronok memegang wang hasil jualan dan memasang impian menjalankan perniagaan sendiri.

Malah, katanya, ketika berusia 15 tahun, dia membantu menjual burger di Taman Perling sebelum mengumpul wang dan membeli gerai berkenaan dengan harga RM1,500.

“Mendengar sejarah awal hidup saya, ramai bertanya mengapa saya tidak mempelajari jurusan perniagaan sebaliknya pelaburan, namun pada saya, kedua-duanya hampir sama kerana pelaburan dilakukan di dalam perniagaan dan matlamatnya sama iaitu mengaut keuntungan.

“Sejak bergelar remisier, saya menganggap bidang ini sebagai perniagaan kerana perlu mendapatkan pelanggan untuk membeli saham dan pendapatan pula bergantung pada komisyen,” katanya.

Menurut Norizam, pelaburan bijak sama seperti berniaga kerana seseorang itu perlu membuat kajian, latar belakang perniagaan, barang dijual syarikat serta keadaan ekonomi semasa.

Malah, sama seperti berniaga, pasaran saham ada untung dan ada rugi, namun faktornya mengikut keadaan semasa, kekuatan dan jenis perniagaan itu.

“Ada yang mengatakan pelaburan sama seperti berjudi. Tanggapan itu salah kerana berjudi bergantung pada nasib semata-mata, sedangkan pelaburan memerlukan ilmu pengetahuan serta kajian satu-satu perniagaan.

“Sejak mengadakan bengkel, saya dapati ada pertambahan pelabur runcit di Bursa Malaysia namun pada masa sama, masih kurang usahawan Melayu menyenaraikan syarikat mereka, sedangkan mereka layak berbuat demikian,” katanya.

Menurut Norizam, masalahnya, usahawan Melayu berpendapat, apabila menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia, mereka akan hilang kuasa di dalam syarikatnya atau lebih menakutkan, mereka akan disingkirkan.

Katanya, mereka sebenarnya tidak faham, menerusi penyenaraian di Bursa Malaysia modal pusingan syarikat akan bertambah, sekali gus membantu meluaskan perniagaan selain segala urusan dilakukan kakitangan yang layak dan berpengalaman, manakala kepentingan di dalam syarikat masih boleh dikawal sepenuhnya.

“Di Malaysia, banyak syarikat bukan Bumiputera menyenaraikan syarikat masing-masing di Bursa Malaysia, menjadikan mereka lebih kukuh daripada segi kewangan dan pengurusan syarikat dijalankan dengan lebih telus serta profesional.

“Bayangkan syarikat yang hanya membuat gula-gula, Khee San Berhad, mampu disenaraikan di Bursa Malaysia dengan modal pasaran melebihi RM10 juta.

“Mengapa tidak pengeluar otak-otak, kosmetik, kicap dan sos Bumiputera di negara ini melakukan tindakan sama, sedangkan mereka layak berbuat demikian.

“Berikutan itu, persatuan bergiat aktif mencari pengusaha Bumiputera bagi menyenaraikan syarikat mereka ke Bursa Malaysia kerana melalui cara itu, ia akan memudahkan usahawan berkenaan meluaskan perniagaan ke pasaran luar negara kerana pelabur asing yakin dengan kemampuan mereka,” katanya.


Cari penyelesaian untuk setiap masalah

Siapa anda?
Seorang yang suka mencari penyelesaian dan peluang atas setiap masalah yang timbul.

Tokoh dikagumi?
Tun Dr Mahathir Mohamad atas kepemimpinannya dan antara pesanan dipegang hingga kini ialah ‘biar belajar pada awalnya, tetapi mampu mengajar pada akhirnya’.

Hobi waktu lapang?
Baca buku ilmiah dan bermain golf bersama rakan bisnes.

Waktu untuk keluarga?
Saya akan pastikan mempunyai masa untuk keluarga walaupun sesibuk mana kerana mereka adalah anugerah yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Saham bagi anda?
Sama dengan perniagaan, di mana ia memerlukan kajian dan penelitian untuk berjaya.

Kata-kata semangat?
Teruskan usaha dan jangan putus asa, lebih banyak kegagalan, semakin hampir mencapai kejayaan.

Prinsip hidup?
Jangan salahkan orang lain kecuali diri sendiri dan jadikan setiap kejadian sebagai pengajaran.


INFO

NAMA SYARIKAT: Zamsaham Training & Consultancy

PERKHIDMATAN: Bengkel Jutawan Saham (BJS), Bengkel Jutawan CPO (BJCPO), Tuisyen Saham, Latihan Peribadi, Unit Amanah, ESOS, Terbitan Saham Baru, Permohonan Khas Saham Bumiputera, Penyenaraian Saham ke Bursa Malaysia

ALAMAT: No 35, Tingkat 1, Livistonia Square, Jalan Setia Tropika 1/15, Taman Setia Tropika, Johor Bahru

LAMAN WEB: www.zamsaham.com; www.zamsaham.blogspot dan www.facebook.zamsaham

E-MEL: zamsaham@gmail.com


PROFIL

NAMA: Norizam Tukiman

JAWATAN: Pengerusi Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia dan remiser OSK Investment Bank Bhd

TARIKH LAHIR: 14 April 1981

ASAL: Johor Bahru, Johor

STERI: Nadia Busri

ANAK: Irfan (5), Sofea (4), Nur Jasmine (2)

PENDIDIKAN: Diploma Analisis Pelaburan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Ahli bersekutu Chartered Market Technician (CMT) Di New York, Amerika Syarikat

LESEN: Perunding Unit Amanah Saham Federation Of Investment Managers Malaysia (FIMM), Wakil Niaga Saham Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lesen Wakil Niaga Pasaran Hadapan (Index) dan Pasaran Hadapan Minyak Mentah Sawit Malaysia Bursa Malaysia

- HARIAN METRO

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.