Selasa, November 15, 2011

Kerja mengangkut kapal selam TLDM untuk dijadikan Muzium


MELAKA 14 Nov. - Kerja-kerja mengangkut kapal selam SMD Ouessant Agosta 70, buatan Perancis dari kapal kargo yang kini berada di perairan Selat Melaka tidak jauh dari Klebang akan bermula esok.

Kerja-kerja mengangkut kapal berukuran 67.5 meter panjang, 11.7 meter tinggi dan 6.5 meter lebar itu diuruskan oleh syarikat Felda Transport Services Sdn. Bhd.

Pengurusnya, Hazlan Yeob berkata, SMD Ouessant Agosta 70 seberat 1,300 tan itu bertolak dari sebuah pelabuhan di Perancis pada 12 Oktober lalu sebelum tiba di perairan Selat Melaka berhampiran Klebang di sini semalam.

"Tengah hari esok, kapal ini akan diangkat dari kapal pengangkut ini ke atas tongkang yang mempunyai multi axle trailer untuk dibawa ke jeti sementara di Klebang.

"Perjalanan dijangka memakan masa kira-kira 90 minit dan selepas tiba di sana, kapal yang akan dijadikan muzium kapal selam pertama di negara ini akan dipamerkan kepada orang ramai," katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bersama media tempatan dibawa menaiki sebuah bot meninjau kapal selam di kapal pengangkut itu di sini.

Dalam lawatan ringkasnya hari ini, Mohd. Ali berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan kerana merealisasikan pembinaan muzium kapal selam pertama di negeri ini.

"Kerajaan negeri memberi peluang selama 10 hari kepada orang ramai untuk melihat dari dekat kapal selam ini yang akan ditempatkan di Dataran 1Malaysia bermula 22 November ini," kata beliau.

Menurutnya, selepas itu kerja mengecat kapal selam itu akan dimulakan sebelum ia dijadikan sebagai Muzium Kapal Selam pertama negara membabitkan kos RM12.6 juta.

Kapal selam SMD Ouessant Agosta 70, milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dibina pada 1979 itu diserahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk dijadikan satu lagi mercu pelancongan negeri ini.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts