Khamis, Ogos 11, 2011

Sakit jantung pembunuh nombor satu

PAKAR Kardiologi, Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, Dr. Azhani Mohamed Daud memberitahu, golongan lelaki merupakan penghidap sakit jantung dalam bilangan yang lebih tinggi berbanding wanita.

Lebih membimbangkan, 50 peratus kes kematian lelaki akibat sakit jantung gagal diselamatkan di hospital disebabkan serangan yang berlaku secara tiba-tiba.

"Walaupun mereka tidak berasa sakit sebelum itu, ia tidak bermakna mereka sihat sepenuhnya.

"Lelaki berusia 40 tahun ke atas khususnya, perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan diri mereka bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.

"Pemeriksaan tersebut perlu dijalankan secara berkala agar tidak terjadi kes-kes kematian mengejut akibat sakit jantung," jelasnya.

Ujar Azhani, beberapa siri ujian membabitkan ujian tekanan, ujian elektrikal kardiogram (ECG) dan ujian spirometri dapat mengesan tanda-tanda awal masalah jantung ataupun penyakit kardiovaskular yang lain.

Namun, tambahnya, jika keputusan ujian tersebut negatif, ia tidak bermakna lelaki itu bebas daripada masalah jantung kerana berkemungkinan penyempitan salur darah masih kecil.

Selain itu, penyakit jantung juga sukar dikesan ketika mendapan kolestrol dalam salur darah masih tipis. Maka, golongan lelaki diingatkan agar tidak mengambil mudah faktor-faktor penyebab serangan jantung.

"Disebabkan pengabaian itu, terjadilah kematian akibat serangan jantung terhadap individu yang tidak disangka mempunyai penyakit tersebut.

"Sakit jantung akan terjadi apabila kolestrol dalam salur darah pecah dan membeku serta-merta.

"Oleh itu, amat penting bagi orang ramai mengenal pasti faktor-faktor serangan jantung seperti usia dan juga latar belakang ahli keluarga yang pernah mengalami sakit jantung," katanya.

Azhani turut memberitahu bahawa risiko sakit jantung adalah lebih tinggi bagi perokok dan yang tidak mengamalkan pemakanan sihat serta tidak bersenam.

Oleh itu, golongan lelaki dinasihati agar memulakan inisiatif awal mencegah terjadinya penyakit jantung dengan gaya hidup sihat dan melakukan pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa.

Golongan lelaki yang ingin memeriksa tahap kesihatan jantung mereka, bolehlah berkunjung ke Pusat Kardiak Gleneagles, Kuala Lumpur.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts