Rabu, Julai 06, 2011

Mengangkat hak perokok pasif

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu bilion orang dijangka maut akibat merokok pada abad ini sekali gus ia menjadi pembunuh nombor satu dunia.

Hasil kajian tinjauan kesihatan dan Mobiliti III oleh Kementerian Kesihatan pula mendapati, prevalen merokok di kalangan orang dewasa secara keseluruhan merangkumi 2.73 juta orang.

Mereka ini menghisap rokok 33 juta batang sehari dan membelanjakan sejumlah RM8.59 juta ringgit sehari.

Generasi muda kini dianggar membelanjakan tidak kurang daripada RM272,132 sehari untuk membeli rokok dengan kadar perokok di kalangan pelajar sekolah berumur 15 tahun ke atas pernah mencuba merokok adalah yang tertinggi.

Kira-kira 70 peratus daripada kalangan ini menjadi perokok selepas tamat sekolah.

Terdapat beribu-ribu jenis bahan kimia beracun di dalam asap rokok seperti metanol, karbon monoksida, arsenik, sianida, ammonia, butana, raksa dan banyak lagi yang membahayakan perokok dan mereka yang terdedah kepada asap rokok.

Tabiat merokok bukan sahaja memudaratkan kesihatan perokok tetapi turut memberi ancaman kepada mereka yang terdedah kepada asap rokok.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada 31 Mei di seluruh dunia, tahun ini menampilkan slogan 'Ekspresikan Hak Anda - Katakan Tidak Kepada Asap Rokok'.

Ia memberi perhatian dan mengangkat hak perokok pasif, iaitu mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada ancaman bahaya merokok, yang biasanya terdiri daripada golongan wanita, kanak-kanak dan rakan-rakan perokok.

Mereka ini terdedah kepada asap rokok sekurang-kurangnya 15 minit dalam masa dua hari untuk tempoh seminggu dengan 30 peratus lebih tinggi kemungkinan mendapat kanser paru-paru dan 25 peratus lebih tinggi mendapat penyakit jantung.

Perokok pasif ini termasuk kanak-kanak, juga berhadapan dengan penyakit yang berpanjangan kerana terdedah kepada asap rokok basi.

Kanak-kanak akan membesar dengan mempercayai merokok adalah satu tabiat normal walaupun hakikatnya ia akan melemahkan daya fikir mereka.

Pemulihan kepada perokok

Kementerian Kesihatan khususnya pihak hospital dan klinik telah menyediakan program pemulihan kepada perokok dengan mengadakan Klinik Berhenti Merokok di seluruh negeri untuk membantu perokok yang mahu berhenti merokok.

Program pemulihan yang menggunakan teknik terbukti berkesan itu membantu perokok yang berazam mahu berhenti merokok dengan cara terapi modifikasi tingkahlaku dan gantian nikotin (nicotine replacement therapy).

Mereka juga akan diberikan pengetahuan dan kemahiran kepada perokok untuk berhenti merokok, rawatan pemulihan, kesedaran mendalam tentang risiko merokok dan galakan serta motivasi untuk berhenti dan mengekalkan status tidak merokok.

Bagi Joannes Joseph Engan, 57, Tuan Maf Tuan Abdullah, 31, dan Chooy Wei Peng, 61, yang telah mengambil keputusan untuk berhenti merokok dan berjaya, mereka memilih untuk berhenti merokok untuk menikmati kesihatan yang lebih baik.

Mereka merupakan penerima sijil Berhenti Merokok oleh Hospital Kuala Lumpur pada majlis sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2001 yang berlangsung di Auditorium Utama HKL baru-baru ini.

Joannes yang telah tiga bulan berjaya berhenti merokok ketika ditemui memberitahu azamnya itu berhasil setelah mengikuti program di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di hospital dan klinik negeri di seluruh negara.

"Saya mengambil keputusan untuk berhenti merokok kerana masalah kesihatan dan berjaya berhenti dengan bantuan daripada doktor pakar dan nasihat kaunselor," katanya yang mula merokok sejak berusia 18 tahun.

Sementara itu, bagi Tuan Maf, selain untuk menjaga kesihatan, dia mengambil keputusan untuk berhenti merokok kerana ia jelas salah dari sudut agama.

Katanya, Islam menekankan kepada setiap umatnya supaya memelihara kesihatan jasmani dan rohani.

"Setiap benda yang apabila digunakan mendatangkan kemudaratan kepada manusia adalah diharamkan," katanya.

Bagi Chooy yang mula merokok disebabkan pelawaan orang dewasa pula, walaupun dia tidak berjaya berhenti merokok sepenuhnya namun dia boleh berbangga kerana berjaya mengurangkan tabiat buruk itu berbanding sebelum ini.

Ramai dari kalangan perokok berazam untuk berhenti merokok dengan mengharapkan satu ubat ajaib yang mampu menyembuhkan tabiat buruk mereka namun pada hakikatnya, 80 peratus perokok yang Berjaya berhenti adalah kerana daya usaha mereka sendiri.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts