Khamis, November 17, 2011

Merokok punca utama jangkitan COPD

Oleh Liow Tiong Lai
Menteri Kesihatan. Ikuti beliau melalui blognya (www.liowtionglai.com/blog), atau Twitter (@liowtionglai)

SEJAK beberapa tahun, saya telah banyak menumpukan perhatian untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai bahaya merokok dan untuk mengawal penjualan rokok supaya golongan muda tidak digalak mengamalkan tabiat berkenaan.
Ini adalah satu perjuangan yang sangat sukar. Kita berusaha memperbetulkan salah tanggapan hasil daripada berpuluh-puluh tahun promosi pemasaran dan iklan menarik syarikat tembakau tentang kesan buruk nikotin.
Salah satu komen yang sering kedengaran dalam kalangan perokok ialah: “Bapa saya/kawan-kawan/dan sebagainya merokok sejak 30 tahun dan dia masih sihat.”

Apabila saja sesiapa berkata demikian kepada saya, saya mengingatkannya bahawa ada lebih ramai lagi yang saudara mara mereka menghidap pelbagai penyakit berpunca daripada atau menderita akibat merokok, seperti kanser paru-paru, penyakit plumonari sumbat kronik (COPD), diabetes atau kencing manis dan penyakit jantung.

Saya ingin membincangkan mengenai COPD kali ini sempena sambutan Hari COPD Sedunia pada hari ini – hari yang dikhaskan untuk meningkatkan kesedaran dan rawatan COPD di seluruh dunia.

Jika anda pernah bertemu seorang pesakit COPD, anda akan faham bagaimana merokok boleh memudaratkan tubuh seseorang.
Penyakit ini bermula dengan ‘batuk orang merokok,’ sejenis batuk berkahak yang berlarutan tiada hentinya. Keadaan ini sebenarnya adalah bronkitis kronik, salah satu petanda awal bahawa anda telah dijangkiti COPD.

Kebanyakan perokok juga mengalami efisema, yang mana paru-paru menjadi rosak akibat pelbagai jenis bahan kimia yang disedut daripada rokok. Saluran udara paru-paru menjadi sempit, membuatkan seseorang itu amat sukar untuk bernafas.

Bayangkan keadaan di mana untuk menaiki beberapa anak tangga membuatkan anda tercungap-cungap, kepala menjadi pusing dan berpinar-pinar. Malah untuk menarik dan menghembus nafas juga menjadi sukar, manakala dada anda berasa sempit dan anda terpaksa menghembus kuat-kuat.

Merokok ialah punca utama COPD. Tiada batasan selamat untuk merokok dan anda akan hanya meningkatkan risiko setiap tahun selagi anda terus merokok.

Bagaimanapun, apabila saja anda berhenti merokok, anda akan mengurangkan kerosakan pada paru-paru anda dan mencegahnya daripada menjadi lebih teruk. Inilah satu-satunya cara untuk mencegah COPD daripada melarat.

Kerosakan yang berpunca daripada COPD tidak boleh dibaiki, sebab itulah ada perkataan ‘kronik’ pada penyakit ini. Doktor hanya mampu mengurangkan kerosakan seterusnya paru-paru itu dan meredakan simptomnya supaya pesakit boleh meneruskan aktiviti harian mereka tanpa banyak kesukaran.

Begitupun, kehidupan anda sudah berubah sama sekali apabila anda menghidap COPD. Jangkitan biasa melarat berpanjangan dan mungkin lebih berbahaya sekiranya anda menghidap COPD pada peringkat lanjut, kerana ia boleh menyebabkan kematian.

Anda mengalami keletihan walaupun dengan melakukan aktiviti mudah seperti berjalan, memakai pakaian atau berjalan ke tandas. Anda mula menjauhkan diri daripada kawan-kawan dan keluarga, duduk menyepi diri di rumah kerana cara itu lebih mudah.

Seterusnya anda mengalami kemurungan dan kerisauan kerana kehidupan anda sudah jauh berubah. Perkara yang anda anggap biasa seperti bernafas menjadi suatu kesukaran dan anda tidak pasti apa yang akan berlaku pada anda dalam masa beberapa bulan atau tahun akan datang. Semua ini berlaku gara-gara anda mula merokok 10 atau 20 tahun lalu dan tidak pernah cuba berhenti.

Sebab itulah saya bersungguh-sungguh dalam usaha untuk mengurangkan amalan merokok di negara ini. Kita mungkin mempunyai penduduk yang sihat dan segar dalam kalangan muda sekarang, tetapi jika ramai antara mereka mengamalkan tabiat merokok, mereka akan jatuh sakit bila usia meningkat 50-an atau 60-an tahun, menjadikan beban kepada masyarakat sekeliling.

Banyak usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan tabiat merokok di negara ini, tetapi kita tidak boleh sama sekali menganggap perjuangan ini telah berjaya. Saya sanggup mencuba pelbagai strategi, sama ada menjadikan merokok suatu amalan yang membebankan atau memperhebatkan lagi kempen kesedaran mengenai bahaya merokok secara positif.

Alasan yang mengatakan orang yang merokok itu sihat belaka sudah tidak dapat diterima lagi. Perkara ini tidak betul.

Ingat, nikotin dan bahan kimia lain daripada rokok itu sedang bermaharajalela dalam tubuh anda merosakkan sel dan tisu anda. Ia hanya menunggu masa sebelum kerosakan itu melarat dan mengakibatkan masalah teruk seperti arteri tersumbat, tekanan darah tinggi, komplikasi diabetes, kerosakan paru-paru dan kanser.

Mungkin kita mempunyai pendidikan dan kebijaksanaan secukupnya untuk mencegah penyakit ini sebelum ia menular. Tetapi adakan kita mempunyai kesungguhan untuk berhenti merokok, atau kewajaran untuk menjauhkan diri daripada tabiat ini? Saya tidak mempunyai jawapan untuk soalan berkenaan, tetapi saya akan terus berusaha untuk mencarinya.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.