Isnin, Ogos 08, 2011

Mahu beli kelab bola sepak Inggeris

Oleh Johardy Ibrahim

MEMBACA berita Tan Sri Tony Fernandes mahu membeli kelab bola sepak Queens Park Rangers (QPR) baru-baru ini, pasti mendatangkan rasa bangga kita sebagai anak Malaysia.

Bukan calang-calang orang Malaysia boleh berbuat demikian, meskipun sehingga ke hari ini tiada pengumuman rasmi sama ada sudah muktamad atau belum transaksinya.

Bagi pemerhati Liga Perdana Inggeris, kemunculan Tony yang mencipta nama dalam industri penerbangan tambang murah dan pasukan lumba kereta Formula 1 adalah satu lagi bukti liberalisasi pasaran yang diamalkan di United Kingdom.

Sebagai penyokong tegar Manchester United (MUFC), Tony tentu sekali akan mencetuskan senyuman sinis pada ramai orang jika beliau mengaku dirinya penyokong QPR pula, seperti masa cubaannya memiliki West Ham.

Ini kerana orang tahu, kemunculan hartawan seperti Tony adalah didorong oleh daya komersial yang besar dalam Liga Perdana Inggeris (atau mengikut nama penajanya Liga Perdana Barclays). Minat secara khusus dalam bola sepak pada Tony tidak harus dipertikaikan, mungkin bila sudah berjaya memiliki QPR, beliau boleh memberi peluang kepada pemain Malaysia beraksi bersama.

Samalah seperti hartawan Rusia, Roman Abramovich yang membeli kelab Chelsea pada 2003 dengan harga £150 juta (RM750 juta). Sebagai orang kesembilan terkaya di dunia, Abramovich menukar Chelsea daripada pasukan yang mengisi tangga kelima ke bawah dalam liga, menjadi sebuah pasukan pencabar kuat sejak itu.

Kisah serupa dinikmati Manchester United yang dikuasai Malcom Glazer dari Amerika Syarikat pada 2005, yang membolehkan kelab itu membeli pemain-pemain mahal dan berkaliber seperti Wayne Rooney, Rio Ferdinand, Cristiano Ronaldo dan sebagainya.

Jiran MUFC iaitu Manchester City pula menerima pengambil alihan Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, pemilik Abu Dhabi United Group daripada tangan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra pada 2008.

Thaksin membeli kelab tersebut dengan anggapan akan mendapat kerakyatan Britain dalam usahanya mengelak dari diekstradisi ke Thailand.

Kedua-dua kelab gergasi Manchester ini akan bertarung dalam perlawanan pembuka tirai 11 malam ini manakala jadual perlawanan musim baru bermula 13 Ogos ini.

Tony Fernandes tahu apa kelebihan memiliki sebuah kelab bolasepak yang beraksi dalam liga perdana. QPR mungkin sebuah pasukan yang baru kembali menjejak kaki ke liga teratas tetapi pada harga £100 juta (RM500 juta), ia dianggap satu nilai pelaburan yang rendah berbanding kelab lain.

Liga bola sepak teratas Inggeris melalui proses transformasi pada 1992 apabila Liga Perdana diwujudkan. Pelaburan besar dari stesen penyiaran, khususnya Sky Broadcasting memperkenalkan makna hak monopoli dalam penyiaran perlawanan secara langsung kepada pelanggan yang membayar langganan. 1992 juga memperkenalkan ‘perang bida’ apabila syarikat pembuat arak, Carling memenangi hak menaja perlawanan dalam jumlah berjuta-juta pounds sterling. Sejak itu, standard permainan dan kemasukan pemain berkualiti dari luar England telah menukar Liga Perdana Inggeris menjadi liga yang disegani dunia.

Sesebuah kelab akan bermain 38 perlawanan dalam satu musim (tidak mengira pertandingan peringkat Eropah, Piala FA dan Liga). Sebelum meletusnya minat pada Liga Perdana, kaedah tradisional bagi kelab untuk meraih perolehan adalah menerusi jualan tiket stadium. Tiket semusim akan dijual pada penyokong yang berkemampuan dan yang tidak, boleh membeli tiket pada hari pertandingan.

Hari ini, situasinya berbeza sama sekali. Tiket semusim bagi kelab-kelab ternama Liga Perdana kini berharga antara £600 (RM3,000) dan £1500 (RM7,500). Namun begitu, ia tidak bermakna sesebuah kelab mahu peminat tempatan membeli keseluruhan tiket semusim yang ditawarkan. Dengan pengikut di seluruh dunia, sesebuah kelab boleh menjual kerusi itu pada harga 10 ganda lebih tinggi setiap perlawanan.

Dijanjikan

Jualan tiket secara dalam talian, ditawarkan kepada sesiapa sahaja di dunia yang membayar yuran keahlian kepada laman web rasmi kelab, dan memastikan peminat boleh melawat Old Trafford atau Stamford Bridge dengan kamera digital mereka. Mereka dijanjikan ‘pengalaman terindah seumur hidup’. Mereka pasti akan memasuki kedai barangan dan membeli-belah. Ini sumber kewangan baru.

Namun sumber kewangan paling besar, paling utama datangnya daripada royalti hak penyiaran perlawanan Liga Inggeris di televisyen. Bagi tempoh 2010-2013, royalti itu diunjurkan di sekitar £1.4 bilion (RM7 bilion). Lebih daripada sekali ganda berbanding paras sebelum 2010 iaitu £625 juta (RM3.1 bilion).

Secara umumnya, ia menjadikan Liga Perdana Inggeris sebuah liga paling ‘kaya’ iaitu 10 ganda lebih tinggi daripada apa yang diterima oleh liga Jerman, Bundesliga; lima ganda berbanding Seria A Itali dan tiga ganda jumlah yang dikaut oleh La Liga Sepanyol.

Ia telah menyaksikan perang bida untuk hak eksklusif penyiaran terutama kalangan stesen televisyen berbayar di Asia. Keluarga Diraja Abu Dhabi (pemilik Manchester City) menerusi Abu Dhabi Media Company (ADMC) telah memenangi hak penyiaran ke seluruh Asia Barat dan Afrika Utara daripada pesaingnya, Showtime Arabia.

Sumber dipetik berkata, Showtime membayar sekitar AS$120 juta (RM360 juta) sebelum itu dan ADMC mengemukakan bidaan sebanyak AS$150 juta (RM450 juta) tetapi akhirnya membayar lebih AS$300 juta (RM900 juta). Jika ia dilihat sebagai pertumbuhan mengagumkan di sebuah rantau, lelongan di Singapura dan Hong Kong dilaporkan ‘lebih menggerunkan!'.

Di Singapura, hak penyiaran dipegang oleh StarHub yang dianggar membayar £67 juta (RM335 juta) bagi tempoh 2007-2010. Pesaingnya, SingTel menewaskannya apabila ia membayar £200 juta (RM1 bilion) bagi tempoh 2010-2013.

Di Hong Kong, stesen Now TV yang sebelum ini membayar royalti sebanyak £115 juta (RM575 juta), kini tewas kepada i-Cable yang membayar hampir £150 juta (RM750 juta). Berapa yang terpaksa dibayar oleh Astro tidak dapat dipastikan. Tetapi jika anda rasa ‘terusik’ setiap kali Astro naikkan bil langganan, kini anda sudah faham.

Jelaslah, bola sepak hari ini bukan sekadar permainan di atas padang semata-mata. Ia adalah satu industri komersial bernilai berbilion-bilion ringgit. Inilah punca ramai yang mahu turut serta di dalamnya. Ramai yang mahu membeli kelab bola sepak Inggeris.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.