Selasa, Januari 10, 2012

Pertandingan cipta logo ulang tahun Cyberjaya

CYBERVIEW Sdn Bhd (Cyberview), syarikat yang diberi mandat menerajui pembangunan Cyberjaya memulakan sambutan ulang tahun ke-15 bandar siber itu dengan melancarkan Pertandingan Mencipta Logo Kebangsaan.

Pengarah Urusannya, Ir. Hafidz Hashim, berkata selain meraikan sambutan berkenaan, pertandingan itu juga bertujuan mencungkil bakat kreatif, idea unik serta imaginasi rakyat di negara ini melalui perkembangan bandar raya siber itu sebagai inspirasi Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC Malaysia).

Katanya, sejak dilancarkan pada 1997 oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, Cyberjaya telah berkembang menjadi destinasi utama pelaburan dan operasi negara bagi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), tetapi juga sebuah perbandaran yang komprehensif untuk tinggal, belajar, dan bekerja.

“Bagi meraikan kecemerlangan Cyberjaya, kami menjemput rakyat Malaysia untuk menghantar visual yang menggambarkan perjalanan Cyberjaya melalui satu pertandingan yang boleh memupuk bakat tempatan selain menyerlahkan lagi kepentingan kreativiti dan multimedia sebagai asas kepada industri ICT tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya lagi, peserta berpeluang memenangi hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM6,000 dan logo yang terpilih juga berpeluang untuk digunakan sebagai logo rasmi bagi tempoh sambutan ulang tahun berkenaan.

Hafidz berkata, semua penyertaan mestilah mempunyai perkataan ‘Ulang tahun ke-15 Cyberjaya’ dan perlu menggambarkan Cyberjaya sebagai hub bandar siber dan peneraju MSC Malaysia.

“Penyertaan akan dinilai berdasarkan kreativiti dan konsep keseluruhan, keaslian, impak visual dan kesesuaian logo.

“Tarikh tutup penyertaan adalah pada 22 Januari sehingga jam enam petang dan pemenang akan diumumkan pada pertengahan Januari melalui laman web Cyberview,” katanya.

Mereka yang berminat menyertai pertandingan itu boleh melayari laman web www.cyberview.com.my untuk mendapatkan borang penyertaan rasmi serta maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts