Khamis, Februari 17, 2011

MyResipi.com - Rujukan resipi alam maya


KELAZATAN sesuatu juadah bukan sahaja terletak pada aromanya yang menusuk deria hidu. Ia juga disumbangkan oleh teknik penyediaan, pemilihan bahan dan ramuan serta cara persembahannya di atas pinggan.

Sajian yang menyelerakan itu tentu memberi kesan dalam kalangan para penggemar kulinari dan juga mereka yang berani mencuba apa saja jenis makanan.

Segalanya mungkin mudah bagi yang sudah biasa di dapur dan mempunyai kemahiran memasak yang diwarisi sejak kecil. Namun, bagi yang baru hendak belajar atau ingin mengetahui tentang resipi tertentu, mereka pasti akan merujuk kepada buku-buku resipi atau laman web.

Antara banyak muka surat maya mengenai resipi yang dekat di hati peminat negara ini adalah laman web MyResipi.com.

Kaya dengan senarai resipi tempatan dan antarabangsa, pembangunan laman web itu adalah hasil kasih sayang seorang suami terhadap isterinya. Ia merangkumi pelbagai resipi mudah dan menarik yang kebanyakannya dikongsi oleh golongan suri rumah.

Pengasas MyResipi.com, Dr. Bakhtiar Affendi Rosdi, 36, berkata, dia telah membangunkan laman web berkenaan pada tahun 2006 untuk isterinya ketika melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Tokyo, Jepun beberapa tahun lalu.

“Idea untuk membangunkan laman web ini lahir apabila isteri yang mengikuti saya ke Jepun gemar mencari resipi-resipi menarik di alam maya.

“Bagaimanapun, saya mendapati tidak banyak laman web resipi di Internet memberi ruang kepada pengguna mengutarakan pendapat atau komen apabila mencuba resipi-resipi itu,” katanya.

Justeru, Bakhtiar telah membangunkan laman web resipi yang memberi peluang kepada pengguna mengutarakan pendapat dan memuat turun gambar hasil resipi mereka.

Pada mulanya, hanya isteri Bakhtiar yang aktif menggunakan laman web tersebut tetapi lama-kelamaan ia mendapat sambutan daripada orang ramai terutamanya golongan suri rumah di perantauan.

“Apabila pulang ke tanah air pada tahun 2007, MyResipi.com semakin dikenali dan mempunyai ribuan pengikut.

“Disebabkan saya terlalu sibuk dengan tugasan harian dan kos yang semakin meningkat tinggi, saya bercadang untuk menutup MyResipi.com pada tahun 2009,” ujarnya.

Ramai pengikut

Bagaimanapun, katanya, seorang rakan yang dikenali melalui Internet telah menyarankan agar laman web tersebut diteruskan kerana mempunyai pengikut begitu ramai ketika itu.

Bakhtiar menambah, dia telah membuat keputusan menyerahkan pengendalian laman web berkenaan kepada rakannya, Md. Hisamudin Ahmad, 32, demi pengikut setia MyResipi.com.

Md. Hisamudin yang mula mengendalikan laman popular berkenaan pada tahun 2009 berpendapat bahawa MyResipi.com yang mempunyai ribuan pengikut tidak perlu dikuburkan begitu sahaja.

“Maka, saya telah memberitahu Bakhtiar tentang kesanggupan saya meneruskan MyResipi.com. Para pengguna bukan sahaja boleh mendapatkan resipi malah dapat berkongsi pengalaman mereka melaluinya.

“Saya telah melakukan beberapa perubahan terhadap program laman web berkenaan untuk memastikan ia tidak mengalami masalah tersekat atau skrin pegun berikutan terlalu ramai menggunakannya,” kata jurutera penyelenggaraan itu.

Tambahnya, sehingga kini terdapat kira-kira 8,000 resipi beraneka jenis ditawarkan dalam laman web yang dibangunkan menggunakan aplikasi Ruby on Rails itu.

Katanya, resipi yang terdapat di laman web tersebut terbahagi kepada beberapa kategori seperti ayam, kuih-muih, ikan, laksa, nasi, roti, sup, sayur, mi, telur dan makanan Barat.

“Kandungan laman web ini disampaikan dalam bahasa Melayu dan mudah difahami oleh pengguna.

“Lebih menarik, resipi yang dimuat naik dalam laman web ini dilengkapi penerangan tentang ramuan dan cara penyediaannya. Bimbingan itu memudahkan resipi tersebut diikuti dan dimasak mengikut selera orang yang mencubanya,” terang Md. Hisamudin.

Antara resipi popular yang mendapat sambutan daripada penggemar makanan ini adalah nasi ayam, kek batik biskut Marie, ayam masak merah dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Md. Hisamudin memberitahu, terdapat kira-kira 60,000 ahli berdaftar yang menggunakan MyResipi.com untuk berkongsi pelbagai aneka jenis resipi.

Menurutnya, laman web berkenaan tidak terbatas kepada penggemar masakan. Sesiapa sahaja boleh menggunakannya malah tiada bayaran dikenakan untuk mendaftar sebagai ahli.

Berkongsi pengalaman

“Ia menjadikan laman web MyResipi.com lebih menarik kerana pengguna bukan sahaja dapat mencuba aneka resipi, bahkan menghantar komen serta gambar untuk tatapan umum.

“Dengan cara ini, ia dapat memberi ruang dan peluang kepada pengguna yang telah mencuba resipi untuk bersama-sama berkongsi mengenai pengalaman dan rasa masakan tersebut,” kata Md. Hisamudin.

Melalui konsep perkongsian itu juga, MyResipi.com menjadi medium terbaik bagi merapatkan komuniti maya yang sering bertemu secara dalam talian. Mereka bebas bertukar pendapat dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan persahabatan.

“Mengikut statistik semasa, sebanyak 94 peratus pengunjung laman web ini terdiri daripada pengguna wanita manakala selebihnya adalah lelaki.

“Kebanyakan pengguna yang menggunakan laman web ini pula terdiri daripada mereka berumur 25 hingga 34 tahun,” katanya.

Laman web yang dihoskan di Amerika Syarikat itu bukan sahaja digunakan penggemar masakan di Malaysia, malah mendapat sambutan daripada mereka yang berada di luar negara.

Antara catatan statistik mengenai trafik pengunjung laman web itu adalah dari negara seperti Singapura, Brunei, Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Indonesia, Australia, New Zealand, Arab Saudi dan Qatar.

Md. Hisamudin menambah, dia bercadang untuk membukukan resipi-resipi di dalam laman web berkenaan jika mempunyai peluang dan modal.

Katanya, dia ingin memberi peluang dan penghargaan kepada penyumbang-penyumbang setia resipi di dalam laman web tersebut.

“Ia sekali gus dapat memberi pendapatan tambahan kepada para penyumbang resipi ini.

“Saya mendapati terdapat beberapa pengguna yang menggunakan resipi di dalam laman web ini untuk memperoleh pendapatan sampingan untuk menyara kehidupan mereka,” katanya yang segera mahu merealisasikan impian itu.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts